MENTALITI KELAS PERTAMA TONGGAK KEJAYAAN 1MALAYSIA
[Dimohon agar sesiapa sahaja
yang berminat mengekstrak teks pidato atau bahan-bahan lain dari blog
ini untuk memohon keizinan terlebih dahulu daripada penulis. Sila perkenalkan diri selengkapnya dengan memaparkan nama penuh & nama institusi dan bukannya hanya nama timangan atau pengenalan diri yang samar. Hormatilah
hakcipta dan integriti keilmuan. Terima kasih.]
Bismillahirrahmannirrahim,
Assalamualaikum dan
Salam Sejahtera,
Terima kasih
peneraju acara, dif-dif kehormat berkarisma, panel juri teguh saksama dan
seluruh warga dewan berbahagia. Salam 1Malaysia.
Sungguh hairan, melihat setiap hari orang menyisir rambutnya tetapi tidak
pernah menyisir otaknya, memperkemas dadanya tetapi tidak pernah menyucikan
hatinya, menggilap kasutnya tetapi tidak akalnya. Walhal, kejayaan sesuatu
perkara itu bukanlah bergantung kepada penampilan zahir semata-mata tetapi juga
ketinggian pemikirannya. Atas pedoman yang sama, percayalah bahawa Mentaliti Kelas Pertama Tonggak Kejayaan
1Malaysia.
Sesungguhnya, mentaliti kelas
pertama bolehlah ditakrifkan sebagai anjakan paradigma pemikiran
manusia yang tinggi akal budinya, cemerlang gaya hidupnya dan teguh nilai
moralnya sehingga mampu menghijrahkan dirinya daripada gelita kemunduran kepada
cahaya kemajuan.
Maka, prakarsa merakyatkan mentaliti kelas pertama diyakini
mampu mengharmonikan perpaduan
disulami penghayatan terhadap prinsip penerimaan, kenegaraan
dan keadilan
demi menjayakan gagasan 1Malaysia,
rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.
Persoalannya, bagaimanakah kita dapat menjadikan mentaliti kelas pertama sebagai tonggak kejayaan 1Malaysia?
Maka, hayatilah cetusan minda kurniaan Allah, pragmatik pertama;
Budaya Ilmu Disemai,
Insan Berkualiti Dicanai.
Hadirin sekalian,
Kita sedar bahawa kalimah iqra’, kalam Pencipta mentamsilkan ilmu sebagai
cahaya, pelita hidup manusia. Dengan menguasai ilmu berguna, mentaliti kita tidak akan terkongkong bagai
katak di bawah tempurung sebaliknya mampu melihat dunia dengan pandangan mata
burung.
Lantaran itulah, transformasi ke
arah pendidikan global yang kita laksanakan menerusi Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia 2013-2025 banyak mengubah persepsi dan mentaliti rakyat
kita dalam membudayakan ilmu. Akses kepada pembelajaran sepanjang hayat kita
sediakan, gerakan membaca kita perkasakan, program i-Think dan Permata Negara
kita arusperdanakan, kemahiran dwibahasa kita tekankan, penguasaan ICT kita
utamakan, semuanya atas nama pendemokrasian pendidikan demi melahirkan modal
insan berminda kelas pertama yang kita impikan.
Hakikatnya, Laporan Daya Saing Global
2012, Forum Ekonomi Dunia meletakkan kualiti pendidikan kita di tangga ke-14 daripada 142 buah
negara dengan kadar literasi 95.7% dan indeks
kebolehpasaran graduan 88.4%. Angka-angka kejayaan ini membuktikan bahawa dengan
keterbukaan minda rakyat menguasai ilmu berguna, terbentuklah mentaliti kelas
pertama menunjangi keadilan sosial teras gagasan 1Malaysia.
Hadirin sekalian, pragmatik kedua; Budaya
Inovasi Dijulang, Mentaliti Rakyat Cemerlang,
Dalam melakar kejayaan 1Malaysia, warga Jepun dan Korea Selatan menjadi
idola berteraskan inovasi dalam aspek pengurusan masa, disiplin diri dan etika kerja, lambang
mentaliti kelas pertama mereka.
Lantaran itulah, pelbagai inovasi telah kita
perkenalkan. Menerusi Program Transformasi Ekonomi misalnya, inovasi keusahawanan
mampu menganjakkan pemikiran rakyat – daripada mentaliti pengguna kepada budaya
pencipta dan daripada mentaliti subsidi kepada semangat berdikari, sekaligus
memungkinkan rezeki secupak boleh menjadi segantang asalkan kita bijak merebut
peluang. Dalam Program Transformasi Kerajaan pula, kualiti perkhidmatan awam
sentiasa ditingkatkan selaras dengan indeks pencapaian utama dan bidang
keberhasilan utama negara.
Hasilnya kini, permit pembantu rumah dapat diuruskan
dalam tempoh hanya 3 hari, pendaftaran perniagaan baru pula kurang 6 jam,
bahkan MyKad boleh siap diproses dalam tempoh 1 jam. Bukankah inovasi budaya
kerja cemerlang sebegini mendahulukan kepentingan rakyat dan mengutamakan kualiti
pencapaian? Hakikatnya jelas, mentaliti rakyat yang inovatif inilah yang mampu menunjangi
kejayaan 1Malaysia kelak.
Hadirin sekalian, pragmatik ketiga; Nilai-Nilai
Murni Dihayati, Kesejahteraan Negara Dinikmati.
Pujangga Melayu selalu berpesan;
Tegak rumah kerana sendi, runtuh sendi rumah binasa,
Tegak bangsa kerana budi, runtuh budi runtuhlah bangsa.
Dalam kita mengejar mentaliti kelas pertama, nilai-nilai
murni adalah pelengkapnya ibarat isi dengan kuku, irama dengan lagu, cinta dengan
rindu.
Maka, demi mengubah mentaliti masyarakat 1Malaysia agar menjiwai
nilai-nilai murni, subjek Sivik dan Kewarganegaraan kita mantapkan, kempen budi
bahasa kita jayakan, budaya integriti kita amalkan bahkan pembinaan sahsiah kita
pergiatkan, semuanya atas kesedaran bahawa apalah gunanya ketinggian akal fikir
manusia tanpa keluhuran budi bahasa.
Tatkala indeks jenayah seluruh negara dilaporkan
menurun 11.1% dan indeks keamanan global meletakkan Malaysia di tangga ke-20
paling aman daripada 158 buah negara, apakah yang memungkinkan semua ini
berlaku? Pastinya nilai kesefahaman dan prinsip penerimaan menyuburkan
mentaliti kelas pertama yang memacu perpaduan bangsa dan kemakmuran negara ke
arah kejayaan 1Malaysia.
Ya, hadirin sekalian. Secara tuntasnya, prakarsa membentuk
mentaliti kelas pertama menuntut kepada pembudayaan ilmu yang berguna, aplikasi
inovasi yang bermakna dan penghayatan nilai-nilai murni sepanjang masa. Apabila kesemua ramuan ini mampu kita adun
bersama-sama, maka transformasi minda rakyat dapat kita jana sekaligus
menjayakan hasrat pembinaan citra gagasan 1Malaysia. Benarlah bahawa “Mentaliti Kelas Pertama Tonggak Kejayaan
1Malaysia”.
Teks disediakan oleh : En. Harmi bin Mohammad Jamil
Disampaikan oleh : Sdr. Muhammad Misykat bin Abdul Rahman
Johan Pertandingan Pidato Piala Diraja Kali Ke-28,
Peringkat Kebangsaan Tahun 2012