Sunday, September 1, 2013

Pertandingan Debat Piala Koperasi SMKSS 2013 (DEKO V) - Format & Syarat Pertandingan

MAKLUMAT PERLAKSANAAN PERTANDINGAN

1. Pertandingan pusingan awal akan dijalankan menurut sistem liga berkumpulan (bergantung kepada kesesuaian dan jumlah pasukan). Pertandingan peringkat suku akhir, separuh akhir dan akhir pula akan dijalankan secara 'menang-mara'.

2. Setelah tamat pusingan awal, kedudukan setiap pasukan akan ditentukan berdasarkan kriteria berikut;
i) Jumlah kemenangan;
ii) Jumlah juri (jika bersesuaian);
iii) Jumlah margin;
iv) Jumlah markah.

3. Sejumlah 14 buah pasukan yang menduduki tempat pertama dan kedua akan layak secara automatik ke pusingan kedua. Dua buah pasukan di kedudukan ketiga terbaik akan turut layak secara wild-card ke pusingan kedua bagi melengkapkan bilangan 16 buah pasukan bertanding. Penentuan pasukan lawan bagi pusingan kedua akan dilakukan menerusi undian. Manakala penentuan pasukan lawan bagi pusingan suku akhir, separuh akhir dan pertandingan akhir pula akan dilaksanakan menurut jadual pertandingan.

Pusingan Kedua 1 : J lawan K
Pusingan Kedua 2 : L lawan M
Pusingan Kedua 3 : N lawan O
Pusingan Kedua 4 : P lawan Q
Pusingan Kedua 5 : R lawan S
Pusingan Kedua 6 : T lawan U
Pusingan Kedua 7 : V lawan W
Pusingan Kedua 8 : X lawan Y

Suku Akhir 1 : Pemenang PK1 lawan Pemenang PK2
Suku Akhir 2 : Pemenang PK3 lawan Pemenang PK4
Suku Akhir 3 : Pemenang PK5 lawan Pemenang PK6
Suku Akhir 4 : Pemenang PK7 lawan Pemenang PK8

Separuh Akhir 1 : Pemenang Suku Akhir 1 lawan Pemenang Suku Akhir 2
Separuh Akhir 2 : Pemenang Suku Akhir 3 lawan Pemenang Suku Akhir 4

Akhir : Pemenang Separuh Akhir 1 lawan Pemenang Separuh Akhir 2


SYARAT-SYARAT PERTANDINGAN DEBAT PIALA KOPERASI SMKSS

1.0 AM

1.1 Peraturan ini diterimapakai untuk Pertandingan Debat Piala Koperasi SMKSS 2013 anjuran bersama Koperasi SMK Seri Serdang Berhad dengan kerjasama Kelab Bahasa Melayu Kreatif SMKSS dan konsultan Minda Intelek Global serta Azwan Dot Com Enterprise.

1.2 Tafsiran peraturan ini adalah hak mutlak pihak penganjur.

1.3 Pihak penganjur mempunyai hak untuk meminda sebarang peraturan sebelum bermulanya pertandingan sepertimana yang difikirkan sesuai oleh Jawatankuasa Pertandingan Debat Piala Koperasi SMKSS 2013.

2.0 TAFSIRAN

2.1 "Pengerusi Teknikal", "Urus Setia" dan "Hakim" adalah individu-individu yang dilantik oleh pihak penganjur untuk memegang jawatan-jawatan tersebut.

2.2 "Sekolah" bermaksud institusi pendidikan kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia mahupun insitusi-institusi pendidikan swasta yang dijemput oleh pihak penganjur.

2.3 "SMKSS" bermaksud Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Serdang.

3.0 PENYERTAAN

3.1 Pihak penganjur membenarkan jumlah penyertaan sehingga 28 buah pasukan luar bagi menyertai edisi pertandingan kali ini.

3.2 Lima (5) buah pasukan terdiri daripada pasukan bahas SMKSS.

3.3 Dua puluh enam (23) buah pasukan jemputan pula terdiri daripada pasukan sekolah luar.

3.4 Untuk melayakkan diri, setiap pembahas mestilah terdiri daripada para pelajar sekolah yang sama dan menuntut sama ada dalam Tingkatan 1 hingga 3 sahaja (menengah rendah). Namun begitu, bagi sekolah-sekolah yang hanya mempunyai para pelajar menengah atas, maka penyertaan hanya terbuka kepada para pelajar Tingkatan 4 sahaja.

3.5 Setiap pasukan boleh diwakili oleh tiga (3) orang pembahas sahaja tanpa pembahas simpanan. Setiap pembahas hanya boleh mewakili pasukan yang mendaftarkannya sahaja.

3.6 Dalam setiap pasukan, tiada larangan penyertaan untuk mana-mana pembahas yang pernah mewakili sekolah dalam mana-mana pertandingan bahas sebelum ini.

3.7 Jika sekiranya ada sebarang perubahan atau penggantian peserta sebelum bermulanya pertandingan, setiap pasukan perlu memaklumkan perubahan tersebut dan tertakluk kepada keizinan pihak penganjur.

3.8 Pihak penganjur membenarkan perubahan peserta dilakukan sebelum bermulanya pertandingan pusingan awal sahaja. Sebarang perubahan peserta selepas bermulanya pertandingan pusingan awal adalah dilarang. Namun begitu, setiap pasukan hanya boleh diwakili oleh tiga (3) orang pembahas sahaja pada satu-satu masa.


4.0 SISTEM PERTANDINGAN

4.1 Pertandingan akan menggunakan sistem liga berkumpulan bagi pusingan awal.

4.2 Sistem ini akan digunakan untuk menentukan lawan bagi pasukan yang bertanding dan peranan setiap pasukan bagi setiap pusingan awal sama ada selaku Kerajaan ataupun Pembangkang.

4.3 Senarai usul pula akan diumumkan dalam tempoh masa 4 minggu sebelum bermulanya pertandingan. Tema usul bagi setiap pusingan akan dipaparkan dalam tempoh masa 8 minggu sebelum bermulanya pertandingan.

4.4 Penentuan kedudukan bagi pusingan awal sahaja yang akan ditentukan menerusi undian semasa mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Penghakiman dalam jangkamasa 3 minggu sebelum tarikh pertandingan.

4.5 Selepas tamat pusingan awal, pasukan-pasukan yang layak akan ditentukan kedudukan masing-masing dalam ranking keseluruhan kumpulan sebelum mara ke pusingan seterusnya (pusingan kedua).

4.6 Penentuan keputusan menang/kalah adalah berdasarkan sistem juri. Tiada sebarang keputusan seri dibenarkan bagi setiap perlawanan. Pihak juri perlu menentukan pasukan yang menang dan pembahas terbaik bagi setiap perlawanan yang telah berlangsung.

4.7 Bagi melayakkan diri ke pusingan kedua, penentuan pasukan dalam ranking keseluruhan kumpulan adalah berdasarkan kriteria berikut;

4.7.1 Jumlah kemenangan;
4.7.2 Jumlah juri (jika bersesuaian);
4.7.3 Jumlah margin;
4.7.4 Jumlah markah.

4.8 Pertandingan pusingan kedua, suku akhir, separuh akhir dan akhir akan dijalankan menurut sistem 'menang-mara'.

5.0 MASA PERSEDIAAN

5.1 Senarai usul pertandingan akan diumumkan selewat-lewatnya 14 hari sebelum bermulanya pertandingan.

5.2 Penentuan peranan selaku Kerajaan/Pembangkang akan dilaksanakan menerusi sistem liga berkumpulan bagi setiap perlawanan pusingan awal.

5.3 Tiada masa kuarantin yang akan diperuntukkan. Hal ini kerana senarai usul telah dimaklumkan terlebih dahulu kepada semua pasukan menerusi hebahan di media elektronik.

5.4 Setiap pasukan diwajibkan berada di lokasi pertandingan tepat pada waktunya bagi mengelakkan sebarang kelewatan berlaku. Mana-mana pasukan yang gagal hadir ke lokasi pertandingan selepas 15 minit dari masa permulaan pertandingan akan dikira kalah.

6.0 STRUKTUR PERDEBATAN

6.1 Perdebatan akan dijalankan sepenuhnya dalam Bahasa Melayu. Format yang akan digunapakai merupakan gabungan format bahas Hari Kecemerlangan SBP dan debat peringkat IPT.

6.2 Setiap perlawanan akan melibatkan 2 sesi, iaitu;

6.2.1 Sesi Ucapan Substantif : 8 minit x 6 orang pembahas = 48 minit

6.2.2 Sesi Penggulungan : 4 minit x 2 orang pembahas = 8 minit

Jumlah Keseluruhan Masa Perdebatan = 56 minit

6.3 Setiap perlawanan akan mempertemukan dua buah pasukan, iaitu pihak Kerajaan dan pihak Pembangkang.

6.4 Setiap pembahas diwajibkan menyampaikan ucapan substantif masing-masing, iaitu peruntukan masa 8 minit bagi setiap pembahas.

6.5 Ucapan penggulungan pasukan hanya boleh disampaikan sama ada oleh pembahas pertama atau kedua bagi setiap pasukan. Pembahas ketiga tidak dibenarkan untuk menggulung.

6.6 Had waktu ucapan bagi setiap pembahas adalah seperti berikut;

6.6.1 Sesi Ucapan Substantif : 8 minit bagi setiap pembahas

6.6.2 Sesi Penggulungan : 4 minit bagi setiap penggulung

6.7 Izin laluan dibenarkan dalam tempoh masa selepas minit pertama sehingga minit ketujuh dalam sesi ucapan substantif. Tiada izin laluan semasa sesi penggulungan.

6.8 Setiap pembahas diwajibkan memberi dan menerima sekurang-kurangnya 2 kali izin laluan sepanjang pertandingan berlangsung.

6.9 Loceng akan dibunyikan sekali pada akhir minit pertama menandakan pihak lawan sudah dibenarkan untuk memberi izin laluan dan dibunyikan sekali pada akhir minit ketujuh menandakan masa untuk memberi izin laluan telah tamat. Loceng akan dibunyikan 2 kali setelah masa untuk berhujah telah tamat.

7.0 PENGHAKIMAN

7.1 Setiap perlawanan akan diadili oleh bilangan hakim yang ganjil (1, 3, 5, 7 dan 9). Bagi pusingan awal dan pusingan kedua, kaedah penjurian (jika difikirkan sesuai) akan menggunakan sistem juri agung (supreme judge) bagi memudahkan penilaian hakim dan teknikal penghakiman. Bagi pusingan menang-mara, jumlah juri adalah ditetapkan sekurang-kurangnya 3 orang.

7.2 Dalam pusingan awal hinggalah peringkat separuh akhir, Ketua Hakim akan bertindak selaku Tuan Speaker Dewan dengan menjemput pembahas berucap, menjaga ketertiban majlis dan tertakluk kepada peraturan ini, membuat keputusan yang berkaitan dengan segala tatacara dan prosedur yang mungkin dipertikaikan semasa berlangsungnya perlawanan.

7.3 Para hakim mesti mencapai keputusan menang/kalah serta menentukan pembahas terbaik, keputusan seri tidak dibenarkan. Para hakim diingatkan agar tidak menyampuk atau memberi komen semasa perlawanan sedang berlangsung.

7.4 Para hakim tidak boleh berbincang dan mesti mencapai keputusan secara bersendirian.

7.5 Keputusan hakim adalah muktamad. Sebarang pindaan terhadap keputusan adalah tidak dibenarkan selepas penyerahan undi dan pengumuman keputusan perlawanan dilakukan.

8.0 SISTEM PEMARKAHAN

8.1 Setiap ucapan substantif akan diberikan markah maksimum 100 markah berdasarkan;

8.1.1 Isi = 30 markah

8.1.2 Strategi = 30 markah

8.1.3 Gaya = 20 markah

8.1.4 Bahasa = 20 markah

8.2 Setiap ucapan penggulungan pula akan diberikan markah maksimum 50 markah berdasarkan:

8.2.1 Isi = 20 markah

8.2.2 Strategi = 10 markah

8.2.3 Gaya = 10 markah

8.2.4 Bahasa = 10 markah

8.3 Kriteria utama pemarkahan adalah nilai bujukan yang tinggi, iaitu sejauh mana ucapan tersebut menyakinkan dan memberikan sokongan terhadap pendirian/premis pasukan dalam konteks perdebatan.

8.4 Penggunaan bahan luar (majalah, buku, akhbar, carta atau bahan bercetak) serta alat-alat elektronik semasa perlawanan berlangsung adalah dilarang sama sekali.

8.5 Penggunaan ayat-ayat suci Al-Quran dan hadis tidak dibenarkan.

8.6 Setiap pembahas hendaklah berpakaian sopan dan kemas serta berkelakuan tertib sepanjang berlangsungnya perlawanan.

9.0 RAYUAN

9.1 Keputusan hakim adalah muktamad.

9.2 Sekiranya terdapat sebarang bantahan teknikal, sila kemukakan bantahan secara rasmi kepada pihak penganjur dalam tempoh masa 15 minit selepas tamatnya sesuatu perlawanan.

9.3 Jika pihak penganjur mendapati berlakunya sebarang kecacatan atau kesilapan dalam pengendalian sesuatu perlawanan, maka usaha akan diambil agar tidak menjejaskan kepentingan mana-mana pihak. Pihak penganjur mempunyai hak mutlak dalam memutuskan sebarang rayuan yang diajukan.

No comments: