Tuesday, January 15, 2013

Travel Log #2 : PELUANG

Mungkin ada sesetengah sekolah yang sudah pun mengadakan sesi pemilihan pasukan bahas masing-masing. Ada juga yang masih merancang untuk mengadakannya. Terpulang kepada keupayaan dan keazaman masing-masing. Guru-guru bahasa pastinya sibuk mengatur pelbagai program sebagai persediaan untuk menghadapi 'deretan' pertandingan koakademik bahasa tahun ini. 2013, banyak aktiviti bahasa yang diadakan awal (sementara masih ada peruntukan dan masa terluang). Peri pentingnya bersedia awal dan mencari bakat para pelajar menerusi sesi pemilihan.

Maka, bagi mereka yang sudah terpilih menganggotai pasukan dan mewakili sekolah, tahniah diucapkan. Apabila terpilih, ianya hadir dengan tanggungjawab besar. Tanggungjawab ini pula diamanahkan kepada mereka yang sudah mendapat kepercayaan pihak yang lebih tinggi autoritinya. Bagi mewakili kepentingan golongan teramai. Sudah pasti, hanya yang layak (pada ketika itu) dipilih untuk menggalas tanggungjawab dan amanah tersebut. Diyakini dan diharapkan agar mereka mampu memikulnya - menyahut cabaran untuk melakukan yang terbaik demi untuk diri sendiri, pasukan, sekolah, negeri, agama dan negara.

Apabila sudah terpilih, maka hadirlah PELUANG. Ruang yang diberikan untuk menyerlah potensi diri dan kesempatan yang dihulurkan untuk berjuang dalam apa-apa medan sekalipun. Peluang yang diberi haruslah dimanfaatkan sebaik-baiknya. Tidak boleh dipersia-siakan. Jauh sekali, tidak boleh dianggap sebagai suatu perkara yang mudah lagi enteng.

Ramai orang pernah memperoleh peluang. Hatta, peluang yang diberikan juga sama rata, sama adil dan sama bagus faedahnya. Tetapi tidak ramai yang bersungguh-sungguh mempertahankan dan menghargai PELUANG yang diberikan. Kita perlu ingat, peluang terbaik hanya datang sekali dalam hidup. Mungkin akan ada peluang atau kesempatan yang lain, tetapi tidaklah sebaik yang pertama.

Peluang yang baik memang patut direbut dan dimanfaatkan. Bagi sesetengah orang pula, jarang sekali ingin memberi peluang kedua - you've got your chance to shine, once you blew it, then that's it. Namun bagi mereka yang masih belum diberi peluang, maka yang seterusnya adalah peluang pertama (terbaik) anda. Pendek kata, hargailah peluang anda sebaik-baiknya.

Jika anda terpilih mewakili sekolah atau membimbing pasukan sekolah, maka anda diberi banyak PELUANG. Peluang untuk menimba ilmu berguna, peluang untuk memperoleh pengalaman berharga, peluang untuk meningkatkan kemahiran diri, peluang untuk bekerjasama - ada dalam sesetengah situasi, PELUANG untuk MENANG! Terserah kepada anda untuk memilih PELUANG masing-masing.

No comments: