Friday, January 6, 2012

Johan Pertandingan Pidato Pendidikan Islam Peringkat Institusi Pengajian Tinggi Serantau 2011 - Teks Pidato



Teks Pidato
Johan Pertandingan Pidato Pendidikan Islam
Peringkat Institusi Pengajian Tinggi Serantau 2011


sempena

Majlis Konvokesyen Pertama
Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan,
Negara Brunei Darussalam


MOHD NAZMI B. JAAFAR
Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam

PERANAN GURU PENDIDIKAN ISLAM

Bismillahirrahmanirrahim,
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Sekalung apresiasi dihulurkan buat peneraju acara, kombinasi respektatif kehakiman teguh saksama, dif-dif kehormat berkarisma seterusnya hadirin, warga dewan yang budiman.

Sesungguhnya, firman-firman Allah yang menggetarkan jiwa dalam al-Quran kitab paling mulia, seawal Nabi Adam a.s diajar agar mengerti dan memahami, Nabi Ibrahim a.s diasuh agar berfikir dan mentafsir, bahkan anjuran “Iqra’, bismirabbikallazihalaq” kepada Nabi Muhammad S.A.W menjelaskan usaha mendidik manusia dan peranan guru tidak pernah ada noktahnya.

Maka, dengarkanlah… hayatilah… cetusan minda kurniaan Allah,
PERANAN GURU PENDIDIKAN ISLAM

Bagi merungkaikan makna peranan guru pendidikan Islam, cukuplah dengan definisi Muhammad Hatta yang menekankan kekuatan ilmu, amal dan peribadi guru berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah, menjiwai nilai-nilai siddiq, amanah, tabligh dan fatanah serta menjadi contoh teladan buat anak didiknya. Bahkan, hal ini sejajar dengan hadis Nabi Muhammad S.A.W, “al ulama waratsatul ambiya”.

Justeru, marilah sama-sama kita menilai peranan guru pendidikan Islam sebagai murabbi, mua’lim, muaddib dan mursyid.

Hadirin sekalian,
Pertama, peranan guru Pendidikan Islam sebagai murabbi, iaitu mampu menghubungkaitkan ilmu, sahsiah dan keterampilan dengan ajaran Islam menepati konsep hablumin-Allah.

Sirah nabawiyyah menukilkan, peristiwa Rasullullah S.A.W berdakwah selama 13 tahun untuk menyuburkan benih-benih keimanan, dan kekuatan aqidah bagi menyinari hati-hati umatnya. Sebagai guru murabbi, usaha mengenal Allah S.W.T wajib ditanam kejap dalam sanubari anak didik agar sentiasa mentauhidkan Allah S.W.T yang Maha Esa.

Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Baqarah ayat 21, mafhumnya;

“Wahai manusia, sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakanmu.”

Seruan untuk mengabdikan diri kepada Allah wajib dilaksanakan. Ternyata sekeras-keras Saidina Umar al-Khattab, sifat ihsan Rasulullah S.A.W sebagai murabbi mampu melembutkan hati, mengubah watak jahili kepada peribadi Qur’ani.

Jelas membuktikan guru murabbi mampu membina akal budi, membangun jati diri dan integriti, memacu minda lantas melahirkan insan rabbani.

Hadirin sekalian,
Kedua, peranan guru Pendidikan Islam sebagai mua’lim. Guru ibarat pelita yang membawa cahaya pencerahan ilmu bagi menghijrahkan anak didik daripada gelita kejahilan kepada cahaya keilmuan, daripada kejumudan minda kepada kecerdasan akal, daripada kehinaan kepada kemuliaan agar dapat melahirkan generasi berilmu, cemerlang di dunia dan gemilang di akhirat.

Bahkan, Allah S.W.T mengiktiraf ketinggian martabat golongan berilmu sepertimana dalam surah Al-Mujadalah, ayat 11;

“Allah akan mengangkat kedudukan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.”

Sebagai mua’lim, guru Pendidikan Islam mestilah memiliki hikmah dalam memberi kefahaman ilmu bahkan guru seumpama ulama yang mengetahui pelbagai ilmu duniawi dan ukhrawi.

Lihatlah pedoman kisah Imam as-Syafie bergurukan Imam Malik dan kisah Buya Hamka bergurukan Syeikh Ibrahim Musa. Semua ini menuntut kepada penerokaan tanpa henti dan penguasaan ilmu dalam diri guru mua’lim agar dapat melahirkan insan bertamadun tinggi.

Hadirin sekalian,
Ketiga, menurut Dr. Sidek Baba dalam karyanya “Tajdid Ilmu dan Pendidikan”, guru Pendidikan Islam perlu berjiwa muaddib, yakni berperanan sebagai pembentuk adab dan akhlak kerana selepas ibu bapa, gurulah contoh terbaik dan “role model” kepada anak didiknya.

Watak guru muaddib sendiri perlu beracuankan khuluqul-Quran Rasullulah S.A.W sejajar dengan firman Allah dalam Surah al-Ahzab, ayat 21;

“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu.”

Lantaran itulah, pendekatan qudwatul hasanah guru-guru Pendidikan Islam telah lama berakar-umbi di pondok-pondok pesantren seluruh Indonesia, dalam sistem madrasah di Singapura dan di maahad-maahad tahfiz Selatan Thailand menepati semangat Resolusi Persidangan Pendidikan Islam Mekah yang pertama tahun 1977. Maka, lahirlah generasi muda berakhlak mulia hasil didikan guru-guru muaddib.

Hadirin sekalian,
Keempat, peranan guru Pendidikan Islam sebagai mursyid, bertanggungjawab memimpin tazkiyyatul ruhiyyah agar sampai kepada Allah menerusi proses tarbiah. Konsep irshad yang lebih menfokuskan konsep kepimpinan Rasulullah S.A.W dalam proses mendidik dan membimbing para sahabat perlu menjadi acuan guru Pendidikan Islam.

Ingatlah pesan Imam al-Ghazali, “jangan bakhil memberikan sokongan ketika mereka benar, tetapi jangan pula ragu-ragu menegur apabila mereka tersilap.”.

Atas dasar inilah, tersematnya prinsip Kecemerlangan Dalam Mengajar dan Belajar menerusi Pelan Strategik Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam.

Semua ini mampu meningkatkan potensi dan reputasi guru Pendidikan Islam sebagai pemimpin ummah menjayakan tuntutan bagi mencapai sepertimana dalam firman Allah menerusi surah Saba` ayat 15; “baldatun thoiyyibatun warabbun ghafur”.

Hadirin sekalian
Kesimpulannya, ayuh kita renungkan bersama, peranan guru Pendidikan Islam sebagai murabbi, mua’lim, muaddib dan mursyid. Insya-Allah, daripadanya bakal lahir ilmu yang berkat, amalan yang bermanfaat, sahsiah yang hebat dan pembentukan modal insan yang kuat dalam menghadapi cabaran di dunia dan mencari kebahagian di akhirat


Hasil Nukilan: En. Harmi Mohd Jamil & Sdr. Mohd Nazmi Jaafar

Wednesday, January 4, 2012

Dewan Kemasyhuran @ Hall of Fame

Tan Sri Datuk Wira Abdul Rahman Arshad National Debate Cup Champions

2000 - Sabah, Combined Team
2001 - Selangor, SMK Damansara Jaya
2002 - Kuala Lumpur, SMK Convent Bukit Nanas
2003 - Selangor, SMK Damansara Jaya
2004 - Sabah, SMK Tinggi Tsung Tsin
2005 - Pahang, SMK Sultan Abu Bakar
2006 - Johor, SMK Tinggi Batu Pahat
2007 - Sabah, SMK Lok Yuk
2008 - Selangor, SMK Damansara Jaya
2009 - Perak, SMK Convent Ipoh
2010 - not held
2011 - ?
2012 - ?
2013 - ?

Johan Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

2003 - Perak, SMKA Sultan Azlan Shah, Bota
2004 - Pulau Pinang, SMKA Al-Mashoor (L)
2005 - Negeri Sembilan, SMKA Pedas
2006 - Kedah, SMK Jitra
2007 (Melaka) - Selangor, SMK Seri Serdang
2008 (Sabah) - Melaka, SMKA Sultan Muhammad
2009 (Kelantan) - Johor, SMKA Maahad Muar
2010 - tidak diadakan
2011 (Perlis) - Selangor, SMK Seri Serdang
2012 (Johor) - Perak, SMK Taman Tasik Taiping
2013 - ?

Fakta Menarik: Sepanjang tempoh 8 tahun penganjurannya, hanya 3 buah SMK harian biasa (bukan SMKA) yang pernah menjuarai pertandingan ini.