Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki,
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.
Bait-bait pantun kegemaran penulis ini amat sarat dengan pelbagai mesej bermakna. Baik dari segi pembayangnya, apatah lagi maksudnya.
Kebanyakan orang beranggapan bahawa mesej sebenar yang ingin disampaikan hanya diungkapkan pada baris maksud. Lazimnya, baris pembayang cuma dilihat sebagai 'pelengkap' atau 'penyedap' pantun.
Namun hakikatnya tidak. Menerusi pantun lama ini, kita perlu melihatnya dalam konteks keseluruhan pantun itu sendiri agar mesej yang cuba disampaikan dapat terpatri kemas dalam ingatan.
Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki,
Secara metaforanya, 'padang datar' merujuk kepada sesebuah kawasan yang bukan sahaja topografinya landai tetapi litupan vegetasinya juga terhad. Biasanya, kita hanya akan menjumpai pokok-pokok renek dan rumput-rampai tumbuh subur di kawasan berkenaan.
'Rusa belang kaki' pula merupakan sejenis belalang yang berhabitatkan kawasan berlalang seperti padang. Ramai yang tersalah anggap bahawa semacam wujudnya makhluk mistik 'rusa yang kakinya berbelang'! Maka, pemahaman kita sebagai pembaca zaman moden haruslah diselaraskan dengan daya fikir generasi terdahulu yang banyak mengasosiasikan unsur alam dengan nukilan pantun mereka.
Secara tersiratnya juga, keseluruhan baris pembayang ini menggambarkan satu situasi yang amat mudah difahami. Jika kita hanya sekadar memburu di padang yang landai, datar dan dipenuhi tumbuh-tumbuhan renek, maka kebarangkalian untuk kita memperoleh hasil tangkapan yang dihajati amatlah rendah dan mungkin mustahil untuk direalisasikan.
Apa yang tinggal, mungkin sahaja kita akan memperoleh belalang rusa yang berbelang kakinya. Jadinya, jika inginkan hasil tangkapan yang lebih baik (dan bukan sekadar belalang rusa), kita mestilah berburu di kawasan hutan belantara yang dipenuhi dengan pelbagai haiwan.
Apakah rumusan umumnya? Hendakkan rusa sebenar, berburulah di hutan belantara. Jika tetap rasa 'selesa' dan 'cukup' untuk berburu di padang, maka hasilnya cuma sekadar belalang rusa. Maka, ikhtiar yang bersungguh-sungguh sewajarnya mendahului hasil yang bakal diterima.
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.
'Berguru kepalang ajar' dikonotasikan sebagai 'belajar sekadar alang-alang atau main-main'. Erti kata lain, 'sambil lewa', 'tidak bersungguh-sungguh', 'sekadar cukup makan' dan lebih parah lagi mungkin 'bodoh sombong' serta 'merasakan diri sudah cukup pandai atau hebat, maka liat berusaha untuk menambahkan ilmu di dada'.
'Bunga kembang tak jadi' pula dilambangkan sebagai sesuatu yang 'indah dan bermakna' tetapi telah hilang nilai/kualitinya disebabkan gagal berkembang dengan baik.
Sinikalnya, keadaan ini menggambarkan bahawa jika kita hanya berguru atau menuntut sesuatu ilmu itu sekadar untuk suka-suka, belajar sekadar main-main, atau dalam konteks situasi kini (tatkala semua pasukan bahas sekolah bersiap-sedia menghadapi pelbagai siri pertandingan bahas), masih culas untuk mencari ilmu baru bagi memperbaiki diri, maka bersedialah untuk menghadapi kegagalan dan kekalahan.
Ada juga yang merasakan sudah lengkap segala pengetahuan tentang bahas, memandang enteng tentang usaha membina pasukan sedari awal, mengikut panduan yang salah - sesat lagi menyesatkan (tidak menepati format & konsep pertandingan), tidak komited terhadap sesi latihan serta seribu satu lagi keadaan 'berguru kepalang ajar', maka sayang seribu kali sayang, pasti 'bunganya akan gagal untuk berkembang' - potensi sebenar tidak ditunjukkan, menerjah medan perdebatan tanpa persediaan, pasti berakhir dengan kekalahan!
Akhir kata, jika inginkan ilmu berguna dan pengalaman berharga, janganlah berguru kepalang ajar sahaja. Dan lebih penting lagi, bergurulah dengan mereka yang arif. Nescaya, anda mampu kembang membunga harum semerbak, indah dipandang lagi mendamaikan jiwa.
No comments:
Post a Comment