Sesi persekolahan tahun 2013 telah bermula sejak awal Januari lalu. Dalam masa 11 hari, sempat juga menjenguk beberapa buah sekolah. Ada yang mengadakan bengkel bahas, ada juga sesi pemilihan dan sesi taaruf/mengatur perancangan tahunan. Seronok dapat berjumpa anak-anak didik setelah sekian lama bercuti.
Kagum dengan kesungguhan mereka. Sanggup meluangkan masa untuk mendengar celoteh kita. Menghadam segala nasihat dan panduan yang diberikan. Mencongak perancangan lebih tersusun untuk menghadapi 2013.
Lebih kagum dengan kematangan sesetengah daripada mereka - umpama rama-rama yang muncul dari kepompong. Menyerlahkan potensi sebenar dan bakat terpendam yang tidak pernah dilihat selama ini. Mungkin sudah sekian lama bernaung di bawah sayap-sayap para senior mereka, maka ini peluang untuk mereka pula menyinar. Banyak juga karakter menarik yang diperhatikan, jika digilap sebaik-baiknya pasti boleh memberi sumbangan bermakna nanti.
Satu persamaan yang dikesan dalam kalangan mereka - semuanya menaruh harapan yang tinggi untuk tahun 2013 namun dalam masa yang sama sedar bahawa perlu juga mengukur baju di badan sendiri. Memang hajat di hati nak mendaki gunung dan dek kerana gunung itu puncaknya tinggi, maka mereka mulakan langkah pertama. Berkumpul bersama rakan-rakan seperjuangan. Berbincang dengan guru pembimbing masing-masing. Mencari maklumat awal untuk memperkaya pembacaan. Menyusun jadual latihan. Mengadakan sesi ujibakat dan pemilihan. Semuanya langkah pertama untuk BERSEDIA.
Takwim aktiviti koakademik pun hampir semua sudah diketahui. Tinggal lagi untuk menghadapinya kelak. Daripada hanya menghitung hari dan menunggu masa tibanya hari kejadian, mereka memilih untuk BERSEDIA sedari awal agar nanti tidaklah kelam-kabut, timbul rasa tertekan ataupun berlakunya masalah-masalah lain. Pendek kata, sebelum hujan mula turun, tempayan dan payung sudah disediakan.
Mengharapkan kejayaan datang bergolek mahupun kemenangan datang melayang bukanlah perkara yang boleh diterima dengan akal waras. Nak berjaya, kena berusaha. Man jadda wa jada. Nak dapatkan sagu, pecahkan ruyung. Tapi kehendak dan harapan semata-mata tidak akan dapat dicapai tanpa usaha. Dan usaha pula tidak mungkin dapat dimulakan (atau diteruskan) tanpa BERSEDIA sedari awal.
Mereka sudah memulakan langkah untuk BERSEDIA. Anda bagaimana? Bersediakah anda?
No comments:
Post a Comment