Sunday, June 1, 2014

Penghargaan Khas Buat Saudara Selamet Nur Anom, Johan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2014





TEKS PIDATO JOHAN KATEGORI ALAM MELAYU
PERTANDINGAN PIDATO ANTARABANGSA BAHASA MELAYU 2014
disampaikan oleh
SDR. SELAMET NUR ANOM, UNIVERSITAS PENDIDIKAN INDONESIA
WAKIL NEGARA INDONESIA KE PABM 2014

Nota Penting : 

Sdr. Selamet Nur Anom telah meminta izin penulis untuk menggunakan gabungan beberapa teks pidato yang pernah penulis nukilkan bagi menyempurnakan teks pidato yang beliau gunakan untuk Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2014 tempoh hari. Penulis telah memberi keizinan.

Lihatlah keberkatan memohon izin menggunakan ilmu akan Allah Taala balas dengan sebaik-baik kejayaan dan kecemerlangan. Tahniah buat Sdr. Selamet Nur Anom kerana berjaya mengangkat idea-idea kerdil penulis tidak ternama ini ke pentas antarabangsa. 

Terima kasih juga buat Ustaz Nazmi Jaafar atas perkenalan dengan Ustaz Selamet Nur Anom ini sejak Pidato Pendidikan Islam di Brunei. Moga-moga Allah Taala merahmati usaha kita dengan melimpahkan rahmat dan pahala berpanjangan.

Assalamualaikum w.b.t
Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada tuan pengerusi, kombinasi hakim, dif-dif jemputan, selanjutnya hadirin dan hadirat sekalian yang saya kasihi.
Sesungguhnya, firman-firman Allah yang menggetarkan jiwa dalam al-Quran kitab paling mulia, seawal Nabi Adam a.s diajar agar mengerti dan memahami, Nabi Ibrahim a.s diasuh agar berfikir dan mentafsir, bahkan anjuran “Iqra’, bismirabbikallazihalaq” kepada Nabi Muhammad S.A.W menjelaskan usaha mendidik manusia tidak pernah ada noktahnya.
Kerana itu percayalah, PENDIDIKAN BERKUALITI INSAN BERINTEGRITI begitulah maudu’ pidato yang akan kita hayati pada kesempatan ini.
Hadirin sekalian yang berbahagia
Pendidikan adalah jalan kehidupan yang diwariskan sang tauladan zaman iaitu Rosulullah SAW. Baginda bersabda:
“Tuhanku telah mendidikku dan menjadikan pendidikanku sebaik-baik pendidikan.”
Persoalannya pada hari ini, bagaimanakah yang dikatakan pendidikan yang berkualiti yang mampu menjana ke arah citra negara jaya.
Maka, dengarkanlah, hayatilah cetusan minda kurniaan Allah,
Hujjah pertamaSekolah Cemerlang, Pendidikan Gemilang”.

Menerusi Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, institusi sekolah sentiasa ditambahbaikkan, sekolah kebangsaan diperkasakan, jurang pendidikan dirapatkan, sekolah wawasan diwujudkan, semuanya untuk menyemai budaya kecemerlangan dan semangat perpaduan ke arah 1Malaysia yang digagaskan. Dalam era kemodenan, sekolah bestari menjadi pilihan, aplikasi ICT banyak digunakan, malah pedagogi guru mampu ditingkatkan.

Hakikatnya, institusi pendidikan Malaysia terbukti cemerlang apabila Laporan Daya Saing Global 2012, Forum Ekonomi Dunia meletakkan kualiti pendidikan negara Malaysia di tangga ke-14 daripada 142 buah negara. Malah, transformasi pendidikan telah melonjakkan kecemerlangan apabila 182 buah sekolah kluster berjaya dikenalpasti, 66 buah sekolah pula diiktiraf berprestasi tinggi bahkan 2450 buah sekolah dilihat berpotensi memperbaiki Gred Purata Sekolah sendiri.

Hadirin sekalian,
Hujjah keduaGuru Cemerlang, Pendidikan Gemilang

Menurut Al-Nahlawi dalam bukunya Usul Al-Tarbiyyah Al-Islamiyyah Wa Asalibuha menegaskan bahawa guru perlu menguasai pelbagai kemahiran dan kebijaksanaan. Seterusnya, apabila membincangkan kecemerlangan guru dan profession keguruan perlu menfokuskan 5 tunjang utama yang menjadi tonggak kejayaan dan kewibawaan seseorang guru, iaitu kekuatan intelek, kepimpinan berwibawa, kemurnian akhlak, kesediaan untuk berubah serta kecintaan terhadap profesion keguruan. Lantaran itulah, Standard Guru Malaysia telah dilancarkan, Petunjuk Prestasi Utama Sektor Pendidikan terus diperkasakan, Guru Cemerlang diberi pengiktirafan, Tawaran Baiah Baru turut diberikan, bukan untuk menambah beban atau tekanan, tetapi sebagai dorongan untuk merintis perubahan demi kemajuan dunia pendidikan.

Hasilnya kini, bilangan guru dan pengetua cemerlang telah mencecah 8125 orang berbanding 5984 orang pada tahun 2010. Lebih membanggakan lagi, Kajian Indeks Persepsi Murid 2012 mendedahkan bahawa 97.4% murid-murid Malaysia menganggap guru-guru mereka bersifat penyayang, berdedikasi malah menjadi sumber inspirasi. Benarlah nukilan pantun, orang haji dari Jeddah, buah kurma berlambak-lambak, pekerjaan guru bukanlah mudah, bagai kerja menolak ombak. Terima kasih guru, kau sumber inspirasiku.

Hujjah ketigaPendidikan Cemerlang, Modal Insan Gemilang

Tun Abdullah bin Ahmad Badawi, mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke-5 pernah berkata “Modal insan bukan setakat mempunyai ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang, tetapi ia juga mencakupi aspek peribadi serta akhlak yang tinggi perlu ada pada seseorang itu”.

Tetapi hadirin sekalian, sedarkah kita bahawa hari ini gejala sosial bermaharajalela, mat rempit dan bohsia jadi idola, zina pula dianggap biasa, bayi dihumban tanpa kasihan, dipijak ditendang tanpa ihsan, lebih menyedihkan hati, bapa dicaci, ibu dimaki. Jelaslah, dalam dunia moden kini, modal insan bermoral tinggi bukan lagi satu kemewahan tetapi satu keperluan. Maka dalam membentuk ketrampilan modal insan, pendidikan seimbang kita aplikasikan, subjek Sivik dan Kewarganegaraan kita mantapkan, pengisian kokurikulum kita perhebatkan, Dasar 1Murid 1Sukan kita lancarkan, kempen budi bahasa kita jayakan, bahkan disiplin pelajar kita tingkatkan.

Lantaran itulah, sistem pendidikan di Malaysia terbukti cemerlang dalam melahirkan individu yang kompetitif dan dinamik bagi mewarisi kepimpinan negara. Sekadar menyebut beberapa contoh, menerusi transformasi pendidikan, kita mampu menghasilkan lebih ramai pelajar pintar seperti Nur Amalina Che Bakri, lebih ramai atlit muda seperti Dato’ Nicol Ann David, lebih ramai tokoh belia seperti Zuraidi Komari, malah lebih ramai idola remaja seperti Imam Muda Asyraf.

Hadirin sekalian. Kesimpulannya, pendidikan berkualiti menjelaskan kolerasi yang simbiotik antara institusi pendidikan berkualiti, golongan pendidik berdedikasi dan kemenjadian pelajar modal insan berintegriti. Apabila ini kita jana maka pendidikan kita penuh bermakna. Inilah yang dikatakan pendidikan berkualiti insan berintegriti. Pendidikan gemilang citra Negara jaya. Sekian dan terima kasih.

5 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum sifu Harmi Mohammad Jamil...
Saya Inamul Hasan... Seorang pelajar tahun 2 di sebuah institusi pengajian tinggi di terengganu,iaitu Politeknik Hulu Terengganu...

Saya suka membaca entri-entri yang sifu kongsikan di dalam blog sifu ini...
Saya dengan rasa rendah diri, memohon kebenaran tuan sifu untuk saya gunakan mana-mana entri dan perkongsian yang terkandung di dalam blog tuan bagi saya kongsikan kepada keluarga, teman dan juga anak didik saya...

buat pengetahuan pihak tuan,pengarah saya mengamanahkan supaya saya mewakili politeknik dalam pidato pada akhir september ini. mohon sifu doakan saya dan diizinkan untuk memanfaatkan semua entri sifu untuk persediaan saya

Harmi bin Mohammad Jamil said...

Waalaikumussalam, dipersilakan.

ISMAIL said...

Assalammualaikum warahmatullah hiwabarakatuh.
Saya Ismail bin Drahman dari SMK Serian memohon kebenaran daripada tuan untuk menggunakan segala maklumat yang ada di dalam blog ini untuk dikongsikan kepada pelajar dan keluarga saya.Dengan adanya maklumat ini,mmudah-mudah ia dapat mengurangkan beban yang saya tanggung.
sukran jazilan tuan.

ISMAIL said...

Assalamulaikum warahmatullah hiwabarakatuh.Saya Ismail bin Drahman dari SMK Serian memohon kebenaran untuk menggunakan segala maklumat di dalam blog ini.Jasa tuan tetap saya kenang dan mudah-mudahan mendapat pahala daripada Allah. amin.

izzat said...
This comment has been removed by the author.