Sunday, December 25, 2011

Debat Terbuka Online (DTO) 2011 - PA101

PUSINGAN AWAL

Tarikh/Masa : 7 Disember 2011, 9.00 pagi hingga 9.00 malam
Tema : Politik Antarabangsa - ASEAN

Kerajaan : Kamraj Shanmuganathan
Pembangkang : Fariq Bukhari Samsudin

Usul : MYANMAR PATUT DIBERI PELUANG MENJADI PENGERUSI ASEAN 2014.


Perdana Menteri (Kamraj)

Salam perbahasan. Bertindak selaku Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, mohon izin Tuan Yang Dipertua untuk menggagaskan usul yang cukup menarik, iaitu ‘Myanmar patut diberi peluang menjadi Pengerusi ASEAN 2014’. Maka,selaku pihak kerajaan, kami menyokong penuh gagasan usul ini.

Izinkan saya memulakan sesi perbahasan pada hari ini dengan membentangkan definisi konsep berkenaan usul kita pada hari ini.

Frasa pertama, ‘Myanmar’. Myanmar merupakan salah sebuah negara yang terletak di Asia Tenggara dan telah menjadi anggota ASEAN sejak tahun 1997. Pentadbiran Myanmar dipimpin oleh kerajaan junta tentera dan sering dikecam oleh pelbagai pihak. Walau bagaimanapun, corak pentadbiran berbentuk demokrasi semakin kukuh di Myanmar selepas pilihanraya umum pada 7 November 2010.

Frasa seterusnya, ‘menjadi Pengerusi ASEAN 2014’. Menurut piagam ASEAN, Jawatan Pengerusi ASEAN harus mengikut giliran pada setiap tahun,berdasarkan susunan abjad pertama nama negara-negara Anggota dalam bahasa Inggeris. Negara anggota ASEAN yang terpilih untuk memegang jawatan ini harus mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN dan sidang kemuncak yang berkaitan, Majlis Penyelarasan ASEAN, ketiga-tiga Majlis Komuniti ASEAN, Badan-Badan Sektoral Peringkat Menteri ASEAN dan pegawai-pegawai kanan yang berkaitan serta Jawatankuasa Wakil Tetap. Mengikut sistem giliran Piagam ASEAN, Myanmar bakal menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 2014.

Seterusnya, frasa yang menjadi kayu ukur dalam sesi perbahasan kita pada hari ini, iaitu frasa ‘patut diberi peluang’. Frasa ini merujuk kepada keadaan di mana seseorang individu atau kumpulan perlu membuka kesempatan kepada individu atau kumpulan lain tanpa mengabaikan kepentingan pihak masing-masing. Kesempatan tersebut seharusnya tidak membawa kemudaratan kepada mana-mana pihak serta mampu menepati hasrat yang hendak dicapai . Selesai pendefinisian konsep.

Selaku pihak kerajaan pada hari ini, pendirian kami amat utuh, iaitu ‘Myanmar harus berkesempatan menjadi Pengerusi ASEAN 2014’. Maka, sila analisis hujah perdana kami berdasarkan kata kunci ‘Keyakinan negara-negara di seluruh dunia terhadap Myanmar’.

Fakta pertama, perubahan corak politik di Myanmar. Parti Perpaduan dan Pembangunan Kesatuan yang memenangi pilihanraya umum 2010 telah melakukan pelbagai perubahan yang drastik dan ternyata perubahan tersebut dialu-alukan oleh anggota ASEAN dan negara-negara yang lain di seluruh dunia. Antaranya, memberikan pengampunan kepada lebih 20, 000 orang tahanan, menubuhkan Jawatankuasa Hak Asasi Manusia serta bekerjasama dengan Aung San Suu Kyi. Perubahan-perubahan ini jelas menarik perhatian dunia terhadap Myanmar.

Buktinya, Amerika Syarikat telah menghantar setiausaha negaranya, Hillary Clinton untuk membuat lawatan rasmi ke Myanmar demi melihat sendiri perubahan-perubahan drastik di negara tersebut. Pemimpin wanita yang disegani itu ternyata gembira dengan keadaan Myanmar yang semakin pulih. Malah, Amerika Syarikat bersetuju untuk menghentikan sekatan ekonomi ke atas Myanmar jika perubahan politik tersebut terus dilakukan.

Semasa Sidang Kemuncak ASEAN Ke-19 yang berlangsung di Bali, Indonesia pula, pemimpin-pemimpin anggota ASEAN bersetuju untuk menerima Myanmar sebagai Pengerusi ASEAN 2014 setelah mengambil kira aspek keselamatan, kebolehan Myanmar memegang mandat tersebut serta situasi yang sedang berlaku di Myanmar. Malah, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri merupakan salah seorang pemimpin yang menyatakan persetujuan ke atas keputusan tersebut selain sokongan padu daripada Perdana Menteri Thailand dan Singapura.

Maka Tuan yang Dipertua, sokongan pemimpin-pemimpin anggota ASEAN terhadap keputusan untuk membenarkan Myanmar menjadi Pengerusi ASEAN 2014 ternyata menggambarkan sikap berat sama dipikul, ringan sama dijinjing kerana mereka menunjukkan semangat kekitaan dengan saling menyokong antara satu sama lain.

Oleh itu, jika kepercayaan negara-negara serantau serta negara-negara yang lain di seluruh dunia terhadap Myanmar semakin meningkat, pasti negara itu mampu menjadi Pengerusi ASEAN 2014 tanpa sebarang masalah.

Maka, benarlah pendirian kami bahawa sesungguhnya ‘Myanmar harus berkesempatan menjadi Pengerusi ASEAN 2014’.
Oleh itu, usul kita pada hari ini wajar diterima. Sekian, mohon untuk terus mencadang.


Ketua Pembangkang (Fariq)

Salam Sejahtera dan salam 1 Malaysia. Yang dihormati, barisan kerajaan dan Tuan Yang dipertua.Usul kita masih sama,'Myanmar Patut Diberi Peluang Menjadi Pengerusi ASEAN 2014'. Maka, selaku wakil tunggal pihak pembangkang, saya meragui gagasan usul pada hari ini berdasarkan rasional memperlihatkan kegagalan dan kekurangan kapasiti Myanmar sebagai Pengerusi ASEAN 2014.

Bidasan: Pada hemat saya, saya tidak mempunyai masalah dengan konseptual pihak pembangkang melalui definisi 'Myanmar' dan 'menjadi Pengerusi ASEAN 2014', namun yang ingin saya persoalkan ialah frasa 'patut diberi peluang'. Mengikut hemat pihak kerajaan, YB mengatakan keadaan yang mana negara-negara anggota patut memberi peluang
kepada Myanmar untuk menjadi Pengerusi ASEAN 2014. Saya bidas, kerana andai kata Myanmar tidak mempunyai kapasiti dan kemampuan sebagai negara anggota, maka mengapa dan kenapa seharusnya perlu ada frasa 'patut diberi peluang' kepada Myanmar. Kita berbicara mengenai satu pertubuhan antarabangsa yang melibatkan sepuluh negara anggota yang mempunyai populasi lebih 600 juta penduduk. Sanggupkah kita menggadaikan nasib 600 juta penduduk di rantau ASEAN hanya kerana 'patut memberi peluang' kepada Myanmar? Saya mohon yang kedua menjawab persoalan ini. Selesai bidasan konsep.

Bidasan Hujah: Hujah perdana kerajaan ialah keyakinan negara negara dunia terhadap Myanmar. Beliau mengatakan perubahan demi perubahan yang dilakukan telah menunjukkan kesediaan Myanmar untuk menjadi Pengerusi ASEAN 2014. Saya bidas, apakah kayu ukur dominan yang mengatakan perubahan yang dilakukan Myanmar benar-benar menjadikan mereka berupaya menjadi Pengerusi ASEAN 2014? Analoginya, Malaysia sebagai contoh, juga telah menjadi pemimpin ASEAN, politik di Malaysia mengambil masa 54 tahun untuk benar-benar stabil. Maknanya, Myanmar yang baru mengecap erti demokrasi tidak sampai 10 tahun, adakah benar-benar sesuai untuk menjadi ketua ASEAN? Cukupkah hanya dengan keyakinan dan sedikit perubahan, boleh menerajui ASEAN. kalau begitu, saya bolehlah menjadi Setiausaha Agung PBB hanya dengan lakukan sedikit muhasabah diri dan yakinkan pemimpin dunia.

Hujah pertama pihak pembangkang adalah berdasarkan kata kunci keadaan geopolitik Myanmar yang meruncing. Maka sila teliti hujah saya.

Fakta pertama, Myanmar baru pulih daripada pemerintahan junta tentera yang menguasai pentadbiran negara selama puluhan tahun. Maknanya, Republik Demokrasi Myanmar pun masih dikatakan sebagai sebuah negara baru. Pelbagai krisis masih menjadi pertikaian di Myanmar termasuklah pemilihan teraju pemerintahan.Malah, isu pemilihan Napyidaw sebagai ibu negara baru Myanmar juga menjadi satu masalah . Kita berbicara mengenai Pengerusi ASEAN 2014, bukan sebuah pertubuhan kecil ataupun untuk memilih ketua kelas. Keadaan geopolitik di ASEAN sememangnya dibelenggu pelbagai masalah terutama melibatkan kebajikan negara anggota dan isu keselamatan. Adakah Myanmar berupaya menyelesaikan masalah ASEAN sedangkan negaranya sendiri pun masih terumbang-ambing?

Sebagai bukti, ASEAN pada 2002 telah dilabelkan sebagai pusat melahirkan militan dan pengganas dunia. Hal ini dibuktikan dengan wujudnya 'ikon' pengganas seperti Mas Selamat, Nordin Mat Top, dam Azahari Husin. Maka, adakah Myanmar mampu menangkis segala tohmahan yang dilemparkan khususnya oleh pihak Barat kepada ASEAN. Seorang ketua wajib mempertahankan segala hak dan kebajikan negara anggota dalam pelbagai sektor. Mana mungkin sebuah negara yang masih terkial-kial mengenai demokrasi boleh dilantik sebagai ketua negara anggota.

Kita bukan berbicara mengenai keyakinan semata-mata. Hanya sekadar keyakinan Hillary Clinton terhadap Myanmar membuat kita alpa dengan kemampuan sebenar Myanmar. Buktinya, sewaktu Sukan Sea 2011 baru-baru ini, semua negara anggota yakin dengan penganjuran oleh Indonesia. Hasilnya, Sukan Sea yang terburuk dalam sejarah ASEAN dan menerima kritikan dari seluruh badan sukan dunia kerana melibatkan kematian. Bayangkan, itulah padah apabila keyakinan dijadikan kayu ukur semata-mata. Saya di pihak pembangkang bukan mahu membangkang dengan idea kontang. Namun, kami mohon sidang dewan teliti keadaan geopolitik sebenar Myanmar.

Saya ingin mengingatkan,segala permasalahan kelak dek kerana keyakinan menjadi kayu ukur kepada Myanmar melibatkan 600 penduduk ASEAN, bukannya rakyat Amerika Syarikat. Sistem giliran ketua ASEAN seharusnya dipinda memperlihatkan tahap kesediaan Myanmar yang kurang. Kerana inilah saya di pihak pembangkang merasakan perlunya usul ini diragui memperlihatkan kekurangan kapasiti dan keadaan geopolitik di Myanmar yang semakin meruncing terutama melibatkan isu kebajikan negara anggota, isu keselamatan yang sememangnya memerlukan sebuah negara yang benar-benar mampu menangkis cabaran globalisasi dan membawa ASEAN keluar dari takuk yang lama.

Justeru kami di pihak pembangkang sekali lagi meragui gagasan usul pada hari ini berdasarkan rasional kegagalan dan kekurangan kapasiti Myanmar sebagai Pengerusi ASEAN. Mohon untuk terus membangkang.


Menteri Kedua (Kamraj)

Salam perbahasan. Bertindak selaku menteri kedua pada hari ini, saya tetap menyokong penuh gagasan usul kita pada hari ini, iaitu ‘Myanmar patut diberi peluang menjadi Pengerusi ASEAN 2014’.

Saya bidas Yang Berhormat Ketua Pembangkang terlebih dahulu. Bangkit beliau sebentar tadi telah meminda frasa ‘patut diberi peluang’dengan mempersoalkan kebolehan Myanmar untuk menjadi Pengerusi ASEAN 2014. Namun begitu, kita harus melihat perubahan drastik negara tersebut dalam tempoh setahun sejak pilihan raya umum pada tahun lalu. Perubahan-perubahan positif tersebut nyata mendapat perhatian serta sokongan padu daripada seluruh dunia. Maka, bagaimana kita boleh mempersoalkan kebolehan Myanmar? Jika dalam tempoh setahun, Myanmar telah berubah seperti yang kita dapat lihat pada hari ini, bayangkan pencapaian yang boleh dikecapi oleh Myanmar dalam tempoh dua tahun lagi sebelum tahun 2014 tiba. Maka, bidasan terhadap definisi konsep kami tidak wajar.

Sebenarnya, frasa ‘patut diberi peluang’ merujuk kepada keadaan di mana seseorang individu atau kumpulan perlu membuka kesempatan kepada individu atau kumpulan lain tanpa mengabaikan kepentingan pihak masing-masing. Kesempatan tersebut seharusnya tidak membawa kemudaratan kepada mana-mana pihak serta mampu menepati hasrat yang hendak dicapai .

Seterusnya, bangkit juga Yang Berhormat Ketua Pembangkang sebentar tadi telah membentangkan hujah perdana beliau dengan mengatakan bahawa Myanmar masih merupakan negara ‘muda’ dan belum bersedia untuk memimpin ASEAN. Namun begitu, mana-mana negara sekalipun tidak dapat membuktikan bahawa mereka mampu membuat sesuatu sebelum melaksanakannya. Yang berhormat tidak patut mempertikaikan kebolehan Myanmar hanya kerana negara tersebut belum pernah menjadi Pengerusi ASEAN. Segala-galanya harus bercambah daripada keyakinan, jika tidak pasti berlaku pergolakan antara anggota ASEAN sendiri. Keadaan itukah yang kita mahu lihat? Sudah pasti tidak ! Selesai bidasan.

Pendirian kami tetap sama, iaitu ‘Myanmar harus berkesempatan menjadi Pengerusi ASEAN’. Dengan itu, sila analisis hujah kedua kami berdasarkan kata kunci ‘Perkembangan positif tahap keselamatan di Myanmar’.

Tahap keselamatan Myanmar semakin mendapat kepercayaan seluruh dunia. Hal ini dapat dibuktikan menerusi lawatan rasmi menteri-menteri luar negara ke Myanmar. Pada 5 Oktober 2010, Perdana Menteri Thailand disifatkan mengambil langkah berani untuk membuat lawatan rasmi ke Myanmar yang sedang menghadapi ‘musim pilihanraya umum’ ketika itu. Namun begitu, beliau pulang dengan selamat tanpa sebarang ancaman keselamatan. Pada minggu lepas pula. Amerika Syarikat telah menghantar Hillary Clinton ke Myanmar. Sedikit lucu apabila Hillary Clinton yang khuatir tentang keselamatan dirinya sebelum melawat Myanmar pulang dengan selamat ke Amerika Syarikat tanpa sebarang ancaman keselamatan.

Seterusnya, kita lihat penganjuran Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Persatuan Pelabuhan ASEAN Ke-31 pada tahun 2010. Myanmar ternyata berjaya menganjurkan mesyuarata tersebut tanpa sebarang masalah. Malah, keselamatan setiap wakil anggota ASEAN yang menghadiri mesyuarat tersebut dikawal dengan ketat sehinggalah mereka pulang semula.

Maka Tuan yang Dipertua, jika tahap keselamatan di Myanmar terbukti mampu berada dalam keadaan yang baik, maka tidak ada alasan untuk kita tidak memberikan peluang kepada Myanmar untuk menjadi Pengerusi ASEAN 2014.

Seterusnya, hujah ketiga kami berdasarkan kata kunci ‘Peranan Pengerusi ASEAN 2014 mampu mendatangkan impak positif kepada Myanmar’. Menerusi hujah ini, kita akan lihat bagaimana peranan Pengerusi ASEAN dapat mengubah persepsi masyrakat dunia terhadap Myanmar.

Sememangnya perlu diakui bahawa peranan Pengerusi ASEAN memerlukan kebolehan serta kemampuan yang besar kerana negara yang menyandang jawatan tersebut harus mempengerusikan pelbagai jawatankuasa yang melibatkan ASEAN. Persoalannya, mampukah peranan ini disandang oleh Myanmar? Sudah tentu ya, kerana dalam tempoh setahun, sejak pilihan raya umum 2010, pemimpin tertinggi Myanmar, Tein Sien sendiri telah melakukan pelbagai perubahan terhadap Myanmar sehingga mengubah pandangan negatif negara-negara serantau terhadap negara itu. Walau bagaimanapun, Myanmar masih memerlukan kepercayaan tinggi negara-negara serantau supaya negara-negara lain di dunia menghapuskan persepsi negatif mereka terhadap Myanmar. Kepercayaan negara-negara serantau pasti terserlah dengan memberi peluang kepada Myanmar untuk menyandang jawatan ASEAN.

Maka, apabila memegang jawatan Pengerusi ASEAN 2014, sudah tentu persepsi masyarakat dunia terhadap Myanmar berubah. Malah, keadaan ini mampu menjadi salah satu sebab konkrit Myanmar untuk bebas daripada pelbagai sekatan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.

Maka, benarlah premis kami bahawa sesungguhnya ‘Myanmar harus berkesempatan menjadi Pengerusi ASEAN 2014’.

Oleh itu, usul kita pada hari ini sememangnya wajar diterima. Sekian, mohon untuk terus mencadang.


Pembangkang Kedua (Fariq)

Selaku Pembangkang kedua di pihak pembangkang, sekali lagi saya menegaskan pendirian kami di pihak pembangkang yang meragui gagasan usul pada hari ini iaitu 'Myanmar Patut Diberi Peluang Menjadi Pengerusi ASEAN 2014' berdasarkan rasional kegagalan dan kekurangan kapasiti Myanmar sebaga Pengerusi ASEAN 2014.

Saya mulakan dengan bidasan terhadap menteri kedua. Beliau telah mengatakan frasa 'patut diberi peluang' merujuk kepada peluang yang harus diberikan kepada Myanmar untuk menjadi Pengerusi ASEAN berdasarkan perubahan yang telah dilakukan. Masalahnya sekarang ini, Myanmar hanya mempunyai masa selama 2 tahun untuk mempersiapkan negaranya untuk menjadi Pengerusi ASEAN. Bayangkan seluruh pegangan, misi, dan segala tumpuan pembentukan kegiatan ekonomi akan beralih ke Napyidaw. Ya, keyakinan adalah satu perkara, namun cukupkah hanya dengan keyakinan semata-mata? Mampukah Myanmar membawa ASEAN ke satu tahap yang lebih baharu hanya bersandarkan keyakinan?

Menteri kedua juga bangun membawa hujah kedua iaitu perkembangan positif tahap keselamatan di Myanmar. Contoh beliau, Perdana Menteri Thailand pulang selamat selepas melawat negara itu. Saya bidas, masalahnya sekarang ini, benarkah hanya memperlihatkan satu kes semata-mata, kita boleh mengatakan tahap keselamatan di Myanmar benar-benar stabil, bagaimana pula dengan statistik oleh Mesyuarat Ketua Negara Komanwel (CHOGM) baru-baru ini yang melabelkan Myanmar atau Burma mempunyai indeks pelakuan jenayah yang tinggi ditambah dengan korupsi melibatkan pengamal birokrasi berbanding dengan negara lain. Sidang dewan tidak mahukan bukti pemimpin tertinggi dunia selamat di Myanmar semata-mata, tambahan pula sememangnya pemimpin dunia dikawal ketat, masalahnya berkaitan dengan situasi keselamatan secara menyeluruh. Dan Menteri kedua gagal melaksanakannya.

Hujah ketiga ialah Peranan sebagai Pengerusi ASEAN akan membawa impak positif kepada Myanmar. Ya, memang saya akui akan membawa impak positif kepada Myanmar, namun dalam masa yang sama mencetuskan polemik dan ketidakseimbangan geopolitik di negara lain! Pelbagai dana akan disalurkan kepada Myanmar dan akan membawa perkembangan positif, namun, adakah pelantikan Myanmar sebagai Pengerusi ASEAN akan membawa impak positif kepada negara-negara anggota? Atau hanya akan menjadi boneka semata-mata? Perkara ini langsung gagal dijawab oleh Perdana Menteri dan Menteri Kedua sebentar tadi.

Perdana Menteri pula sebentar tadi telah membuat konseptual yang terlalu mudah dengan mengatakan Myanmar patut diberi peluang kerana pelbagai perubahan yang telah dilakukan. Saya bidas, kerana segala perubahan ini tidak dirujuk sebagai perubahan positif kepada seluruh ASEAN.Perubahan hanya melibatkan domestik. Nampak sangat pemimpin Myanmar mempunyai agenda tersendiri untuk menjadi Pengerusi ASEAN. Hujah pertamanya ternyata bercanggah dengan menteri kedua! Beliau bercakap mengenai keyakinan dunia, tiba-tiba menteri kedua bangun dan mengatakan bagaimana Myanmar hendak keluar dari sekatan ekonomi oleh dunia barat sedangkan negara ASEAN gagal memberi keyakinan kepada Myanmar. Tadi kata dunia sudah yakin, bangun yang kedua membuat persepsi sendiri dan menolak hujah yang pertama tadi dengan mengatakan dunia tidak akan yakin dengan Myanmar selagi tidak dilantik sebagai Pengerusi ASEAN.

Hujah kedua kami di pihak pembangkang mengenai keadaan ekonomi.
Sidang dewan, kita sudah maklum dengan situasi sebenar ekonomi Myanmar. Myanmar merupakan sebuah negara pertanian yang mempunyai pertumbuhan ekonomi yang sangat lemah kalau hendak dibandingkan dengan negara ASEAN yang lain. Hal ini kerana Myanmar merupakan sebuah negara baru dan telah mempunyai krisis sejak sekian lama. malah, pendapatan per kapita rakyat Myanmar ialah hanya 702 Dolar Amerika dan kadar keluaran dalam negara kasar mereka hanyalah 49 bilion Dolar Amerika mengikut data Census Ekonomi Dunia. KDNK mereka tidak sampai suku daripada bajet pembangunan dan pentadbiran Malaysia tahun 2010 iaitu mencecah 200 bilion dolar Amerika dan pendapatan per kapita Malaysia iaitu lebih 14000 dolar Amerika.

ASEAN sebenarnya memerlukan seorang ketua yang mampu untuk mengadakan diplomasi yang baik antara pertubuhan-pertubuhan dunia. Hal ini kerana pertumbuhan ekonomi di ASEAN amat lemah kalau hendak dibandingkan dengan pertubuhan lain seperti Kesatuan Eropah. Pengerusi ASEAN seharusnya mempunyai kebolehan untuk mewujudkan persekitaran ekonomi yang sihat dalam kalangan negara anggota. Hal ini melibatkan kesediaan hampir 10 juta penggiat ekonomi di negara-negara ASEAN. Dan pada hemat saya di pihak pembangkang, Myanmar gagal untuk menepati kriteria ini. Memperlihatkan kegagalan mereka untuk mewujudkan persekitaran ekonomi di negaranya sendiri, saya risau Myanmar akan mencetuskan spekulasi ekonomi yang kurang baik kepada ASEAN. Para pelabur akan menganggap ASEAN tidak mempunyai kredibiliti yang cukup untuk menjalankan kegiatan ekonomi. Lumrah dunia, jika hendak melihat kemampuan sesebuah pertubuhan, maka ketuanya akan menjadi kayu ukur. Dan jikalau Myanmar yang menjadi kayu ukur, maka saya berasa pasaran ekonomi ASEAN akan ditimpa masalah dan sememangnya ekonomi di Myanmar tidak mencerminkan ekonomi negara membangun ASEAN seperti Singapura dan Malaysia.

Bukan mahu untuk menidakkan hak Myanmar, cuma saya mahu agar pelantikan Myanmar sebagai Pengerusi ASEAN 2014 dipertimbangkan semula agar ASEAN dapat melangkah keluar daripada kepompong negara konservatif. Mungkin Myanmar harus diberi masa untuk mempersiapkan dahulu geopolitik dan ekonominya,kemudian barulah dilantik semula.

Hujah saya yang ketiga ialah mengenai kekurangan kapasiti oleh Myanmar untuk merencanakan hubungan diplomatik dengan blok dunia lain.
Umum mengetahui Myanmar baru sahaja mengecap erti demokrasi tidak sampai 5 tahun. Hal ini menyebabkan Myanmar masih lagi dilabelkan sebagai negara baru dan tidak mempunyai hubungan diplomatik yang benar-benar kukuh. Di dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Myanmar langsung tidak memberi impak kepada badan tersebut. Sedangkan hubungan diplomatik antara negara anggota ASEAN dengan negara-negara blok dunia lain harus dipertingkatkan. Mengikut UNESCO, melalui data World Tourism Cencus, kadar pelancongan di ASEAN masih di tahap rendah dek kerana ketidakseimbangan politik dan isu keselamatan.

Hal ini akan bertambah teruk dengan pelantikan Myanmar sebagai Pengerusi kerana majoriti negara di dunia ragu-ragu akan keadaan di Myanmar. Buktinya, negara blok komunis dan blok kapitalis masih lagi tidak mengadakan hubungan diplomatik menyeluruh dengan Myanmar. Myanmar masih terkial-kial hendak membuat hubungan diplomatik dengan negara luar, mana mungkin Myanmar akan memberi impak positif kepada ASEAN? Ingin saya tegaskan, Ketua dilantik untuk memberi impak positif kepada pertubuhan, bukannya pertubuhan yang memberi impak positif kepada ketua.

Dan saya kira sepanjang penghujahan pihak kerajaan, mereka gagal menjawab tuntutan usul, apa yang boleh dilakukan Myanmar untuk membawa impak positif kepada ASEAN.
Mereka berdolak dalih dengan memutar belit keadaan bahawa Myanmar yang akan mendapat impak positif jika dilantik sebagai pengerusi.Impak positif kepada negara-negara anggota ASEAN? Langsung tidak disebutkan.

Maka, selaku pembangkang kedua, dengan rasional memperlihatkan kegagalan dan kekurangan kapasiti oleh Myanmar sebagai Pengerusi ASEAN, mohon untuk terus membangkang.


Menteri Ketiga (Kamraj)

Salam perbahasan. Bertindak selaku menteri ketiga pada hari ini, saya tetap menyokong penuh gagasan usul kita yang cukup menarik pada hari ini, iaitu ‘Myanmar patut diberi peluang menjadi Pengerusi ASEAN 2014’.

Pendirian kami selaku pihak kerajaan tetap sama, iaitu ‘Myanmar harus berkesempatan menjadi Pengerusi ASEAN 2014’.

Baik Tuan Yang Dipertua, saya ingin memulakan gerak kerja saya pada hari ini dengan membidas pembangkang kedua. Bangkit beliau sebentar tadi telah membentangkan hujah ketiga pihak pembangkang berdasarkan kata kunci kekurangan kapasiti oleh Myanmar untuk merencanakan hubungan diplomatik dengan blok dunia lain. Beliau cuba mengatakan bahawa Myanmar masih ‘terkial-kial’ untuk mewujudkan hubungan yang baik dengan negara luar. Walau bagaimanapun, Yang Berhormat perlu sedar bahawa Myanmar sedang berusaha untuk mewujudkan hubungan dua hala dengan pelbagai negara di seluruh dunia. Seperti kata Yang Berhormat tadi, bagaimana kita boleh mengharapkan satu pencapaian yang terlampau saujana daripada sebuah negara yang sedang pulih? Bukankah dengan pelbagai pelan pembaharuan politik yang sedang dilaksanakan oleh Myanmar cukup untuk membuktikan bahawa Myanmar mampu bersedia menjelang tahun 2014? Malah, hubungan Myanmar dengan Amerika Syarikat, Thailand serta negara-negara Kesatuan Eropah juga semakin baik dalam tempoh sejak Myanmar mengalami proses pilihan raya.

Seterusnya Tuan yang Dipertua, hujah kedua pihak pembangkang berdasarkan kata kunci keadaan ekonomi di Myanmar yang lemah. Beliau begitu asyik melambakkan pelbagai fakta berkenaan keadaan ekonomi Myanmar yang lemah sehingga tidak mengkaji punca berlakunya perkara tersebut. Tuan yang Dipertua, keadaan tersebut berpunca daripada pelbagai sekatan ekonomi yang dikenakan oleh Amerika Syarikat serta Kesatuan Eropah. Myanmar sememangnya memerlukan satu perkara konkrit untuk ditunjukkan kepada kedua-dua pertubuhan tersebut bahawa ia telah betul-betul berubah. Bagaimana perkara ini dapat dilakukan? Sudah tentu dengan menjadi Pengerusi ASEAN 2014. Pada masa yang sama, kami tidak bermaksud bahawa Myanmar perlu diberi peranan Pengerusi ASEAN semata-mata untuk faedahnya sendiri, tetapi setiap perkara pasti mempunyai faedah dua hala. Malah, Myanmar sememangnya diberi masa selama dua tahun sebelum dilantik menjadi pengerusi ASEAN 2014. Maka, perkara-perkara ini pasti membuka peluang kepada Myanmar untuk bersedia. Pada masa yang sama, beliau juga cuba berputar-belit dan menunjukkan bahawa percanggahan telah berlaku antara menetri kedua serta Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Percanggahan tersebut tidak pernah berlaku. Menteri kedua kami cuma berkata bahawa peranan Pengerusi ASEAN akan menjadi satu sebab yang lebih konkrit DISERTAI dengan keyakinan padu daripada negara-negara ASEAN. Tidak pernah pula beliau berkata bahawa negara-negara serantau tidak yakin dengan kebolehan Myanmar. Jangan membuat tuduhan melulu Yang Berhormat. Selesai bidasan terhadap pembangkang kedua.

Seterusnya Tuan Yang Dipertua, bangkit pula Yang Berhormat Ketua Pembangkang sebentar tadi bersama hujah perdana beliau berdasarkan kata kunci keadaan geopolitik Myanmar yang meruncing. Hujah perdana beliau sememangnya tidak wajar kerana beliau membuat andaian berdasarkan situasi sebelum sistem demokrasi semakin kukuh di Myanmar. Sepatutnya, sebagai pihak pembangkang yang baik, beliau harus menunjukkan kekangan-kekangan yang terdapat di Myanmar pada masa kini, bukannya dahulu. Beliau juga tidak patut mempersoal keyakinan terhadap kebolehan Myanmar menjadi Pengerusi ASEAN dengan membandingkan isu Sukan SEA di Indonesia. Lain padang, lain belalang Yang Berhormat. Selesai sesi bidasan.

Maka Tuan Yang Dipertua, benarlah premis kami yang berbunyi ‘Myanmar harus berkesempatan menjadi Pengerusi ASEAN 2014’.

Oleh itu, sememangnya wajarlah usul kita pada hari ini diterima. Sekian, mohon untuk terus mencadang.


Pembangkang Ketiga (Fariq)

Salam perbahasan dan salam 1 Malaysia. Yang dihormati sidang dewan dan barisan kerajaan. Bertindak selaku pembangkang ketiga pada hari ini, sekali lagi saya menegaskan prinsip kami di pihak pembangkang masih sama iaitu meragui gagasan usul pada hari ini iaitu 'Myanmar Patut diberi peluang menjadi Pengerusi ASEAN 2014' berdasarkan rasional kegagalan dan keupayaan Myanmar sebagai Pengerusi ASEAN. Gerak kerja saya cukup mudah, pertama melakukan pembedahan siasat terhadap kes di pihak kerajaan dan memberi teguran-teguran mesra kepada pihak kerajaan.

Saya mulakan dengan Menteri Ketiga.
Beliau menyentuh mengenai frasa 'terkial-kial' Beliau membidas dengan mengatakan Myanmar sedang berusaha melakukan hubungan diplomatik dengan negara luar. Sudah terang lagi bersuluh, ibarat rusa masuk perangkap, Menteri ketiga telah mengiyakan pendapat kami di pihak pembangkang yang mengatakan kekurangan kapasiti oleh Myanmar sebagai Pengerusi ASEAN. Saya ingin memperjelaskan, mana mungkin sesebuah negara mampu untuk mewujudkan situasi diplomatik dalam kalangan negara anggota sedangkan negara tersebut masih berusaha melakukan usaha tersebut. Mungkin pihak kerajaan agak kabur, matlamat sebenar Myanmar mahu menjadi Pengerusi ASEAN 2014 adalah untuk memudahkan mereka 'menjual' nama sebagai Pengerusi ASEAN untuk melakukan hubungan diplomatik, bukan membawa ASEAN keluar daripada takuk yang lama. Beliau juga menyentuh mengenai faedah 2 hala.

Saya bidas, faedah 2 hala yang dimaksudkan beliau ialah faedah yang bakal Myanmar dapat jika menjadi Pengerusi ASEAN semata-mata. Bukannya faedah yang akan didapati secara menyeluruh. Adakah Myanmar menjadi contoh ekonomi yang bagus sedangkan ekonominya gawat? Mampukah Myanmar menjadi ketua diplomasi bagi meredakan sengketa Thailand-Kemboja yang tidak berpenghujung walhal geopolitik mereka terumbang-ambing. Peluang adalah peluang, namun peluang yang diberi seharusnya diberi bersandarkan keupayaan. Kami di pihak pembangkang bukan mahu menidakkan hak Myanmar. Namun dalam tempoh masa yang amat singkat iaitu 2 tahun, Myanmar sememangnya tidak berupaya mengepalai jentera ASEAN seramai 600 juta penduduk. Beliau memainkan sentimen keyakinan oleh pemimpin serantau terhadap Myanmar. Saya bawa sidang dewan sekalian, kita singkap sejarah, selepas Perang Vietnam, Kemboja telah dipimpin oleh Pol Pot, menubuhkan Republik Demokratik Kemboja. Seluruh dunia memberi sepenuh keyakinan kepada pemerintahan baharu Kemboja. Namun, selepas 10 tahun, apa yang terjadi Pemerintahan paling kejam melibatkan 1 juta kematian oleh Rejim Khmer Rogue. Bukan mahu mendoakan perkara sama berlaku di Myanmar, namun situasi politik yang terumbang-ambing di Myanmar memungkinkan perkara ini terjadi. Kerana inilah kami di pihak pembangkang menolak hujah pihak kerajaan yang hanya disandarkan kepada keyakinan semata-mata. Mereka langsung tidak mewujudkan pertikaian konkrit dan sekali lagi bangun yang ketiga langsung tidak menjawab tuntutan usul, apa faedah kepada ASEAN jika Myanmar dilantik sebagai Pengerusi dan kelebihan Myanmar yang dominan dalam menjadi Pengerusi ASEAN.Salahkah memberi peluang kepada Myanmar menstabilkan dahulu geopolitiknya daripada menggadaikan nasib 600 juta penduduk ASEAN daripada segi pembangunan ekonomi dan kebajikan negara anggota. Cukupkah hanya dengan 2 tahun?

Saya mara kepada Menteri Kedua.
Beliau membawa hujah kedua di bawah kata kunci perkembangan positif tahap keselamatan di Myanmar.Beliau tunjukkan kes-kes melibatkan pemimpin dunia. Hal ini tidak adil kerana para pemimpin dunia sememangnya sentiasa dikawal ketat. Untuk menjadi kerajaan yang baik, beliau seharusnya membawa statistik indeks jenayah, ataupun pandagan masyarakat dunia serta tahap pelancongan di negara tersebut. Bukan mahu memperkecilkan badan keselamatan Myanmar, namun badan keselamatan yang hanya berusia beberapa tahun ini seharusnya diberi masa yang secukupnya untuk mempersiapkan fasiliti dan pegawai-pegawai keselamatan yang cukup. Kita berbicara mengenai pertubuhan yang besar iaitu ASEAN, maknanya, jika Myanmar dilantik sebagai Pengerusi, segala mesyuarat dan hubungan melibatkan negara anggota akan dilaksanakan di Napyidaw. Maka, rasional harus diambil kira, bersediakah Myanmar untuk membuka pintunya ke dunia luar dalam masa yang sama cuba menangani isu keselamatan negaranya sendiri. Mengikut statistik yang dikeluarkan Badan Polis Antarabangsa (INTERPOL) dalam satu sidang media selepas pilihan raya umum Myanmar, mereka mengatakan masih terdapat pertelagahan melibatkan badan keselamatan baharu dan puak penentang ala militan di Myanmar. Namun, dengan kepintaran Malaysia serta negara Asia Tenggara yang lain, berjaya menidakkan campur tangan asing terhadap Myanmar dan memberikan Myanmar hak untuk berdemokrasi. Bayangkan puak penentang ini mendapat kerjasama daripada badan militan dunia yang lain dan membuat huru-hara di Myanmar. Sewaktu itu, kredibiliti ASEAN akan tercalar dan mungkin nasib ASEAN akan seperti ASA(Pertubuhan Asia Tenggara) yang dibubarkan pada 1972 dek kerana gagal membendung Perang Vietnam.

Hujah ketiga mereka ialah mengenai impak positif yang akan diterima oleh Myanmar sekiranya menjadi pemimpin ASEAN. Masalahnya, beliau langsung tidak menyatakan impak positif yang akan diterima oleh negara-negara anggota ASEAN. Sekali lagi berlakunya percanggahan Menteri ketiga mengatakan adanya faedah 2 hala, bangun menteri kedua sebentar tadi mengatakan faedah Myanmar semata-mata. Untuk menjadi kerajaan yang baik, seharusnya mereka menunjukkan kelebihan demi kelebihan yang Myanmar ada untuk memberi kesan positif kepada ASEAN sehingga memungkinkan mereka menjadi Pengerusi, namun mereka gagal dalam memainkan peranan sebagai kerajaan yang baik. Sekali lagi saya ingin memperjelaskan keadaan sebagai seorang ketua atau pengerusi, ketua dilantik untuk memberi kebaikan kepada anggota, dan jika anggota-anggota yang memberikan kelebihan kepada ketua tersebut, hal ini membuktikan ketua atau pengerusi tersebut tidak berwibawa.

Saya mara ke Perdana Menteri.
Bangun beliau sebentar tadi membawa konseptual yang agak pincang. Langsung tidak dinyatakan rasional yang menjadi pegangan di pihak kerajaan. Namun dek kerana ingin menjaga profesionalisme sidang dewan, kami tetap teruskan.

Hujah pertamanya ialah keyakinan negara-negara anggota terhadap Myanmar. Beliau dengan mudah mengatakan Myanmar seharusnya diberi peluang kerana memperlihatkan perubahan yang telah dilakukan. Masalahnya, beliau langsung tidak memberikan kayu ukur yang dominan, apakah perubahan yang telah dilakukan oleh Myanmar benar-benar melayakkan Myanmar untuk menjadi pemimpin ASEAN. Hal inilah yang telah membuktikan pihak kerajaan sendiri ragu-ragu akan keupayaan sebenar Myanmar. Mereka langsung tidak menyentuh mengenai kelebihan Myanmar. Yang asyik mereka persoalkan, faedah Myanmar dan impak positif. Saya percaya, sidang dewan mahukan satu bukti kukuh lagi utuh dalam memastikan Myanmar mempunyai sebab musabab yang dominan bagi membolehkan usul pada hari ini diterima. Dan pihak kerajaan hanyalah memberikan faedah dan menaburkan impian manis jika Myanmar menjadi Pengerusi ASEAN. YAB Perdana Menteri hanya menimbulkan unsur keyakinan semata-mata. Keyakinan ini langsung tidak disandarkan dengan bukti-bukti jelas yang menyatakan kewibawaan Myanmar terserlah.

Pada hemat kerajaan, semua negara anggota seharusnya memberi peluang kepada Myanmar menjadi Pengerusi ASEAN 2014 dan langsung tidak mementingkan implikasinya kepada negara anggota dan melibatkan 600 juta penduduk.Pihak kerajaan seolah-olah memaksa negara anggota ASEAN memandang sebelah mata akan implikasi jika Myanmar dilantik sebagai pemimpin ASEAN hanya kerana impak positif yang akan diterima Myanmar.

Konklusinya, bayangkan pelbagai permasalahan demi permasalahan yang timbul dek kerana sikap terburu-buru kita yang hanya bersandarkan keyakinan semata-mata dalam melantik pemimpin. Adakah kita sanggup menolak elemen kredibiliti dan keupayaan dalam memilih pemimpin yang benar benar berwibawa dalam memimpin ASEAN ke satu tahap yang lebih baharu?

Selari dengan hasrat 1 Malaysia, rakyat didahulukan pencapaian diutamakan, maka saya selaku pembangkang ketiga meragui usul pada hari ini atas rasional kegagalan dan kekurangan kapasiti Myanmar sebagai Pengerusi ASEAN 2014. Mohon untuk terus membangkang.


Penggulungan Pembangkang (Fariq)

Salam perbahasan dan salam satu Malaysia.
Memulakan tingkah bicara memasuki arena penggulungan yang mana tenang dan medan merungkai pertikaian.

Selaku wakil tunggal di pihak pembangkang, sekali lagi saya tegaskan pegangan kami di pihak pembangkang yang mana meragui usul pada hari ini, 'Myanmar patut diberi peluang menjadi Pengerusi ASEAN 2014' atas rasional kegagalan dan kekurangan kapasiti oleh Myanmar untuk menjadi Pengerusi ASEAN.

Sidang dewan sekalian,
Pembawaan kes oleh pihak kerajaan sememangnya sudah rapuh tatkala Perdana Menteri gagal memberikan definisi lengkap mengenai frasa 'patut diberi peluang'. Mereka hanya meletakkan sandaran peluang harus diberikan kepada Myanmar walaupun pelbagai implikasi yang akan timbul. Justeru, kami pinda definisi tersebut dengan mengatakan frasa patut diberi peluang seharusnya peluang yang diberikan melibatkan keupayaan dan kesediaan kapasiti Myanmar yang benar-benar kukuh sehingga memungkinkan Myanmar dilantik sebagai Pengerusi ASEAN. Dan, pihak kerajaan gagal memberi sebab dan musabab yang kukuh mengenai kemampuan Myanmar. Mereka hanya memainkan sentimen faedah yang akan Myanmar dapat jika menjadi Pengerusi ASEAN 2014.

Sidang dewan sekalian,
Menelusuri kronologi perdebatan pada hari ini, kami di pihak pembangkang meragui kes yang dibawa oleh pihak kerajaan. Hujah pertama mereka ialah keyakinan negara-negara
dunia terhadap Myanmar. Kami bidas hujah ini kriteria utama pemilihan Myanmar sebagai Pengerusi ASEAN 2014 hanyalah disandarkan kepada keyakinan. Pihak kerajaan langsung tidak menyentuh mengenai kelebihan-kelebihan Myanmar yang dominan sehinggakan memungkinkan Myanmar menjadi Pengerusi ASEAN 2014.Kerajaan langsung tidak menyentuh perihal ekonomi, politik, dan hubungan diplomatik negara Myanmar. YAB Perdana Menteri sememangnya gagal dalam menyediakan bukti-bukti kukuh melainkan mempertahankan keyakinan semata-mata.

Dan kerana inilah kami membawa kekurangan kapasiti Myanmar dari segi keadaan geopolitik selari dengan rasional kami iaitu kegagalan dan kekurangan kapasiti Myanmar sebagai Pengerusi ASEAN.

Kami membawa bukti-bukti mengenai ketidakseimbangan politik yang berlaku di Myanmar walaupun setelah pilihan raya umum 2010. Sebagai contoh, Presiden Thien Sein masih lagi mewujudkan pertikaian dengan Daw Aung San Suu Kyi ditambah pula dengan pertelingkahan antara badan keselamatan dan puak penentang.

Sidang dewan yang dihormati,
Hujah kedua pihak kerajaan ialah mengenai‘Perkembangan positif tahap keselamatan di Myanmar’. Kami bidas kerana mereka langsung tidak meletakkan kayu ukur yang dominan
terhadap perkembangan positif di Myanmar. Mereka hanya membawa bukti kes keselamatan pemimpin dunia yang selamat selama melawat negara Myanmar. Masalahnya, mereka langsung tidak memberi gambaran menyeluruh mengenai tahap keselamatan di Myanmar terutama melibatkan statistik indeks jenayah dan pandangan masyarakat dalam dan luar Myanmar. Kerana inilah kami membawa isu lebih ilmiah iaitu melibatkan ekonomi Myanmar. Kami senaraikan pelbagai fakta mengenai keadaan ekonomi Myanmar yang agak gawat dan seharusnya kerajaan Myanmar memberi peranan yang lebih dalam usaha meningkatkan ekonomi negara tersebut, dan bukan memikirkan cara untuk menjadi Pengerusi ASEAN. Seharusnya Myanmar diberi masa yang lebih untuk memastikan ekonominya benar-benar kukuh sebelum dilantik sebagai Pengerusi ASEAN.Maka, dengan kekurangan dari segi ekonomi, hal ini membuktikan rasional kami iaitu kegagalan dan kekurangan kapasiti Myanmar menjadi Pengerusi ASEAN 2014.

Sidang dewan yang disayangi,
Hujah ketiga pihak kerajaan ialah impak positif yang akan diterima oleh Myanmar jika menjadi Pengerusi ASEAN 2014.Sidang dewan sekalian, pihak kerajaan melalui hujah ini seharusnya menunjukkan impak positif yang akan diterima ASEAN apabila Myanmar menjadi Pengerusi ASEAN. Memang sudah menjadi lumrah dunia, seorang pengerusi dilantik sememangnya haruslah memberi impak positif kepada pertubuhan yang diwakilinya. Tetapi lain pula bagi pihak kerajaan pada hari ini mahukan perkara yang bertentangan dengan lumrah dunia. Kredibiliti ASEAN sememangnya akan tercalar jika ketuanya hanya ibarat boneka dan hanya menerima 'faedah buta' semata-mata. Dan kerana inilah kami membawa hujah mengenai kekurangan kapasiti oleh Myanmar untuk membawa persekitaran hubungan diplomatik dalam kalangan negara anggota. Kami membuktikan permasalahan ini dengan menunjukkan ketidaksediaan blok dunia dalam mengadakan hubungan diplomatik dengan Myanmar, dan ini diakui oleh menteri ketiga sebentar tadi. Mana mungkin sebuah negara yang masih teraba-raba dalam membuat hubungan diplomatik ingin mewujudkan persekitaran hubungan diplomatik yang sihat dalam kalangan negara anggota. Jawatan sebagai Pengerusi ASEAN tidak boleh dijadikan sebagai medium untuk memudahkan Myanmar mengadakan hubungan diplomatik kerana ia ibarat menyalahgunakan kuasa sedangkan jawatan ketua ASEAN adalah sebagai wahana untuk membawa negara anggota ASEAN ke satu tahap yang lebih tinggi dan baik.

Bangun menteri ketiga seolah-olah telah mengiyakan pelbagai pendapat dan hujah kami mengenai kekurangan Myanmar jika hendak dilantik sebagai Pengerusi ASEAN. Mereka seolah-olah mengiyakan seratus peratus kekurangan kapasiti Myanmar dalam menjadi Pengerusi ASEAN. Namun mereka asyik mempertegaskan keyakinan harus dilemparkan kepada Myanmar supaya mereka menjadi Pengerusi ASEAN. Masalahnya, saya percaya 600 juta penduduk ASEAN termasuklah sidang dewan sekalian tidak mahu meletakkan nasib mereka dengan melantik Myanmar sebagai Pengerusi ASEAN 2014 sedangkan kredibiliti dan kapasiti Myanmar sememangnya tidak melayakkannya menjadi Pengerusi ASEAN. Seharusnya pihak kerajaan meneliti semula hasrat 1 Malaysia dalam menegakkan kes pada hari ini.Tidak timbul isu lain padang lain belalang kerana ASEAN lahir dari semangat kekitaan.

Sepatutnya rakyat didahulukan,dan pencapaian diutamakan. Justeru, kredibiliti yang harus menjadi kayu ukur pelantikan pemimpin ASEAN dan bukannya bersandarkan keyakinan dan faedah yang akan Myanmar dapat jika menjadi Presiden ASEAN. Percanggahan demi percanggahan yang berlaku antara wakil kerajaan sememangnya membuktikan kegagalan pihak kerajaan dalam menegakkan kes pada hari ini.

Maka dengan ini, saya akhiri penggulungan dan sesi penegakan kes pihak pembangkang dengan menegaskan kami meragui usul pada hari ini berdasarkan rasional, kegagalan
dan kekurangan kapasiti Myanmar sebagai Pengerusi ASEAN. Mohon untuk terus membangkang.


Penggulungan Kerajaan (Kamraj)

Salam perbahasan sekali lagi. Bertemu kembali kita dalam arena yang lebih tenang, sesi penggulungan. Moga-moga pertemuan kita pada kali ini mampu menyuluh kebenaran kepada pihak pembangkang bahawa sesungguhnya ‘Myanmar harus berkesempatan menjadi Pengerusi ASEAN 2014’.

Saya mulakan dengan rumusan serta bidasan terhadap pihak pembangkang. Bangkit Yang Berhormat Ketua Pembangkang sebentar tadi bersama hujah perdana beliau berdasarkan kata kunci ‘keadaan geopolitik Myanmar yang semakin meruncing’. Beliau asyik-asyik mengatakan bahawa keyakinan sahaja tidak memadai, ia perlu disertai dengan bukti pencapaian. Namun begitu Tuan yang dipertua, beliau tidak menyedari tentang pelan pembaharuan politik Myanmar sejak pilihanraya umum yang lalu. Bermakna Tuan yang Dipertua, Myanmar berada dalam laluan ke arah mencapai sebuah negara demokrasi. Tidak bermakna hanya kerana Myanmar baru sahaja pulih dan masih ‘muda’, ia tidak wajar menjadi Pengerusi ASEAN. Cukup jika ia ada kebolehan serta kemampuan untuk pulih DALAM JANGKA MASA YANG PENDEK. Keadaan ini sememangnya terbukti apabila Myanmar telah mencapai pelbagai perubahan drastik dalam tempoh tidak sampai setahun sejak pilihan raya umumnya pada tahun lalu.

Seterusnya, bangkit pula Yang Berhormat Pembangkang kedua bersama hujah kedua pihak pembangkang berdasarkan kata kunci ‘keadaan ekonomi Myanmar’. Menerusi hujah ini pula, pihak pembangkang mengatakan keadaan ekonomi Myanmar yang lemah menyebabkan ia tidak mampu menjadi Pengerusi ASEAN keranaa berpotensi mempengaruhi tahap ekonomi ASEAN. Namun begitu, kita harus lihat realiti di mana, keadaan ini berlaku kerana pelbagai sekatan ke atas Myanmar yang dikenakan oleh Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat. Bukan itu sahaja, malah, kita perlu lihat pertumbuhan ekonomi semasa Myanmar. Tahun 2011 bakal melabuhkan tirainya dan ternyata keadaan ekonomi Myanmar jauh lebih baik berbanding dengan keadaan ekonominya pada tahun 2010.

Hujah ketiga pihak pembangkang pula berdasarkan kata kunci ‘kekurangan kapasiti oleh Myanmar untuk merencanakan hubungan diplomatik dengan blok dunia lain’. Hujah pihak pembangkang ini sememangnya tidak wajar kerana ia amat bercanggah dengan realiti pada masa kini. Myanmar sememangnya sedang berusaha mewujudkan hubungan baik dengan pelbagai negara serta pertubuhan yang pernah dimusuhinya. Contoh paling ketara, Amerika Syarikat yang ternyata pulih hubungannya dengan Myanmar apabila Hillary Clinton membuat lawatan rasmi ke negara itu pada minggu lepas. Malah, hubungannya dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu sudah pasti pulih kerana Myanmar sedang berusaha ke arah memenuhi hak asasi manusia dengan mewujudkan Jawatankuasa hak Asasi Manusia. Maka selesai rumusan serta bidasan terhadap hujah-hujah pihak pembangkang.

Seterusnya Tuan yang Dipertua, saya ingin merumus serta mengukuhkan kembali hujah-hujah kami di pihak kerajaan. Hujah perdana kami berdasarkan kata kunci ‘Keyakinan negara-negara di seluruh dunia terhadap Myanmar’. Menerusi hujah ini, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah berjaya membuktikan bagaimana hubungan dua hala Myanmar dengan negara-negara serantau serta negara-negara yang lain di dunia semakin pulih dengan drastik. Maka, keyakinan ini sudah pasti membuka peluang kepada Myanmar untuk menjadi Pengerusi ASEAN 2014 tanpa sebarang masalah.
Hujah kedua kami pula berdasarkan kata kunci ‘Perkembangan positif tahap keselamatan di Myanmar’. Melalui hujah ini pula, saya telah membuktikan bahawa keselamatan di Myanmar yang berada dalam keadaan yang semakin pulih serta mempunyai kapasiti untuk menjaga keselamatan pemimpin-pemimpin yang penting. Hujah ketiga kami pula berdasarkan kata kunci ‘Peranan Pengerusi ASEAN 2014 mampu mendatangkan impak positif kepada Myanmar’. Menerusi hujah ini, kami berjaya menunjukkan bagaimana peranan Pengerusi ASEAN dapat mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap negara itu. Keadaan ini merupakan impak positif secara tidak langsung yang boleh didapati oleh Myanmar sambil menjalakan peranan sebagai Penegrusi ASEAN. Keadaan ini ibarat, sambil menyelam minum air.

Maka Tuan yang Dipertua, benarlah bahawa ‘Myanmar harus berkesempatan menjadi Pengerusi ASEAN 2014’. Maka, wajarlah usul kita pada hari ini diterima 100% tanpa sebarang kompromi. Sekian, mohon untuk terus mencadang.


KEPUTUSAN PERLAWANAN : USUL DITOLAK
JUMLAH JURI : 3-2


Diesktrak daripada group facebook 'Pertandingan Debat Terbuka Online (DTO) 2011' untuk tatapan anda. Semoga boleh dimanfaatkan bersama.

2 comments: