Friday, May 18, 2012

Pertandingan Debat Piala Koperasi SMKSS 2012



Piala Pusingan Debat Koperasi
Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Serdang



MAKLUMAT AM PERTANDINGAN


Tarikh : 8 dan 14 Julai 2012
Hari : Ahad dan Sabtu (2 hari sahaja)
Masa : 8.00 pagi hingga 6.30 petang
Lokasi : SMK Seri Serdang, Selangor

Anjuran :
Koperasi SMK Seri Serdang Berhad
Kelab Bahasa Melayu Kreatif SMKSS

Penyertaan :
Berikut merupakan senarai rasmi & bilangan pasukan yang bakal menyertai Pertandingan Debat Piala Koperasi SMKSS 2012 nanti:

1. Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh - 1
2. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kuantan - 1
3. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak - 2
4. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gopeng - 2
5. Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheh Shahabudin - 1
6. Maktab Rendah Sains Mara Alor Gajah - 1
7. Sekolah Menengah Sains Banting - 1
8. SMK Bandar Baru Seri Petaling - 1
9. SAMT Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah - 1
10. SMK Seri Serdang - 9

JUMLAH KESELURUHAN : 20 buah pasukan

Selamat Bertanding & Semoga Berjaya!


Yuran Penyertaan: RM 150.00 bagi setiap pasukan

Tarikh Tutup Penyertaan : Jumaat, 29 Jun 2012

Makan-minum, hadiah dan sijil penyertaan akan disediakan oleh pihak penganjur.

Pengangkutan dan penginapan adalah bawah tanggungjawab pasukan sendiri dan tidak akan disediakan oleh pihak penganjur.


MAKLUMAT PERLAKSANAAN PERTANDINGAN

1. Pertandingan pusingan awal akan dijalankan menurut sistem power match. Pusingan suku akhir, separuh akhir & akhir pula akan dijalankan secara 'menang-mara'.

2. Setelah tamat 4 pusingan awal, kedudukan setiap pasukan akan ditentukan berdasarkan kriteria berikut;
i) Jumlah kemenangan;
ii) Jumlah juri (jika bersesuaian);
iii) Jumlah margin;
iv) Jumlah markah.

3. Pasukan yang menduduki tempat pertama hingga kelapan akan layak secara automatik ke peringkat suku akhir. Penentuan pasukan lawan bagi peringkat suku akhir, separuh akhir & akhir adalah seperti berikut;

Suku Akhir 1 : Pasukan Posisi 1 lawan Pasukan Posisi 8
Suku Akhir 2 : Pasukan Posisi 3 lawan Pasukan Posisi 6
Suku Akhir 3 : Pasukan Posisi 2 lawan Pasukan Posisi 7
Suku Akhir 4 : Pasukan Posisi 4 lawan Pasukan Posisi 5

Separuh Akhir 1 : Pemenang Suku Akhir 1 lawan Pemenang Suku Akhir 2
Separuh Akhir 2 : Pemenang Suku Akhir 3 lawan Pemenang Suku Akhir 4

Akhir : Pemenang Separuh Akhir 1 lawan Pemenang Separuh Akhir 2


SYARAT-SYARAT PERTANDINGAN DEBAT PIALA KOPERASI SMKSS

1.0 AM

1.1 Peraturan ini diterimapakai untuk Pertandingan Debat Piala Koperasi SMKSS 2012 anjuran bersama Koperasi SMK Seri Serdang Berhad dengan kerjasama Kelab Bahasa Melayu Kreatif SMKSS.

1.2 Tafsiran peraturan ini adalah hak mutlak pihak penganjur.

1.3 Pihak penganjur mempunyai hak untuk meminda sebarang peraturan sebelum bermulanya pertandingan sepertimana yang difikirkan sesuai oleh Jawatankuasa Pertandingan Debat Piala Koperasi SMKSS 2012.

2.0 TAFSIRAN

2.1 "Pengerusi Teknikal", "Urus Setia" dan "Hakim" adalah individu-individu yang dilantik oleh pihak penganjur untuk memegang jawatan-jawatan tersebut.

2.2 "Sekolah" bermaksud institusi pendidikan kelolaan Kementerian Pelajaran Malaysia yang dijemput oleh pihak penganjur.

2.3 "SMKSS" bermaksud Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Serdang.

3.0 PENYERTAAN

3.1 Pihak penganjur membenarkan jumlah penyertaan sehingga 20 buah pasukan bagi menyertai edisi pertandingan kali ini.

3.2 Sepuluh (10) buah pasukan terdiri daripada pasukan bahas SMKSS.

3.3 Sepuluh (10) buah pasukan jemputan pula terdiri daripada pasukan sekolah luar.

3.4 Untuk melayakkan diri, setiap pembahas mestilah terdiri daripada para pelajar sekolah yang sama dan menuntut sama ada dalam Tingkatan 1 hingga 5 sahaja. Penyertaan para pelajar menengah rendah (Tingkatan 1 hingga 3) amatlah digalakkan.

3.5 Setiap pasukan boleh diwakili oleh tiga (3) orang pembahas sahaja tanpa pembahas simpanan. Setiap pembahas hanya boleh mewakili pasukan yang mendaftarkannya sahaja.

3.6 Dalam setiap pasukan, hanya dibenarkan menghantar sehingga dua orang (2) sahaja pembahas yang pernah mewakili sekolah dalam mana-mana pertandingan bahas sebelum ini dan tertakluk kepada keizinan pihak penganjur.

3.7 Jika sekiranya ada sebarang perubahan atau penggantian peserta, setiap pasukan perlu memaklumkan perubahan tersebut dan tertakluk kepada keizinan pihak penganjur.

3.8 Pihak penganjur membenarkan perubahan peserta dilakukan sebelum bermulanya pertandingan pusingan awal dan sebelum bermulanya pertandingan pusingan menang-mara. Namun begitu, setiap pasukan hanya boleh diwakili oleh tiga (3) orang pembahas sahaja pada satu-satu masa.


4.0 SISTEM PERTANDINGAN

4.1 Pertandingan akan menggunakan sistem power match bagi pusingan awal.

4.2 Sistem ini akan digunakan untuk menentukan lawan bagi pasukan yang bertanding dan peranan setiap pasukan bagi setiap pusingan awal sama ada selaku Kerajaan ataupun Pembangkang.

4.3 Usul pula akan ditentukan dan diumumkan dalam tempoh masa 4-6 minggu sebelum bermulanya pertandingan..

4.4 Penentuan kedudukan bagi pusingan awal 1 sahaja yang akan ditentukan menerusi undian semasa pendaftaran/sesi taklimat.

4.5 Selepas tamat pusingan awal, pasukan-pasukan yang layak akan ditentukan kedudukan masing-masing dalam ranking keseluruhan pasukan sebelum mara ke peringkat suku akhir.

4.6 Penentuan keputusan menang/kalah adalah berdasarkan sistem juri. Tiada sebarang keputusan seri dibenarkan bagi setiap perlawanan. Pihak juri perlu menentukan pasukan yang menang dan pembahas terbaik bagi setiap perlawanan yang telah berlangsung.

4.7 Bagi melayakkan diri ke peringkat suku akhir, penentuan pasukan dalam ranking keseluruhan pasukan adalah berdasarkan kriteria berikut;

4.7.1 Jumlah kemenangan;
4.7.2 Jumlah juri (jika bersesuaian);
4.7.3 Jumlah margin;
4.7.4 Jumlah markah.

4.8 Pertandingan suku akhir, separuh akhir dan akhir akan dijalankan menurut sistem 'menang-mara'.

5.0 MASA PERSEDIAAN

5.1 Senarai usul (kecuali usul pertandingan akhir) akan diumumkan selewat-lewatnya 30 hari sebelum bermulanya pertandingan.

5.2 Penentuan peranan selaku Kerajaan/Pembangkang akan dilaksanakan menerusi sistem power match bagi setiap perlawanan pusingan awal.

5.3 Masa kuarantin selama 20 minit akan diperuntukkan bagi persediaan setiap pasukan.

5.4 Setiap pasukan diwajibkan berada di lokasi pertandingan tepat pada waktunya bagi mengelakkan sebarang kelewatan berlaku. Mana-mana pasukan yang gagal hadir ke lokasi pertandingan selepas 15 minit dari masa permulaan pertandingan akan dikira kalah.

6.0 STRUKTUR PERDEBATAN

6.1 Perdebatan akan dijalankan sepenuhnya dalam Bahasa Melayu.

6.2 Setiap perlawanan akan melibatkan 3 sesi, iaitu;

6.2.1 Sesi Ucapan Substantif : 8 minit x 6 orang pembahas = 48 minit

6.2.2 Sesi Debat Terbuka : 90 saat x 6 orang pembahas = 9 minit

6.2.3 Sesi Penggulungan : 4 minit x 2 orang pembahas = 8 minit

Jumlah Keseluruhan Masa Perdebatan = 65 minit

6.3 Setiap perlawanan akan mempertemukan dua buah pasukan, iaitu pihak Kerajaan dan pihak Pembangkang.

6.4 Setiap pembahas diwajibkan menyampaikan ucapan substantif masing-masing, iaitu peruntukan masa 8 minit bagi setiap pembahas.

6.5 Setiap pembahas diwajibkan untuk terlibat dalam sesi debat terbuka, iaitu peruntukan masa 90 saat setiap pembahas.

6.6 Ucapan penggulungan pasukan boleh disampaikan sama ada oleh pembahas pertama, kedua atau ketiga bagi setiap pasukan.

6.7 Had waktu ucapan bagi setiap pembahas adalah seperti berikut;

6.7.1 Sesi Ucapan Substantif : 8 minit bagi setiap pembahas

6.7.2 Sesi Debat Terbuka : 90 saat bagi setiap pembahas

6.7.3 Sesi Penggulungan : 4 minit bagi setiap penggulung

6.8 Izin laluan dibenarkan dalam tempoh masa selepas minit pertama sehingga minit ketujuh dalam sesi ucapan substantif. Tiada izin laluan semasa sesi debat terbuka dan sesi penggulungan.

6.9 Loceng akan dibunyikan sekali pada akhir minit pertama menandakan pihak lawan sudah dibenarkan untuk memberi izin laluan dan dibunyikan sekali pada akhir minit ketujuh menandakan masa untuk memberi izin laluan telah tamat. Loceng akan dibunyikan 2 kali setelah masa untuk berhujah telah tamat.

6.10 Sesi debat terbuka akan berlangsung selama 9 minit. Bolehlah merujuk video berikut [rujuk minit 12:40 untuk sesi debat terbuka]: http://www.youtube.com/watch?v=DeIeDqL2x_0

Bezanya, untuk pertandingan ini dilaksanakan selama 12 minit tetapi untuk Debat Piala Koperasi SMKSS dihadkan kepada 9 minit sahaja. Harap maklum.


6.11 Untuk memulakan sesi debat terbuka, mana-mana wakil daripada pihak Kerajaan boleh bangkit bagi menyampaikan hujah/pertikaian/fakta beliau dalam tempoh masa 90 saat. Sebaik sahaja tempoh masa 90 saat tamat, loceng akan dibunyikan sekali dan mana-mana wakil daripada pihak Pembangkang perlu bangun untuk membidas/berhujah selama 90 saat.

6.12 Perlakuan ini akan dilakukan secara berselang-seli antara wakil Kerajaan dan Pembangkang sehingga tamatnya 9 minit keseluruhan masa yang diperuntukkan. Loceng akan dibunyikan sebanyak 2 kali sebaik sahaja peruntukan masa 9 minit telah tamat.

6.13 Setiap pembahas hanya dibenarkan untuk berucap sekali sahaja semasa sesi debat terbuka. Setiap pembahas diwajibkan untuk berucap selama 90 saat dalam sesi debat terbuka.

7.0 PENGHAKIMAN

7.1 Setiap perlawanan akan diadili oleh bilangan hakim yang ganjil (1, 3, 5, 7 dan seterusnya). Bagi pusingan awal, kaedah penjurian (jika difikirkan sesuai) akan menggunakan sistem juri agung (supreme judge) bagi memudahkan penilaian hakim dan teknikal penghakiman. Bagi pusingan menang-mara, jumlah juri adalah ditetapkan sekurang-kurangnya 3 orang.

7.2 Dalam pusingan awal hinggalah peringkat separuh akhir, Ketua Hakim akan bertindak selaku Tuan Speaker Dewan dengan menjemput pembahas berucap, menjaga ketertiban majlis dan tertakluk kepada peraturan ini, membuat keputusan yang berkaitan dengan segala tatacara dan prosedur yang mungkin dipertikaikan semasa berlangsungnya perlawanan.

7.3 Para hakim mesti mencapai keputusan menang/kalah serta menentukan pembahas terbaik, keputusan seri tidak dibenarkan. Para hakim diingatkan agar tidak menyampuk atau memberi komen semasa perlawanan sedang berlangsung.

7.4 Para hakim tidak boleh berbincang dan mesti mencapai keputusan secara bersendirian.

7.5 Keputusan hakim adalah muktamad. Sebarang pindaan terhadap keputusan adalah tidak dibenarkan selepas penyerahan undi dan pengumuman keputusan perlawanan dilakukan.

8.0 SISTEM PEMARKAHAN

8.1 Setiap ucapan substantif akan diberikan markah maksimum 100 markah berdasarkan;

8.1.1 Isi = 40 markah

8.1.2 Gaya = 40 markah

8.1.3 Bahasa = 20 markah

8.2 Setiap ucapan dalam sesi debat terbuka akan diberikan markah maksimum 10 markah berdasarkan:

8.2.1 Isi = 6 markah

8.2.2 Gaya = 2 markah

8.2.3 Bahasa = 2 markah

8.3 Setiap ucapan penggulungan pula akan diberikan markah maksimum 50 markah berdasarkan:

8.3.1 Isi = 20 markah

8.3.2 Gaya = 20 markah

8.3.3 Bahasa = 10 markah

8.4 Kriteria utama pemarkahan adalah nilai bujukan yang tinggi, iaitu sejauh mana ucapan tersebut menyakinkan dan memberikan sokongan terhadap pendirian/premis pasukan dalam konteks perdebatan.

8.5 Penggunaan bahan luar (majalah, buku, akhbar, carta atau bahan bercetak) serta alat-alat elektronik semasa perlawanan berlangsung adalah dilarang sama sekali.

8.6 Penggunaan ayat-ayat suci Al-Quran dan hadis tidak dibenarkan.

8.7 Setiap pembahas hendaklah berpakaian sopan dan kemas serta berkelakuan tertib sepanjang berlangsungnya perlawanan.

9.0 RAYUAN

9.1 Keputusan hakim adalah muktamad.

9.2 Sekiranya terdapat sebarang bantahan teknikal, sila kemukakan bantahan secara rasmi kepada pihak penganjur dalam tempoh masa 15 minit selepas tamatnya sesuatu perlawanan.

9.3 Jika pihak penganjur mendapati berlakunya sebarang kecacatan atau kesilapan dalam pengendalian sesuatu perlawanan, maka usaha akan diambil agar tidak menjejaskan kepentingan mana-mana pihak. Pihak penganjur mempunyai hak mutlak dalam memutuskan sebarang rayuan yang diajukan.


SENARAI USUL PERTANDINGAN DEBAT PIALA KOPERASI SMKSS

Pusingan Awal 1
Dewan ini akan memansuhkan pemberian subsidi minyak.

Pusingan Awal 2
Dewan ini akan menyekat penggunaan beg plastik di sekolah.

Pusingan Awal 3
Dewan ini akan menjadikan subjek kepenggunaan sebagai syarat wajib lulus SPM.

Pusingan Awal 4
Dewan ini akan mengharamkan restoran dibuka selama 24 jam.

Peringkat Suku Akhir
Dewan ini akan memansuhkan PTPTN.

Peringkat Separuh Akhir
Dewan ini akan memberikan subsidi makanan percuma kepada pelajar ketika waktu rehat.

Pertandingan AkhirDewan ini akan meneruskan pemberian bantuan persekolahan RM100 kepada setiap pelajar.

Kesemua usul ini akan digunakan bagi pertandingan peringkat awal, suku akhir dan separuh akhir. Tema dan skop usul adalah berkisar tentang hal-ehwal ekonomi, kepenggunaan dan keusahawanan.


HADIAH-HADIAH PERTANDINGAN

JOHAN
Piala Pusingan
Piala Iringan & Wang Tunai
Sijil Penyertaan


NAIB JOHAN
Piala Iringan & Wang Tunai
Sijil Penyertaan


PEMBAHAS TERBAIK (AKHIR)
Piala Iringan & Wang Tunai
Sijil Pencapaian


PEMBAHAS TERBAIK LIGA (10 orang)
Piala Iringan
Sijil Pencapaian


Bagi mendapatkan sebarang maklumat lanjut, bolehlah menghubungi:

En. Harmi Mohammad Jamil
Tel : 012 215 4945
Emel : mjharmi@yahoo.com

4 comments:

Shahidil Saril said...

Adakah penyertaan masih terbuka . Dan how to join this competition ?

Harmi bin Mohammad Jamil said...

Penyertaan masih dibuka. Tarikh tutup penyertaan adalah pada hari Jumaat, 29 Jun 2012.

Jika pihak anda berminat untuk menghantar pasukan, bolehlah hubungi saya di talian telefon yang tertera. Terima kasih.

Anonymous said...

kalau mrsm nak join boleh ke?

Harmi bin Mohammad Jamil said...

InsyaAllah boleh. Cumanya pertandingan ini kami adakan secara kecil-kecilan sahaja. Sekadar untuk memberikan pendedahan kepada para pembahas muda (terutamanya Tingkatan 1-3) agar dapat dijadikan platform mencungkil bakat mereka.

Jika berminat, bolehlah menghubungi saya.