Kertas Konsep Pertandingan Debat Yayasan Pahang 2017

1. SISTEM PERATURAN & PERTANDINGAN

1.1 AM

Pertandingan ini dinamakan sebagai Pertandingan Debat Yayasan Pahang Piala YAB Menteri Besar Pahang 2017. Tafsiran peraturan ini adalah hak mutlak Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pertandingan. Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pertandingan berhak untuk meminda sebarang peraturan yang difikirkan sesuai sebelum bermulanya pertandingan.

1.2 TAFSIRAN

'Penyelaras Teknikal Pertandingan' dan 'Panel Hakim' bermaksud individu yang dilantik oleh pihak penganjur untuk memegang jawatan-jawatan tersebut.

'Institusi' bermaksud semua sekolah menengah (SBP, MRSM, SMK, SMKA, SABK, Sekolah Swasta) dan IPTA/IPTS di Malaysia atau pasukan jemputan luar negara.

'Ketua Hakim' ialah individu yang dilantik oleh penganjur untuk menyelaras segala urusan teknikal dan penghakiman pertandingan debat.

1.3 STRUKTUR PERTANDINGAN

a) Pertandingan ini akan diadakan dalam tiga kategori bahasa, iaitu Bahasa Melayu (BM), Bahasa Inggeris (BI) dan Bahasa Arab (BA) menggunakan gabungan format Pertandingan Debat Ala Parlimen Malaysia.

2. PENYERTAAN

a) Setiap institusi hanya boleh menghantar SATU (1) pasukan.

b) Hanya institusi yang membuat bayaran yuran penyertaan sebelum tarikh tutup dan menghantar borang pendaftaran penyertaan akan disahkan penyertaan.

c) Pendaftaran pasukan kedua adalah atas budi bicara dan keizinan pihak penganjur.

d) Setiap pasukan kategori Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab diwajibkan untuk menyenaraikan guru/pegawai pengiring masing-masing selaku hakim yang akan bertugas sepanjang pertandingan. Kegagalan mematuhi syarat ini akan menyebabkan penyertaan institusi tersebut terbatal secara automatik.

e) Namun syarat ini tidak tertakluk kepada guru/pegawai pengiring bagi pasukan kategori Bahasa Melayu.

3. KELAYAKAN

a) Bagi melayakkan diri untuk menyertai pertandingan ini, para pendebat hendaklah berusia antara 13 hingga 22 tahun sahaja dan terdiri daripada para pelajar sekolah menengah (Tingkatan 1 hingga 6) atau pelajar IPT yang berumur tidak melebihi 22 tahun pada tahun semasa pertandingan.

b) Semua ahli pasukan hendaklah terdiri daripada pelajar institusi yang sama. Para peserta hanya boleh berdebat untuk pasukan yang mendaftarkannya sahaja.

4. SISTEM PERTANDINGAN

a) Bagi kategori Bahasa Melayu, pertandingan ini akan menggunakan sistem 'Power Match' kaedah Swiss bagi pusingan awal. Sistem ini akan digunakan untuk menentukan pasukan yang akan berlawan dan peranan mereka selaku kerajaan atau pembangkang.

b) Kesemua pasukan Bahasa Melayu akan dikelompokkan dalam satu kumpulan semasa pertandingan pusingan awal. Penentuan pasukan lawan untuk pusingan pertama akan dilakukan secara rawak.

c) Selepas pusingan yang pertama, kedudukan setiap pasukan Bahasa Melayu akan ditentukan dengan mengambil kira kriteria-kriteria berikut;

i. Jumlah Menang/ Kalah
ii. Jumlah Juri (jika bersesuaian)
iii. Jumlah Margin
iv. Jumlah Markah

d) Bagi pusingan kedua, pasukan-pasukan yang menang dalam pusingan pertama akan dikelompokkan dalam satu kumpulan dan pasukan-pasukan yang kalah pula akan dikelompokkan dalam satu kumpulan lain. Penentuan seterusnya akan dibuat berdasarkan kedudukan dalam kunpulan-kumpulan tersebut.

e) Selepas setiap pusingan, kedudukan setiap pasukan akan ditentukan semula seperti kaedah yang digunakan di atas.

f) Melalui kaedah 'power match', ada kemungkinan bahawa pasukan akan bertanding dengan pasukan lawan yang sama lebih daripada sekali.

g) Penentuan peranan selaku kerajaan atau pembangkang bagi pusingan awal pertama akan ditentukan secara rawak. Bagi penentuan peranan untuk perlawanan seterusnya akan ditentukan mengikut peranan setiap pasukan dalam pusingan sebelumnya. Selalunya, penentuan sesebuah pasukan adalah berdasarkan jumlah pasukan tersebut menjadi kerajaan.

h) Penentuan peranan selaku kerajaan atau pembangkang bagi pusingan kalah mati dibuat berdasarkan undian atau lambungan syiling di hadapan ketua pasukan masing-masing.

i) Selepas selesai kesemua perlawanan dalam pusingan awal, kedudukan pasukan akan ditentukan menurut kriteria-kriteria khusus bagi memilih pasukan yang layak ke pusingan kalah mati. Kedudukan ini ditentukan menurut kriteria-kriteria berikut;

i. Jumlah Menang/Kalah
ii. Jumlah Juri (sekiranya bersesuaian)
iii. Jumlah Margin
iv. Jumlah Markah

j) Bagi kategori Bahasa Inggeris pula, 'sistem liga berkumpulan' akan digunapakai. 10 pasukan Bahasa Inggeris akan diundi ke dalam 2 kumpulan utama, Kumpulan A (5 pasukan - A1, A2, A3, A4 & A5) dan Kumpulan B (5 pasukan - B1, B2, B3, B4 & B5).

k) Begitu juga dengan 10 pasukan Bahasa Arab yang akan diundi ke dalam 2 kumpulan utama, Kumpulan C (5 pasukan - C1, C2, C3, C4 & C5) dan Kumpulan D (5 pasukan - D1, D2, D3, D4 & D5).

l) Setiap pasukan kategori BI & BA akan bertanding sekurang-kurangnya 4 kali dalam 5 pusingan awal. Setiap pasukan kategori BI & BA juga akan memperoleh 'bye' (tanpa perlu bertanding pusingan tersebut) berdasarkan jadual & undian penentuan kumpulan kelak.

m) Sistem dan borang pemarkahan bagi ketiga-tiga kategori adalah selaras.

n) Pertandingan suku akhir dan seterusnya akan diadakan secara kalah mati.

o) Selepas selesai kesemua pusingan awal, 8 pasukan teratas dalam kategori BM akan layak ke peringkat suku akhir.

p) Manakala, 2 pasukan terbaik dalam kumpulan bagi kategori BI & BA (johan & naib johan kumpulan) layak ke peringkat separuh akhir. Tiada suku akhir untuk kategori BI & BA.

q) 4 pasukan BM yang memenangi peringkat suku akhir akan layak ke peringkat separuh akhir.

r) 2 pasukan setiap kategori yang memenangi peringkat separuh akhir akan layak ke pertandingan akhir.

5. MASA PERSEDIAAN

a) Tujuh (7) hingga lapan (8) usul perdebatan dari pusingan awal hingga pertandingan akhir akan dimaklumkan sekurang-kurangnya dua (2) minggu sebelum tarikh pertandingan.

b) Peruntukan masa selama 30 minit diberikan bagi sesi kuarantin. Semasa sesi kuarantin, hanya 3 orang pendebat sahaja yang dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam perbincangan.

c) Penggunaan telefon bimbit atau alat-alat komunikasi lain selepas bermulanya sesi kuarantin adalah DIBENARKAN. Namun begitu, penggunaannya semasa perlawanan berlangsung adalah DILARANG SAMA SEKALI.

d) Tanggungjawab untuk menjaga keselamatan alat-alat komunikasi ini terletak pada individu/pasukan itu sendiri. Sebarang laporan kehilangan tidak akan dilayan oleh pihak penganjur.

e) Mana-mana pasukan yang gagal menghadiri perdebatan selepas 15 minit dari masa permulaan perdebatan akan dikira kalah.

6. FORMAT PERDEBATAN

a) Perdebatan dijalankan dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris atau Bahasa Arab menurut gaya ala Parlimen Malaysia.

b) Setiap perlawanan akan menemukan dua pasukan, iaitu pasukan kerajaan dan pasukan pembangkang. Penentuan peranan pasukan sama ada selaku kerajaan atau pembangkang akan ditentukan menurut sistem power match berkumpulan (kategori BM) dan sistem liga berkumpulan (kategori BI & BA).

c) Setiap pasukan terdiri daripada 3 orang pendebat sahaja.

d) Pasukan kerajaan terdiri daripada Perdana Menteri dan dua orang anggota kerajaan. Manakala pihak pembangkang diwakili oleh Ketua Pembangkang dan dua orang anggota pembangkang.

e) Setiap pendebat perlu menyampaikan ucapan substantif. Secara asasnya, pendebat pertama menyampaikan hujah pertama pasukan. Manakala pendebat kedua pula menyampaikan hujah kedua pasukan. Pendebat ketiga hanya perlu membidas sahaja tanpa sebarang hujah baru.

f) Ucapan penggulungan boleh disampaikan sama ada oleh pendebat pertama atau kedua sahaja.

g) Had masa berucap dan susunan ucapan bagi setiap pendebat adalah seperti berikut;

i. Perdana Menteri - 7 minit
ii. Ketua Pembangkang - 7 minit
iii. Menteri Kedua - 7 minit
iv. Pembangkang Kedua - 7 minit
v. Menteri Ketiga - 7 minit
vi. Pembangkang Ketiga - 7 minit
vii. Penggulung Pembangkang - 4 minit
viii. Penggulung Kerajaan - 4 minit

h) Bagi ucapan substantif, loceng akan dibunyikan sekali setelah 1 minit masa berlalu bagi menandakan pihak lawan sudah boleh memberi izin laluan. Loceng sekali lagi akan dibunyikan pada satu minit terakhir bagi menandakan masa untuk membuat izin laluan telah tamat. Loceng akan dibunyikan dua kali apabila masa berucap telah tamat.

i) Bagi ucapan penggulungan, loceng akan dibunyikan sekali pada minit ketiga dan dua kali apabila masa berucap telah tamat.

j) Pendebat yang melebihi had masa berucap sehingga 30 saat akan diberi amaran oleh Speaker Dewan. Pendebat akan diminta untuk menamatkan ucapannya.

7. PERANAN SETIAP PASUKAN

a) Peranan kerajaan adalah untuk menyokong usul. Mereka perlu mendefinisikan usul, memberi hujahan atau kes yang menyokong usul dan membidas sebarang kes pihak pembangkang terhadap hujahan usul mereka.

b) Peranan pihak pembangkang adalah untuk membangkang usul. Mereka perlu memberi hujahan kes yang membangkang usul dan membidas segala kes pihak kerajaan terhadap hujahan usul mereka. Mereka boleh memilih untuk menjawab definisi kerajaan sama ada menerima, menolak atau meminda definisi berkenaan.

8. PENGHAKIMAN

a) Seboleh-bolehnya setiap perdebatan akan dihakimi oleh satu panel hakim. Bilangan hakim mestilah ganjil.

b) Semasa pusingan awal, Speaker Dewan boleh dilantik dalam kalangan hakim bertugas. Dalam pusingan akhir, Speaker Dewan tidak perlu dilantik dalam kalangan panel hakim.

c) Speaker Dewan bertanggungjawab memastikan kelancaran perlawanan dan tertakluk kepada peraturan ini, membuat keputusan tentang sebarang aspek tatacara dan prosedur perdebatan yang mungkin dipertikaikan.

d) Para hakim mestilah mencapai keputusan menang atau kalah. Keputusan seri tidak dibenarkan. Para hakim tidak dibenarkan untuk menyampuk atau memberi sebarang komen semasa perdebatan berlangsung.

e) Ketua Hakim hendaklah mengumumkan keputusan kepada pasukan yang bertanding dan memberi alasan terhadap keputusan yang dicapai oleh para hakim dalam komentar tidak melebihi 10 minit.

f) Para hakim tidak boleh berbincang dan mestilah mencapai keputusan dengan sendiri.

g) Jika keputusan sebulat suara tidak dapat dicapai, keputusan majoriti akan diterima pakai. Pindaan terhadap sebarang keputusan tidak dibenarkan selepas penyerahan undi.

9. PEMARKAHAN

a) Setiap ucapan substantif akan diberi markah maksimum 100 markah berdasarkan kepada ISI (30 markah), STRATEGI (30 markah), GAYA (20 markah) dan BAHASA (20 markah).

b) Ucapan penggulungan akan diberikan markah maksimum 50 markah berdasarkan nisbah pemarkahan ucapan substantif seperti yang dinyatakan di atas.

c) Kriteria utama pemarkahan adalah nilai bujukan ucapan, iaitu sejauh mana ucapan itu benar-benar menyakinkan dan memberikan sokongan terhadap usul yang didebatkan.

d) Penggunaan bahan bantuan luar (buku, carta, majalah dan sebagainya) semasa perdebatan berlangsung adalah dilarang sama sekali.

e) Semua peserta hendaklah berkelakuan sopan dan penuh tertib semasa pertandingan.

10. FAKTA BARU

a) Tiada sebarang fakta baru dibenarkan semasa ucapan substantif pendebat ketiga dan ucapan penggulungan. Contoh baru dikira bukan fakta baru. Hujahan atau fakta dikira 'baru' kecuali
- telah digunakan dalam mana-mana hujahan terdahulu.
- merupakan bidasan terhadap hujahan pasukan lawan.

11. DEFINISI

a) Sepertimana yang terkandung dalam syarat dan peraturan Pertandingan Debat Ala Parlimen Malaysia.

b) Definisi pasukan lawan boleh diterima, ditolak (jika truistik) atau boleh dipinda (bergantung kepada kesesuaian). Namun begitu, pihak hakim memandang serius jika berlakunya 'debat definisi' yang berpanjangan.

12. PENGGULUNGAN

a) Penggulungan merupakan rumusan umum tentang pendirian pembahas mengenai isu-isu yang diperdebatkan. Oleh itu, pembahas sepatutnya hanya menyatakan isu-isu pasukan masing-masing dalam penggulungan tersebut.

b) Dalam penggulungan, pembahas tidak boleh mengemukakan hujah baru.

c) Peruntukan masa 4 minit diberikan untuk setiap penggulung. Loceng akan dibunyikan sekali pada minit ke-3 menandakan tinggal 1 minit sahaja masa penggulungan. Loceng akan dibunyikan 2 kali pada minit ke-4 menandakan masa menggulung telah pun tamat.

13. IZIN LALUAN

a) Semasa seseorang pembahas sedang berucap, pihak lawan dibenarkan memohon izin laluan dalam tempoh masa yang dibenarkan.

b) Izin laluan adalah celahan formal yang ditujukan kepada pembahas pihak lawan yang sedang berucap. Izin laluan boleh dilakukan dalam bentuk kenyataan, fakta, soalan atau ayat-ayat pendek berkaitan dengan isu yang sedang dibahaskan.

c) Pembahas yang sedang berhujah boleh menerima atau menolak izin laluan daripada pihak lawannya.

d) Jika izin laluan itu diterima, pihak lawan boleh membetulkan maklumat atau menanyakan soalan tentang isu yang sedang dibahaskan pada ketika itu.

e) Masa 15 saat diperuntukkan untuk setiap izin laluan. Izin laluan haruslah padat, tepat dan bernas. Izin laluan hanya boleh dilakukan antara minit pertama sehingga minit keenam sahaja.

f) Tiada izin laluan dibenarkan semasa sesi penggulungan.

g) Setiap pembahas diwajibkan untuk memohon 2 kali izin laluan dan menerima 2 kali izin laluan. Kegagalan berbuat demikian akan mengakibatan pemotongan markah bahagian isi dan strategi.

14. RAYUAN

a) Keputusan hakim adalah MUKTAMAD.

b) Sekiranya terdapat bantahan teknikal, pasukan hendaklah mengemukakan secara bertulis dan wang deposit bantahan sebanyak RM300.00 (Tiga Ratus Ringgit Sahaja) kepada Ketua Hakim (Teknikal & Penghakiman) secepat mungkin selepas selesai satu-satu perlawanan.

c) Jika bantahan diterima atau ditolak, wang deposit bantahan tersebut tidak akan dikembalikan oleh pihak penganjur.

d) Jika pihak penganjur mendapati berlakunya sebarang kesilapan atau kecacatan sepanjang pengendalian sesuatu perdebatan (yang berkaitan dengan perkara teknikal sahaja), usaha akan dibuat agar kepentingan semua pihak tidak terjejas. Jika perlu, para hakim dan peserta akan dimaklumkan tentang isu berbangkit agar tidak berulang.

Disediakan oleh;

En. Harmi bin Mohammad Jamil
Ketua Hakim (Kategori Bahasa Melayu)
Penyelaras Teknikal Penghakiman
Pertandingan Debat Yayasan Pahang Piala Pusingan YAB Menteri Besar Pahang 2017

No comments: