Thursday, September 13, 2012

Pertandingan Bahas Piala Ketua Menteri Sarawak 2012


KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menyaran pihak sekolah menggunakan sambutan Sarawak Merdeka Dalam Malaysia Ke-50 pada tahun depan sebagai platform memberi pendedahan kepada pelajar tentang nilai sejarah.


Beliau berkata, usaha tersebut penting untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan pelajar sekali gus menghargai pengorbanan generasi lepas yang membawa kemakmuran kepada negeri ini sekarang. Menurutnya, pada masa sekarang, ada dalam kalangan generasi muda tidak memahami makna kemerdekaan menyebabkan mereka sanggup melakukan perkara terkutuk termasuk membakar bendera atau memijak potret pemimpin.


“Pihak sekolah harus menggunakan perayaan ini sebagai platform untuk mendedahkan dan menanam semangat patriotik dalam kalangan pelajar. Usaha ini agar generasi muda tidak leka di sebalik kemajuan yang kita capai pada masa sekarang,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pertandingan Akhir Bahas Piala Ketua Menteri Sarawak 2012 di sini, semalam. Hadir sama isteri Ketua Menteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar dan Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.


Taib menjelaskan, pelbagai program boleh dianjurkan pihak sekolah untuk meningkatkan kesedaran pelajar terhadap nilai sejarah. “Kita perlu anjurkan program menyeronokkan seperti pertandingan untuk menarik minat pelajar menyertainya,” ujarnya. 

Beliau turut melahirkan rasa bangga kerana masyarakat berbilang kaum di negeri ini mampu menguasai bahasa Melayu. “Ini boleh kita lihat daripada kemampuan peserta bahas yang mampu menguasai bahasa Melayu dengan fasih. “Kemampuan ini merupakan tonggak utama dalam mengukuhkan perpaduan yang dipertahankan sejak sekian lama,” jelasnya.


Menurutnya lagi, penganjuran pertandingan bahas tersebut yang memasuki edisi ke-26 turut memainkan peranan positif ke arah memartabatkan penggunaan bahasa Melayu.

Sementara itu, Sekolah Menengah Sains Miri muncul pemenang Pertandingan Akhir Bahas Piala Ketua Menteri Sarawak 2012 menewaskan Sekolah Menengah Kebangsaan Baleh, Kapit.


Dengan kemenangan tersebut, Sekolah Menengah Sains Miri membawa pulang wang tunai RM5,000, piala pusingan, piala iringan, sijil penyertaan dan dua buah komputer riba. Lebih manis lagi apabila pembahas Sekolah Menengah Sains Miri Muhammad Syafiq Safri diumumkan sebagai Pembahas Terbaik pertandingan akhir. Bagi Anugerah Khas Pembahas Terbaik Bukan Bumiputera, Lee Seng Kiat dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kabong diumumkan sebagai pemenang.


Pertandingan Akhir Bahas Piala Ketua Menteri Sarawak 2012
Tarikh : Selasa, 30 Oktober 2012
Tempat : Auditorium Tan Sri P. Ramlee, RTM Kuching

SM Sains Miri lwn SMK Baleh, Kapit
Johan : SM Sains Miri
Naib Johan : SMK Baleh, Kapit 


Johan/Wakil Zon

SMK Kabong : Sri Aman/Betong

SMK Bako : Kuching

SMK Meradong : Sarikei

SMK Bukit Lima : Sibu

SM Sains Miri : Miri

SMK Lundu : Samarahan

SMK Matu : Mukah

SMK Limbang : Limbang

SMK Baleh : Kapit

SMK Asyakirin : Bintulu

2 comments:

Anonymous said...

Cikgu bila peringkat akhirnya? Ada siaran langsung RTM Sarawak tak?

Harmi bin Mohammad Jamil said...

Biasanya ada siaran rakaman. Saya tak tahu bila peringkat akhirnya.