TEKS PIDATO JOHAN KATEGORI ALAM MELAYU
PERTANDINGAN PIDATO ANTARABANGSA BAHASA MELAYU 2014
disampaikan oleh
SDR. SELAMET NUR ANOM, UNIVERSITAS PENDIDIKAN INDONESIA
WAKIL NEGARA INDONESIA KE PABM 2014
Nota Penting :
Sdr. Selamet Nur Anom telah meminta izin penulis untuk menggunakan
gabungan beberapa teks pidato yang pernah penulis nukilkan bagi menyempurnakan
teks pidato yang beliau gunakan untuk Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa
Melayu 2014 tempoh hari. Penulis telah memberi keizinan.
Lihatlah keberkatan memohon izin menggunakan ilmu akan
Allah Taala balas dengan sebaik-baik kejayaan dan kecemerlangan. Tahniah buat
Sdr. Selamet Nur Anom kerana berjaya mengangkat idea-idea kerdil penulis tidak ternama ini ke
pentas antarabangsa.
Terima kasih juga buat Ustaz Nazmi Jaafar atas perkenalan
dengan Ustaz Selamet Nur Anom ini sejak Pidato Pendidikan Islam di Brunei. Moga-moga Allah Taala merahmati
usaha kita dengan melimpahkan rahmat dan pahala berpanjangan.
Assalamualaikum
w.b.t
Ribuan terima kasih
saya ucapkan kepada tuan pengerusi, kombinasi hakim, dif-dif jemputan,
selanjutnya hadirin dan hadirat sekalian yang saya kasihi.
Sesungguhnya,
firman-firman Allah yang menggetarkan jiwa dalam al-Quran kitab paling mulia,
seawal Nabi Adam a.s diajar agar mengerti dan memahami, Nabi Ibrahim a.s diasuh
agar berfikir dan mentafsir, bahkan anjuran “Iqra’, bismirabbikallazihalaq”
kepada Nabi Muhammad S.A.W menjelaskan usaha mendidik manusia tidak pernah ada
noktahnya.
Kerana itu
percayalah, PENDIDIKAN
BERKUALITI INSAN BERINTEGRITI
begitulah maudu’ pidato yang akan kita hayati pada kesempatan ini.
Hadirin sekalian
yang berbahagia
Pendidikan adalah
jalan kehidupan yang diwariskan sang tauladan zaman iaitu Rosulullah SAW.
Baginda bersabda:
“Tuhanku telah
mendidikku dan menjadikan pendidikanku sebaik-baik pendidikan.”
Persoalannya pada
hari ini, bagaimanakah yang dikatakan pendidikan yang berkualiti yang mampu
menjana ke arah citra negara jaya.
Maka, dengarkanlah,
hayatilah cetusan minda kurniaan Allah,
Hujjah pertama “Sekolah Cemerlang, Pendidikan Gemilang”.
Menerusi Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, institusi sekolah sentiasa
ditambahbaikkan, sekolah kebangsaan diperkasakan, jurang pendidikan dirapatkan,
sekolah wawasan diwujudkan, semuanya untuk menyemai budaya kecemerlangan dan
semangat perpaduan ke arah 1Malaysia yang digagaskan. Dalam era kemodenan,
sekolah bestari menjadi pilihan, aplikasi ICT banyak digunakan, malah pedagogi
guru mampu ditingkatkan.
Hakikatnya, institusi pendidikan Malaysia terbukti cemerlang apabila Laporan
Daya Saing Global 2012, Forum Ekonomi Dunia meletakkan kualiti pendidikan
negara Malaysia di tangga ke-14 daripada 142 buah negara. Malah,
transformasi pendidikan telah melonjakkan kecemerlangan apabila 182 buah
sekolah kluster berjaya dikenalpasti, 66 buah sekolah pula diiktiraf
berprestasi tinggi bahkan 2450 buah sekolah dilihat berpotensi
memperbaiki Gred Purata Sekolah sendiri.
Hadirin sekalian,
Hujjah kedua “Guru Cemerlang,
Pendidikan Gemilang”
Menurut Al-Nahlawi dalam
bukunya Usul Al-Tarbiyyah Al-Islamiyyah
Wa Asalibuha menegaskan bahawa guru perlu menguasai pelbagai kemahiran dan
kebijaksanaan. Seterusnya, apabila membincangkan kecemerlangan guru dan
profession keguruan perlu menfokuskan 5 tunjang utama yang menjadi tonggak
kejayaan dan kewibawaan seseorang guru, iaitu kekuatan intelek, kepimpinan
berwibawa, kemurnian akhlak, kesediaan untuk berubah serta kecintaan
terhadap profesion keguruan. Lantaran itulah, Standard Guru Malaysia telah
dilancarkan, Petunjuk Prestasi Utama Sektor Pendidikan terus diperkasakan, Guru
Cemerlang diberi pengiktirafan, Tawaran Baiah Baru turut diberikan, bukan untuk
menambah beban atau tekanan, tetapi sebagai dorongan untuk merintis perubahan
demi kemajuan dunia pendidikan.
Hasilnya kini, bilangan guru dan pengetua
cemerlang telah mencecah 8125 orang berbanding 5984 orang pada tahun 2010.
Lebih membanggakan lagi, Kajian Indeks
Persepsi Murid 2012 mendedahkan bahawa 97.4% murid-murid Malaysia
menganggap guru-guru mereka bersifat penyayang, berdedikasi malah menjadi
sumber inspirasi. Benarlah nukilan pantun, orang haji dari Jeddah, buah kurma
berlambak-lambak, pekerjaan guru bukanlah mudah, bagai kerja menolak ombak.
Terima kasih guru, kau sumber inspirasiku.
Hujjah ketiga “Pendidikan
Cemerlang, Modal Insan Gemilang”
Tun Abdullah bin Ahmad
Badawi, mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke-5 pernah berkata “Modal insan
bukan setakat mempunyai ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang, tetapi ia juga
mencakupi aspek peribadi serta akhlak yang tinggi perlu ada pada seseorang
itu”.
Tetapi hadirin sekalian,
sedarkah kita bahawa hari ini gejala sosial bermaharajalela, mat rempit dan
bohsia jadi idola, zina pula dianggap biasa, bayi dihumban tanpa kasihan,
dipijak ditendang tanpa ihsan, lebih menyedihkan hati, bapa dicaci, ibu dimaki.
Jelaslah, dalam dunia moden kini, modal insan bermoral tinggi bukan lagi satu
kemewahan tetapi satu keperluan. Maka dalam membentuk ketrampilan modal insan,
pendidikan seimbang kita aplikasikan, subjek Sivik dan Kewarganegaraan kita
mantapkan, pengisian kokurikulum kita perhebatkan, Dasar 1Murid 1Sukan kita
lancarkan, kempen budi bahasa kita jayakan, bahkan disiplin pelajar kita
tingkatkan.
Lantaran itulah, sistem pendidikan di Malaysia
terbukti cemerlang dalam melahirkan individu yang kompetitif dan dinamik bagi
mewarisi kepimpinan negara. Sekadar menyebut beberapa contoh, menerusi
transformasi pendidikan, kita mampu menghasilkan lebih ramai pelajar pintar
seperti Nur Amalina Che Bakri, lebih ramai atlit muda seperti Dato’
Nicol Ann David, lebih ramai tokoh belia seperti Zuraidi Komari,
malah lebih ramai idola remaja seperti Imam Muda Asyraf.
Hadirin sekalian.
Kesimpulannya, pendidikan berkualiti menjelaskan kolerasi yang simbiotik antara
institusi pendidikan berkualiti, golongan pendidik berdedikasi dan kemenjadian
pelajar modal insan berintegriti. Apabila ini kita jana maka pendidikan kita
penuh bermakna. Inilah yang dikatakan pendidikan berkualiti insan berintegriti.
Pendidikan gemilang citra Negara jaya. Sekian dan terima kasih.