KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menyaran
pihak sekolah menggunakan sambutan Sarawak Merdeka Dalam Malaysia Ke-50 pada
tahun depan sebagai platform memberi pendedahan kepada pelajar tentang nilai
sejarah.
Beliau berkata, usaha tersebut penting untuk memupuk semangat patriotik
dalam kalangan pelajar sekali gus menghargai pengorbanan generasi lepas yang
membawa kemakmuran kepada negeri ini sekarang. Menurutnya, pada masa sekarang, ada dalam kalangan generasi muda tidak
memahami makna kemerdekaan menyebabkan mereka sanggup melakukan perkara
terkutuk termasuk membakar bendera atau memijak potret pemimpin.
“Pihak sekolah harus menggunakan perayaan ini sebagai platform untuk
mendedahkan dan menanam semangat patriotik dalam kalangan pelajar. Usaha ini agar generasi muda tidak leka di sebalik kemajuan yang kita capai
pada masa sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pertandingan Akhir Bahas Piala
Ketua Menteri Sarawak 2012 di sini, semalam. Hadir sama isteri Ketua Menteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Timbalan Ketua
Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Speaker Dewan Undangan
Negeri (DUN) Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar dan Menteri Kebajikan, Wanita
dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.
Taib menjelaskan, pelbagai program boleh dianjurkan pihak sekolah untuk
meningkatkan kesedaran pelajar terhadap nilai sejarah. “Kita perlu anjurkan program menyeronokkan seperti pertandingan untuk menarik
minat pelajar menyertainya,” ujarnya.
Beliau turut melahirkan rasa bangga kerana masyarakat berbilang kaum di
negeri ini mampu menguasai bahasa Melayu. “Ini boleh kita lihat daripada kemampuan peserta bahas yang mampu menguasai
bahasa Melayu dengan fasih. “Kemampuan ini merupakan tonggak utama dalam mengukuhkan perpaduan yang
dipertahankan sejak sekian lama,” jelasnya.
Menurutnya lagi, penganjuran pertandingan bahas tersebut yang memasuki edisi
ke-26 turut memainkan peranan positif ke arah memartabatkan penggunaan bahasa
Melayu.
Sementara itu, Sekolah Menengah Sains Miri muncul pemenang Pertandingan
Akhir Bahas Piala Ketua Menteri Sarawak 2012 menewaskan Sekolah Menengah
Kebangsaan Baleh, Kapit.
Dengan kemenangan tersebut, Sekolah Menengah Sains Miri membawa pulang wang
tunai RM5,000, piala pusingan, piala iringan, sijil penyertaan dan dua buah
komputer riba. Lebih manis lagi apabila pembahas Sekolah Menengah Sains Miri Muhammad Syafiq
Safri diumumkan sebagai Pembahas Terbaik pertandingan akhir. Bagi Anugerah Khas Pembahas Terbaik Bukan Bumiputera, Lee Seng Kiat dari
Sekolah Menengah Kebangsaan Kabong diumumkan sebagai pemenang.
Pertandingan Akhir Bahas Piala Ketua Menteri Sarawak 2012
Tarikh : Selasa, 30 Oktober 2012
Tempat : Auditorium Tan Sri P. Ramlee, RTM Kuching
SM Sains Miri lwn SMK Baleh, Kapit
Johan : SM Sains Miri
Naib Johan : SMK Baleh, Kapit
Johan/Wakil Zon
SMK Kabong : Sri Aman/Betong
SMK Bako : Kuching
SMK Meradong : Sarikei
SMK Bukit Lima : Sibu
SM Sains Miri : Miri
SMK Lundu : Samarahan
SMK Matu : Mukah
SMK Limbang : Limbang
SMK Baleh : Kapit
SMK Asyakirin : Bintulu
2 comments:
Cikgu bila peringkat akhirnya? Ada siaran langsung RTM Sarawak tak?
Biasanya ada siaran rakaman. Saya tak tahu bila peringkat akhirnya.
Post a Comment