Halaman

Thursday, December 27, 2012

Perancangan Aktiviti Koakademik Bahasa Melayu

Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen (KPM)
Piala Pusingan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Peringkat Zon : Khamis, 28 Februari 2013
a) SMK Seksyen 19 - Tuan Rumah Zon Shah Alam A
b) SMK Subang Bestari - Tuan Rumah Zon Shah Alam B
c) SMK USJ 8, Subang Jaya - Tuan Rumah Zon Subang Jaya
d) SMK Puchong Batu 14 - Tuan Rumah Zon Puchong/Serdang

Peringkat Daerah : Khamis, 7 Mac 2013
SMK Seri Serdang - Tuan Rumah Peringkat Daerah Petaling Perdana

Peringkat Negeri : Selasa & Rabu, 19 & 20 Mac 2013
Hulu Langat - Tuan Rumah Peringkat Negeri Selangor

Peringkat Kebangsaan : Isnin - Khamis, 8 - 11 April 2013
Wilayah Persekutuan Labuan -Tuan Rumah Peringkat Kebangsaan

Pertandingan Pidato Piala DiRaja (KPM)

Peringkat Zon : Khamis, 4 April 2013
a) SMK Alam Megah - Tuan Rumah Zon Shah Alam A
b) SMK Subang - Tuan Rumah Zon Shah Alam B
c) SMK Subang Utama - Tuan Rumah Zon Subang Jaya
d) SMK Pusat Bandar Puchong 1 - Tuan Rumah Zon Puchong/Serdang

Peringkat Daerah : Khamis, 18 April 2013
SMK Puchong Batu 8 - Tuan Rumah Peringkat Daerah Petaling Perdana

Peringkat Negeri : Selasa, 11 Jun 2013
Hulu Selangor - Tuan Rumah Peringkat Negeri Selangor

Peringkat Kebangsaan : Ahad - Rabu, 8 - 11 September 2013
Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya - Peringkat Kebangsaan

Pertandingan Debat Perpaduan IPG Malaysia
Piala Pusingan Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia
akan ditentukan kemudian - Tuan Rumah Peringkat Kebangsaan
26 - 30 April 2013 (tarikh jangkaan)

Pertandingan Bahas Bahasa Melayu HKSBP Kali ke-40
Sekolah Menengah Sains Selangor - Tuan Rumah Kebangsaan
23 - 27 Mei 2013 (tarikh jangkaan)

Pertandingan Debat Piala Koperasi Seri Serdang
Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Serdang, Selangor
6 - 8 Julai 2013

Pertandingan Pidato Kefahaman Islam Piala Pengarah IPGKPI
Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Bangi
30 - 31 Ogos 2013 (tarikh jangkaan)

Pertandingan Debat & Pidato Piala Pengurus Besar Yayasan S'gor
Asrama Yayasan Selangor Klang, Selangor
13 - 16 September 2013 (tarikh jangkaan)

Thursday, November 8, 2012

Bengkel Bahas & Pidato Bahasa Melayu Sekolah-Sekolah Kluster Kecemerlangan Negeri Pahang Tahun 2012

Tarikh   : 29 dan 30 Oktober 2012
Hari      : Isnin dan Selasa
Tempat : Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kuantan

Penyertaan :
Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kuantan (INTEK)
Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan (SEMSAS)
Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan (SHAH PEKAN)
Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib, Kuantan (SMART)
Sekolah Menengah Kebangsaan Ahmad, Pekan
Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rangin, Kuantan



Friday, November 2, 2012

Johan Pertandingan Pidato Sekolah Rendah Karnival Anugerah Seri Asrama Terbilang 2012 Peringkat Negeri Sarawak - Teks Pidato



[Dimohon agar sesiapa sahaja yang berminat mengekstrak teks pidato atau bahan-bahan lain dari blog ini untuk memohon keizinan terlebih dahulu daripada penulis. Sila perkenalkan diri selengkapnya dengan memaparkan nama penuh & nama institusi dan bukannya hanya nama timangan atau pengenalan diri yang samar. Hormatilah hakcipta dan integriti keilmuan. Terima kasih.]


ILMU PELITA HIDUP

Bismillahirrahmannirrahim,
Terima kasih peneraju acara, panel juri teguh saksama dan seluruh warga dewan berkarisma. Assalamualaikum dan salam ceria buat semua.

Hayatilah, sebuah pidato cetusan minda kurniaan Allah.. ILMU PELITA HIDUP.

Hadirin sekalian,
ILMU sebagai PELITA HIDUP bolehlah ditakrifkan sebagai prakarsa membudayakan pemahaman teori dan praktikaliti dalam segenap aspek kehidupan kerana diyakini ilmu mampu menghijrahkan manusia dari gelita kejahilan kepada cahaya kebenaran.

Maka, marilah sama-sama kita menilai potensi ilmu dalam menerangi kehidupan manusia.

Hadirin sekalian,
Hayatilah pragmatik pertama, pembudayaan ilmu meningkatkan darjat manusia.

Kita sedar bahawa ilmu manusia cuma setitis berbanding ilmu Tuhan yang selautan. Namun bezanya darjat manusia, apabila berilmu pasti dipandang mulia.

Menyedari hakikat ini, maka Falsafah Pendidikan Kebangsaan memacu pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang memfokuskan kepada usaha membangunkan modal insan berilmu menerusi proses pendidikan berkualiti.

Natijahnya, menurut laporan agensi Program Pembangunan PBB (UNDP) 2011, kadar literasi rakyat kita mencecah 92.7%, kadar pengangguran menurun 3.1% dan indeks kebolehpasaran graduan pula mencatatkan 88.4%. Angka-angka kejayaan ini membuktikan bahawa dengan menguasai ilmu berguna, untung nasib rakyat dapat dibela sekaligus taraf hidup mereka mampu dijana.

Hadirin sekalian,
Pragmatik kedua, penerokaan ilmu mampu menjana minda bangsa.

Dek kerana budaya ilmulah, rakyat Jepun tidak pernah malu menggunakan kaedah Kanji dan Katagana, maka kita juga mampu melakar kejayaan negara dengan mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa wasilah ilmu.

Bahkan, kerajaan turut berkobar-kobar memperkasakan gerakan budaya membaca. Hasilnya, peningkatan purata 6 buah buku setahun dalam Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 2008-2011 membuktikan bahawa kita yakin bangsa Malaysia akan berjaya sekiranya ilmu dikongsi bersama, bertitik-tolak dari budaya membaca. Benarlah bahawa, nadi ilmu amalan membaca yang membuka minda bangsa.

Hadirin sekalian,
Pragmatik ketiga, pembudayaan ilmu memantapkan kemandirian bangsa.

Hikayat Melayu pernah menukilkan kepintaran Tun Perak menangkis serangan Siam ke atas Melaka dan kecerdikan Hang Nadim menyelamatkan Singapura dari serangan todak. Bukti jelas bahawa kemandirian sesebuah bangsa banyak bergantung kepada kebijaksanaan golongan ilmuannya.

Lantaran itulah, sistem pendidikan kita kini ditransformasikan. Namakan sahaja, dari pelancaran program i-Think dan Permata Pintar; pemerkasaan pendidikan teknikal dan vokasional; sehinggalah program Brain Gain di peringkat IPT, semuanya bertujuan untuk melahirkan golongan ilmuan berpemikiran kritis dan kreatif sekaligus memberi sumbangan bermakna kepada kesejahteraan negara.

Hadirin sekalian,
Pragmatik keempat, ketinggian ilmu cerminan budi dan sahsiah bangsa terpuji.

Ibnu Khaldun dalam tamsilnya al-Muqaddimah menegaskan bahawa al-insan madani bi al-taba’, manusia sentiasa membina tamadun dengan ilmu dan sahsiahnya. Bahkan pepatah Melayu turut menggesa agar kita mengikut resmi padi, semakin berisi, semakin tunduk.

Lantaran itulah, modal insan berilmu dan berakhlak kini bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan. Menerusi sistem pendidikan, subjek Sivik dan Kewarganegaraan kita perkasakan, pendidikan agama dan moral kita mantapkan bahkan kempen budi bahasa kita jayakan. Hal ini kerana kita sedar bahawa apalah gunanya ketinggian akal fikir manusia tanpa keluhuran budi bahasa.

Maka hadirin sekalian, bangunlah, siapapun diri anda. Hanya melalui pembudayaan ilmu dalam kehidupan seharian, kita mampu meningkatkan martabat diri, keluarga, masyarakat dan negara. Sesungguhnya benarlah kalam pencipta, kalimah iqra’ menyemarakkan budaya ilmu lantaran ilmu adalah cahaya, pelita hidup manusia. Yakinilah bahawa, ILMU itu PELITA HIDUP.


Disediakan oleh : Ustaz Nazmi b. Jaafar & En. Harmi b. Mohd Jamil
Disampaikan oleh : Sdr. Izan Hakimi (SK Abang Leman, Kabong)
Johan Pertandingan Pidato Sekolah Rendah 
Karnival Anugerah Seri Asrama Terbilang 2012
Peringkat Negeri Sarawak 

Nota: Tahniah kepada adik Izan Hakimi atas kejayaan cemerlang memperoleh keputusan 5A dalam UPSR 2012 yang diumumkan baru-baru ini. Semoga terus sukses!

Saturday, October 27, 2012

Johan Pertandingan Pidato Piala Diraja Kali Ke-28 Peringkat Kebangsaan Tahun 2012 - Teks Pidato





MENTALITI KELAS PERTAMA TONGGAK KEJAYAAN 1MALAYSIA

[Dimohon agar sesiapa sahaja yang berminat mengekstrak teks pidato atau bahan-bahan lain dari blog ini untuk memohon keizinan terlebih dahulu daripada penulis. Sila perkenalkan diri selengkapnya dengan memaparkan nama penuh & nama institusi dan bukannya hanya nama timangan atau pengenalan diri yang samar. Hormatilah hakcipta dan integriti keilmuan. Terima kasih.]


Bismillahirrahmannirrahim,
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Terima kasih peneraju acara, dif-dif kehormat berkarisma, panel juri teguh saksama dan seluruh warga dewan berbahagia. Salam 1Malaysia.

Sungguh hairan, melihat setiap hari orang menyisir rambutnya tetapi tidak pernah menyisir otaknya, memperkemas dadanya tetapi tidak pernah menyucikan hatinya, menggilap kasutnya tetapi tidak akalnya. Walhal, kejayaan sesuatu perkara itu bukanlah bergantung kepada penampilan zahir semata-mata tetapi juga ketinggian pemikirannya. Atas pedoman yang sama, percayalah bahawa Mentaliti Kelas Pertama Tonggak Kejayaan 1Malaysia.

Sesungguhnya, mentaliti kelas pertama bolehlah ditakrifkan sebagai anjakan paradigma pemikiran manusia yang tinggi akal budinya, cemerlang gaya hidupnya dan teguh nilai moralnya sehingga mampu menghijrahkan dirinya daripada gelita kemunduran kepada cahaya kemajuan. 
Maka, prakarsa merakyatkan mentaliti kelas pertama diyakini mampu mengharmonikan perpaduan disulami penghayatan terhadap prinsip penerimaan, kenegaraan dan keadilan demi menjayakan gagasan 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.
Persoalannya, bagaimanakah kita dapat menjadikan mentaliti kelas pertama sebagai tonggak kejayaan 1Malaysia?

Maka, hayatilah cetusan minda kurniaan Allah, pragmatik pertama;
Budaya Ilmu Disemai, Insan Berkualiti Dicanai.

Hadirin sekalian,
Kita sedar bahawa kalimah iqra’, kalam Pencipta mentamsilkan ilmu sebagai cahaya, pelita hidup manusia. Dengan menguasai ilmu berguna, mentaliti kita tidak akan terkongkong bagai katak di bawah tempurung sebaliknya mampu melihat dunia dengan pandangan mata burung.  
Lantaran itulah, transformasi ke arah pendidikan global yang kita laksanakan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 banyak mengubah persepsi dan mentaliti rakyat kita dalam membudayakan ilmu. Akses kepada pembelajaran sepanjang hayat kita sediakan, gerakan membaca kita perkasakan, program i-Think dan Permata Negara kita arusperdanakan, kemahiran dwibahasa kita tekankan, penguasaan ICT kita utamakan, semuanya atas nama pendemokrasian pendidikan demi melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang kita impikan. 
Hakikatnya, Laporan Daya Saing Global 2012, Forum Ekonomi Dunia meletakkan kualiti pendidikan kita di tangga ke-14 daripada 142 buah negara dengan kadar literasi 95.7% dan indeks kebolehpasaran graduan 88.4%. Angka-angka kejayaan ini membuktikan bahawa dengan keterbukaan minda rakyat menguasai ilmu berguna, terbentuklah mentaliti kelas pertama menunjangi keadilan sosial teras gagasan 1Malaysia.
Hadirin sekalian, pragmatik kedua; Budaya Inovasi Dijulang, Mentaliti Rakyat Cemerlang,
Dalam melakar kejayaan 1Malaysia, warga Jepun dan Korea Selatan menjadi idola berteraskan inovasi dalam aspek pengurusan masa, disiplin diri dan etika kerja, lambang mentaliti kelas pertama mereka. 
Lantaran itulah, pelbagai inovasi telah kita perkenalkan. Menerusi Program Transformasi Ekonomi misalnya, inovasi keusahawanan mampu menganjakkan pemikiran rakyat – daripada mentaliti pengguna kepada budaya pencipta dan daripada mentaliti subsidi kepada semangat berdikari, sekaligus memungkinkan rezeki secupak boleh menjadi segantang asalkan kita bijak merebut peluang. Dalam Program Transformasi Kerajaan pula, kualiti perkhidmatan awam sentiasa ditingkatkan selaras dengan indeks pencapaian utama dan bidang keberhasilan utama negara. 
Hasilnya kini, permit pembantu rumah dapat diuruskan dalam tempoh hanya 3 hari, pendaftaran perniagaan baru pula kurang 6 jam, bahkan MyKad boleh siap diproses dalam tempoh 1 jam. Bukankah inovasi budaya kerja cemerlang sebegini mendahulukan kepentingan rakyat dan mengutamakan kualiti pencapaian? Hakikatnya jelas, mentaliti rakyat yang inovatif inilah yang mampu menunjangi kejayaan 1Malaysia kelak.
Hadirin sekalian, pragmatik ketiga; Nilai-Nilai Murni Dihayati, Kesejahteraan Negara Dinikmati.
Pujangga Melayu selalu berpesan;
Tegak rumah kerana sendi, runtuh sendi rumah binasa,
Tegak bangsa kerana budi, runtuh budi runtuhlah bangsa.
Dalam kita mengejar mentaliti kelas pertama, nilai-nilai murni adalah pelengkapnya ibarat isi dengan kuku, irama dengan lagu, cinta dengan rindu. 

Maka, demi mengubah mentaliti masyarakat 1Malaysia agar menjiwai nilai-nilai murni, subjek Sivik dan Kewarganegaraan kita mantapkan, kempen budi bahasa kita jayakan, budaya integriti kita amalkan bahkan pembinaan sahsiah kita pergiatkan, semuanya atas kesedaran bahawa apalah gunanya ketinggian akal fikir manusia tanpa keluhuran budi bahasa. 

Tatkala indeks jenayah seluruh negara dilaporkan menurun 11.1% dan indeks keamanan global meletakkan Malaysia di tangga ke-20 paling aman daripada 158 buah negara, apakah yang memungkinkan semua ini berlaku? Pastinya nilai kesefahaman dan prinsip penerimaan menyuburkan mentaliti kelas pertama yang memacu perpaduan bangsa dan kemakmuran negara ke arah kejayaan 1Malaysia.


Ya, hadirin sekalian. Secara tuntasnya, prakarsa membentuk mentaliti kelas pertama menuntut kepada pembudayaan ilmu yang berguna, aplikasi inovasi yang bermakna dan penghayatan nilai-nilai murni sepanjang masa. Apabila kesemua ramuan ini mampu kita adun bersama-sama, maka transformasi minda rakyat dapat kita jana sekaligus menjayakan hasrat pembinaan citra gagasan 1Malaysia. Benarlah bahawa “Mentaliti Kelas Pertama Tonggak Kejayaan 1Malaysia”.

Teks disediakan oleh : En. Harmi bin Mohammad Jamil
Disampaikan oleh : Sdr. Muhammad Misykat bin Abdul Rahman 
Johan Pertandingan Pidato Piala Diraja Kali Ke-28, 
Peringkat Kebangsaan Tahun 2012

Thursday, October 25, 2012

Johan Pertandingan Pidato Piala Diraja 1983-2012

1983
JASLAN BIN MAZLAN
SM Khir Johari, Tanjung Malim, Perak

NOORIN BINTI BAHARUDIN
SM Convent Taiping, Perak

1984
HUD ENGKEH
SMK Simanggang, Sri Aman, Sarawak

ALBARIAH MUSTAFA
SMK Simanggang, Sri Aman, Sarawak

1985
AZHAR BIN AHMAD
SM Dato' Haji Talib Karim, Alor Gajah, Melaka

AMALIA HAZREENA BINTI HAMIDON
Kolej Tunku Khursiah, Seremban, Negeri Sembilan

1986
SUHAIMI BIN ZAMAN
SM Tun Seri Lanang, Muar, Johor

SHARIFAH KHODZIJAH HUSSIN
SM Raja Perempuan, Ipoh, Perak

1987
KHAIRIL ANAS BIN JUSOH
Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur

SALINA BINTI AHMAD SOFIAN
SM Ibrahim Fikri, Kuala Terengganu, Terengganu

1988
KHAIRIL ANAS BIN JUSOH
Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur

ANITA PRIMUS
Sekolah Berasrama Penuh Kota Kinabalu, Sabah

1989
AHMAD KAMARUL BIN HAMIDI
Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh, Perak

RAHMAH BINTI OTHMAN
Sekolah Berasrama Penuh Johor Bahru, Johor

1990
MUHAMMAD FUAD BIN OTHMAN
SM Agama Persekutuan Labu, Negeri Sembilan

SUZIANA BINTI MAT SAAD
Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang, Selangor

1991
NAZRI BIN MOHAMMAD
Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu, Kelantan

AINUL PAFIDZA BINTI IBRAHIM
SM Sains Tun Syed Sheh Shahabudin, Bukit Mertajam, Pulau Pinang

1992
WAN AZENAL HUSSAIN BIN M. AZAM
Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur

JEMAAH BINTI SIDEK
Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang, Selangor

1993
MUHAMMAD HASRUL ZAHARIAH
SM Agama Sultan Muhammad, Melaka

NIK HAFIZA @ NIK HASNAH BINTI HAJI NIK SOH
SM Agama Maahad Hamidiah, Kajang, Selangor

1994
HAMZAH BIN HUSSIN
SM Tinggi Bukit Mertajam, Pulau Pinang

HARISSA HUSSAINY BINTI HASBULLAH
Sekolah Seri Puteri, Kuala Lumpur

1995
SHAMSUL HIDAYAT BIN MOHD SHARIF
SM Sains Tun Syed Sheh Shahabudin, Bukit Mertajam, Pulau Pinang

1996
FATHIL HIDAYAT BIN GHAZALI
Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Kedah

NOR AZZURA AZIZUL BINTI AZMAN
SRK Kampung Cheras Baru, Kuala Lumpur

1997
FARHANA HUSSAINY BINTI HASBULLAH
Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, Negeri Sembilan

AHMAD SHAFIE BIN JAMERAN
SK Dato' Manan, Tanjong Karang, Selangor

1998
AHMAD AZIZI BIN AHMAD KAMIL
Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak

MOHD HAFIZI BIN TAJUDDIN
SK Kemendor, Jasin, Melaka

1999
MUHD RAMADHAN FITRI BIN ALIAS
SMK Agama Al-Mashoor (L), Pulau Pinang

SITI KAMALIAH BINTI HAJI WAHBI
SK Agama Majlis Islam Sarawak, Sri Aman, Sarawak

2000
NURHAZLIN BINTI MAT MUSAK
Sekolah Seri Puteri, Kuala Lumpur

SYED NABIL BIN SYED ZULKIFLEE
SK Taman Uda, Alor Setar, Kedah

2001
SAIFUL ADNI BIN ABD LATIF
Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan, Pahang

RAMLAN ALWI BIN MAHMUD
SK Kamunting, Taiping, Perak

2002
MOHD KHALIZ ARIFFIN
Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang, Selangor

NUR ZULAIKA CHE YANG SHAZZALLIE
SK Desa Tun Hussein Onn, Keramat, Kuala Lumpur

2003
AHMAD SHAFEI BIN JAMERAN
Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang, Selangor

NIK ATIKAH BINTI NIK MUSTAFFA SAPRI
SK Seri Suria (3), Tanah Merah, Kelantan

2004
MUHAMMAD ZA'IM BIN MOHD YUSOFF
Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak

AHMAD MUJAHID BIN MASJUKI
SK Klang Gate, Kuala Lumpur

2005
NUR AMALINA BINTI MOHD NASSER
SMK Derma, Kangar, Perlis

NUR ADILLA BINTI ABD. RAHIM
SK Sg. Dua, Butterworth, Pulau Pinang

2006
WAN MUHD ASRAFF BIN WAN JEFFERY
SM Sains Kuala Terengganu, Terengganu

FARAH SYAZWANI BINTI MAT JUSOH
SK Seri Ketereh, Terengganu

2007
ARIF AZALI BIN AZMAN
Maktab Tentera Diraja, Kuala Lumpur

AMIRA AISYA BINTI ABD. AZIZ
SK (P) Sultan Ibrahim, Johor Bahru, Johor

2008
ARIF AZALI BIN AZMAN
Maktab Tentera Diraja, Kuala Lumpur

AIREENA YASMIN BINTI ADELI
SK Sungai Binjai, Selangor

2009
NUR ADILLA BINTI ABD RAHIM
SMK Agama Al-Irsyad, Pulau Pinang

NUR AQILAH BINTI ABD RAHIM
SK Sg. Dua, Butterwoth, Pulau Pinang

2010 - Tiada Penganjuran Pertandingan

2011 - Tiada Penganjuran Pertandingan

2012
MUHAMMAD MISYKAT BIN ABDUL RAHMAN
SMK Subang Utama, Subang Jaya, Selangor

NURUL AIN IZZATI BINTI HAMADE
SK Putrajaya Presint 11(1), Wilayah Persekutuan Putrajaya


Pertandingan Akhir Pidato Piala DiRaja Kali Ke-28 Peringkat Kebangsaan Tahun 2012 - Keputusan Rasmi









Kategori Sekolah Menengah

Johan
Muhammad Misykat bin Abdul Rahman
SMK Subang Utama, Selangor Darul Ehsan

Naib Johan
Muhammad Aqil Arrasyid bin Rozikin
Maktab Tentera Diraja, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Ketiga
Nur Akmal Syazwani binti Khir
SMKA Nurul Ittifaq, Terengganu Darul Iman


Kategori Sekolah Rendah

Johan
Nurul Ain Izzati bt. Hamade
SK Putrajaya Presint 11(1), Wilayah Persekutuan Putrajaya

Naib Johan
Asma Hanan bt. Azeman
SK Seri Ketereh, Kelantan Darul Naim

Ketiga
Mimi Maisarah bt. Noor Hafizan
SK Bayan Lepas, Pulau Pinang


Senarai Panel Hakim Pertandingan Akhir

Dato' Haji Termuzi bin Haji Abdul Aziz (KETUA HAKIM)
Mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa & Pustaka Malaysia

Dato' Zaini bin Hassan
Penolong Ketua Pengarang,
Utusan Malaysia Sdn. Bhd.

Prof. Madya Dr. Zaitul Azma Zainon binti Hamzah
Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden & Komunikasi
Universiti Putra Malaysia

Dr. Haji Ali bin Mahmood
Timbalan Pengarah
Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu

Tuan Haji Abu Bakar bin Surin
Pengarah Urusan
Perusahaan E-Guru Sdn. Bhd.


Senarai Penuh Peserta Pidato Peringkat Kebangsaan 2012

Perlis

Mohd Faizul bin Darus
SM Sains Tuanku Syed Putra

Muhammad Harith Imtiaz bin Mohd Nizam
SK IPGM, Kangar


Kedah

Farah Hanim bt. Mohd Nazri
SM Sains Pokok Sena

Fahda Syazween bt. Fazul Anuar
SK Convent Father Barre


Pulau Pinang

Muhammad Zaid Nafis bin Zainuddin
SMK Pokok Sena

Mimi Maisarah binti Noor Hafizan
SK Bayan Lepas


Perak

Muhammad Syazil bin Abd Rahim
SMK Taman Tasik

Noor Adibah bt. Ismail
SK Methodist Parit Buntar


Selangor

Muhammad Misykat bin Abdul Rahman
SMK Subang Utama

Siti Nur Azeera bt. Sulaiman
SK Klang Gate, Gombak


Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Muhammad Aqil Arrasyid bin Rozikin
Maktab Tentera Diraja

Farisha Edryza bt. Mohd Rozaini
SK Convent Sentul (1)


Wilayah Persekutuan Putrajaya

Wan Muhammad Hanif bin Wan Hamid
SM Sultan Alam Shah

Nurul Ain Izzati bt. Hamade
SK Putrajaya Presint 11(1)


Negeri Sembilan

Ahmad Ridzuwan bin Zurudi
SMK King George V

Muhammad Alif Haikal bin Mohd Fadzly
SK Taman Tuanku Jaafar 2


Melaka

Muhammad Faizzudin bin Rosli
SMA Darul Falah

Nordini Hanani bt. Ahmad Sazali
SK Jalan Datuk Palembang


Johor

Saidatul Nurhaziqah bt. Abd Halil
SMK Taman Nusa Damai, Pasir Gudang

Muhammad Nursyahifee bin Mohd Khambali
SK Dato' Syed Zain Alshahab


Pahang

Marzumi bin Mukhtar
SM Sains Sultan Hj. Ahmad Shah, Pekan

Noorielyana binti Mohd Nor
SK Bandar Pusat Jengka


Terengganu

Nur Akmal Syazwani bt. Khir
SMKA Nurul Ittifaq, Besut

Ramona binti Muhamad
SK Bukit Anak Dara, Kemaman


Kelantan

Jusrizal Azeem bin Kamaludin
SMK Pengkalan Chepa (2), Kota Bharu

Asma Hanan binti Azeman
SK Seri Ketereh, Kota Bharu


Sabah

Siti Suraya binti Sani
SMK Agama Kota Kinabalu

Siti Alidia Hadjiril binti Adnan
SK Bahagia, Tawau


Sarawak

Dorrithy Donald
SMK Bakong, Miri

Adlina binti Sabeni
SK Abang Abdul Rahman, Saratok


Wilayah Persekutuan Labuan

Erica Jane Leonold
SM St. Anne

Nurul Syafiqah binti Pailin
SK Tanjung Aru

Rujukan : http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20121025/pe_02/Misykat-Nurul-juara-pidato 

Saturday, October 20, 2012

Pertandingan Pidato Piala Diraja Ke-28 Peringkat Kebangsaan Tahun 2012 - Tentatif Program

Ahad, 21 Oktober 2012

2.00 petang : Pendaftaran Penginapan di Hotel Empress Sepang

8.30 malam : Taklimat untuk peserta, guru pengiring dan hakim


Isnin, 22 Oktober 2012

8.00 pagi : Pertandingan Separuh Akhir (Sekolah Rendah & Sekolah Menengah)

3.00 petang : Keputusan Pertandingan

8.30 malam : Latihan Pertandingan Akhir


Selasa, 23 Oktober 2012

8.00 pagi : Raptai di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya

2.00 petang : Lawatan di sekitar Putrajaya


Rabu, 24 Oktober 2012

8.00 pagi : Pertandingan Akhir (Sekolah Rendah & Sekolah Menengah)

12.00 tengah hari : Majlis Perasmian Penutupan & Penyampaian Hadiah

1.30 petang : Makan Tengah Hari & Bersurai

Monday, October 15, 2012

Pertandingan Pidato Piala Diraja Kali Ke-28 Peringkat Kebangsaan Tahun 2012

Tarikh : 21 hingga 24 Oktober 2012
Tempat : Hotel Empress Sepang (Pertandingan Awal)
              Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (Pertandingan Akhir)


Undian Tajuk Pidato (Kategori Sekolah Menengah)

MENTALITI KELAS PERTAMA TONGGAK KEJAYAAN 1MALAYSIA

Johor (2)
Selangor (13)
Kelantan (9)

PENDIDIKAN KE ARAH MEMPERKASA GAGASAN 1MALAYSIA

Pahang (5)
Perak (11)
WP Putrajaya (16)

MEMBINA NEGARA BANGSA DALAM MEMARTABATKAN BAHASA DAN BUDAYA

Negeri Sembilan (3)
Sabah (1)
Terengganu (12)
WP Labuan (8)

1MALAYSIA PENJANA KEUNGGULAN EKONOMI NEGARA

WP Kuala Lumpur (15)
Melaka (10)
Sarawak (7)

BAHASA KEBANGSAAN JATI DIRI 1MALAYSIA

Pulau Pinang (14)
Kedah (4)
Perlis (6)


Undian Tajuk Pidato (Kategori Sekolah Rendah)

NILAI-NILAI MURNI PENDUKUNG GAGASAN 1MALAYSIA

Negeri Sembilan (5)
Kedah (9)
Melaka (4)

PERPADUAN MELALUI KOKURIKULUM

WP Putrajaya (16)
Kelantan (12)
Johor (11)

GAYA HIDUP SIHAT PEMANGKIN KELUARGA BAHAGIA

Pahang/Terengganu (3)
Selangor (14)
Sarawak (1)

SATU BAHASA MENDAULATKAN NEGARA

Sabah (2)
WP Labuan (13)
Perlis (7)
WP Kuala Lumpur (15)

KECEMERLANGAN KOKURIKULUM JAMINAN MASA DEPAN MURID

Perak (6)
Pahang/Terengganu (10)
Pulau Pinang (8)

(  ) = Giliran pemidato

Tuesday, September 18, 2012

Pertandingan Debat Ala Parlimen Yayasan Selangor 2012 - Keputusan

Pertandingan Separuh Akhir
Sek. Men. Agama Persekutuan Kajang lwn Kolej Islam Sultan Alam Shah
Pemenang : Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang

Sekolah Tuanku Abdul Rahman lwn Malay College Kuala Kangsar
Pemenang : Sekolah Tuanku Abdul Rahman


Pertandingan Akhir

Usul : Penghayatan Kemerdekaan Semakin Pudar
Kerajaan : Kolej Islam Sultan Alam Shah
Pembangkang : Sekolah Tuanku Abdul Rahman

Keputusan : Juri 6-1, Margin 2.67, Usul Ditolak.

Johan : Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh
Naib Johan : Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang
Pendebat Terbaik : Dinie Zhafri (STAR Ipoh)

Thursday, September 13, 2012

Pertandingan Bahas Piala Ketua Menteri Sarawak 2012


KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menyaran pihak sekolah menggunakan sambutan Sarawak Merdeka Dalam Malaysia Ke-50 pada tahun depan sebagai platform memberi pendedahan kepada pelajar tentang nilai sejarah.


Beliau berkata, usaha tersebut penting untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan pelajar sekali gus menghargai pengorbanan generasi lepas yang membawa kemakmuran kepada negeri ini sekarang. Menurutnya, pada masa sekarang, ada dalam kalangan generasi muda tidak memahami makna kemerdekaan menyebabkan mereka sanggup melakukan perkara terkutuk termasuk membakar bendera atau memijak potret pemimpin.


“Pihak sekolah harus menggunakan perayaan ini sebagai platform untuk mendedahkan dan menanam semangat patriotik dalam kalangan pelajar. Usaha ini agar generasi muda tidak leka di sebalik kemajuan yang kita capai pada masa sekarang,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pertandingan Akhir Bahas Piala Ketua Menteri Sarawak 2012 di sini, semalam. Hadir sama isteri Ketua Menteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar dan Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.


Taib menjelaskan, pelbagai program boleh dianjurkan pihak sekolah untuk meningkatkan kesedaran pelajar terhadap nilai sejarah. “Kita perlu anjurkan program menyeronokkan seperti pertandingan untuk menarik minat pelajar menyertainya,” ujarnya. 

Beliau turut melahirkan rasa bangga kerana masyarakat berbilang kaum di negeri ini mampu menguasai bahasa Melayu. “Ini boleh kita lihat daripada kemampuan peserta bahas yang mampu menguasai bahasa Melayu dengan fasih. “Kemampuan ini merupakan tonggak utama dalam mengukuhkan perpaduan yang dipertahankan sejak sekian lama,” jelasnya.


Menurutnya lagi, penganjuran pertandingan bahas tersebut yang memasuki edisi ke-26 turut memainkan peranan positif ke arah memartabatkan penggunaan bahasa Melayu.

Sementara itu, Sekolah Menengah Sains Miri muncul pemenang Pertandingan Akhir Bahas Piala Ketua Menteri Sarawak 2012 menewaskan Sekolah Menengah Kebangsaan Baleh, Kapit.


Dengan kemenangan tersebut, Sekolah Menengah Sains Miri membawa pulang wang tunai RM5,000, piala pusingan, piala iringan, sijil penyertaan dan dua buah komputer riba. Lebih manis lagi apabila pembahas Sekolah Menengah Sains Miri Muhammad Syafiq Safri diumumkan sebagai Pembahas Terbaik pertandingan akhir. Bagi Anugerah Khas Pembahas Terbaik Bukan Bumiputera, Lee Seng Kiat dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kabong diumumkan sebagai pemenang.


Pertandingan Akhir Bahas Piala Ketua Menteri Sarawak 2012
Tarikh : Selasa, 30 Oktober 2012
Tempat : Auditorium Tan Sri P. Ramlee, RTM Kuching

SM Sains Miri lwn SMK Baleh, Kapit
Johan : SM Sains Miri
Naib Johan : SMK Baleh, Kapit 


Johan/Wakil Zon

SMK Kabong : Sri Aman/Betong

SMK Bako : Kuching

SMK Meradong : Sarikei

SMK Bukit Lima : Sibu

SM Sains Miri : Miri

SMK Lundu : Samarahan

SMK Matu : Mukah

SMK Limbang : Limbang

SMK Baleh : Kapit

SMK Asyakirin : Bintulu

Sunday, September 9, 2012

Johan Pertandingan Pidato Piala Diraja KPM Peringkat Negeri Selangor 2012 - Teks Pidato


[Dimohon agar sesiapa sahaja yang berminat mengekstrak teks pidato atau bahan-bahan lain dari blog ini untuk memohon keizinan terlebih dahulu daripada penulis. Sila perkenalkan diri selengkapnya dengan memaparkan nama penuh & nama institusi dan bukannya hanya nama timangan atau pengenalan diri yang samar. Hormatilah hakcipta dan integriti keilmuan. Terima kasih.]
  
PENDIDIKAN CEMERLANG NEGARA TERBILANG
  
Terima kasih peneraju acara, panel juri teguh saksama dan seluruh warga dewan berkarisma. Assalamualaikum dan salam ceria buat semua.
 
Sesungguhnya pendidikan cemerlang ditakrifkan sebagai prakarsa menyuburkan pemahaman teori, praktikaliti dan budaya mengkaji tanpa henti dalam mencanai ketinggian akal budi insan sejati. Proses ini dapat memanusiakan manusia dan mencorakkan peradaban sesebuah bangsa.
 
Maka, untuk menjadikan Malaysia sebuah negara terbilang, pendidikan cemerlang berpandukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dilihat mampu melahirkan masyarakat yang bertamadun demi mencapai wawasan negara maju yang kita impikan.

Persoalannya, bagaimanakah kita dapat merealisasikan pendidikan cemerlang demi membentuk negara terbilang?
 
Maka, hayatilah cetusan minda kurniaan Allah, rempuhan idea pertamaSekolah Cemerlang, Pendidikan Gemilang”.

Menerusi Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, institusi sekolah sentiasa ditambahbaikkan, sekolah kebangsaan diperkasakan, jurang pendidikan dirapatkan, sekolah wawasan diwujudkan, semuanya untuk menyemai budaya kecemerlangan dan semangat perpaduan ke arah 1Malaysia yang kita gagaskan. Dalam era kemodenan, sekolah bestari menjadi pilihan, aplikasi ICT banyak digunakan, malah pedagogi guru mampu ditingkatkan. Bagi menangani golongan pelajar bermasalah, pendekatan kaunseling dibuat secara berhemah, penerapan disiplin membentuk sahsiah, ketrampilan murid kian terserlah, bukti pendemokrasian pendidikan tidak pernah goyah.


Hakikatnya, institusi pendidikan kita terbukti cemerlang apabila Laporan Daya Saing Global 2012, Forum Ekonomi Dunia meletakkan kualiti pendidikan negara di tangga ke-14 daripada 142 buah negara. Malah, transformasi pendidikan telah melonjakkan kecemerlangan apabila 182 buah sekolah kluster berjaya dikenalpasti, 66 buah sekolah pula diiktiraf berprestasi tinggi bahkan 2450 buah sekolah dilihat berpotensi memperbaiki Gred Purata Sekolah sendiri. Sudah terang lagi bersuluh, “Sekolah Gemilang, Pendidikan Cemerlang, Negara Terbilang”.

 
Hadirin sekalian,
Rempuhan idea yang keduaGuru Cemerlang, Pendidikan Gemilang”.

Kecemerlangan sistem pendidikan di Malaysia sebenarnya ditunjangi oleh 5 prinsip utama golongan pendidik kita, iaitu kekuatan intelek, kepimpinan berwibawa, kemurnian akhlak, kesediaan untuk berubah serta kecintaan terhadap profesion keguruan. Lantaran itulah, Standard Guru Malaysia telah dilancarkan, Petunjuk Prestasi Utama Sektor Pendidikan terus diperkasakan, Guru Cemerlang diberi pengiktirafan, Tawaran Baiah Baru turut diberikan, bukan untuk menambah beban atau tekanan, tetapi sebagai dorongan untuk merintis perubahan demi kemajuan dunia pendidikan. Kepimpinan bertauladan turut dijadikan teras utama lebih-lebih lagi dalam pengurusan masa, tanggungjawab bersama, amalan etika dan budaya kerja dalam meningkatkan kualiti pendidikan.
 

Hasilnya kini, bilangan guru dan pengetua cemerlang telah mencecah 8125 orang berbanding 5984 orang pada tahun 2010. Lebih membanggakan lagi, Kajian Indeks Persepsi Murid 2012 mendedahkan bahawa 97.4% murid-murid Malaysia menganggap guru-guru mereka bersifat penyayang, berdedikasi malah menjadi sumber inspirasi. Benarlah nukilan pantun, berburu ke padang datar, dapat rusa belang di kaki, berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi. Terima kasih guru-guru Malaysia dalam menjayakan hasrat Pendidikan Cemerlang, Negara Terbilang.
 
Hadirin sekalian,
Rempuhan idea ketigaPendidikan Cemerlang, Modal Insan Gemilang”.

Sedarkah kita bahawa hari ini gejala sosial bermaharajalela, mat rempit dan bohsia jadi idola, zina pula dianggap biasa, bayi dihumban tanpa kasihan, dipijak ditendang tanpa ihsan, lebih menyedihkan hati, bapa dicaci, ibu dimaki. Jelaslah, dalam dunia moden kini, modal insan bermoral tinggi bukan lagi satu kemewahan tetapi satu keperluan. Maka dalam membentuk ketrampilan modal insan, pendidikan seimbang kita aplikasikan, subjek Sivik dan Kewarganegaraan kita mantapkan, pengisian kokurikulum kita perhebatkan, Dasar 1Murid 1Sukan kita lancarkan, kempen budi bahasa kita jayakan, bahkan disiplin pelajar kita tingkatkan.

Lantaran itulah, sistem pendidikan kita terbukti cemerlang dalam melahirkan individu yang kompetitif dan dinamik bagi mewarisi kepimpinan negara. Sekadar menyebut beberapa contoh, menerusi transformasi pendidikan, kita mampu menghasilkan lebih ramai pelajar pintar seperti Nur Amalina Che Bakri, lebih ramai atlit muda seperti Dato’ Nicol Ann David, lebih ramai tokoh belia seperti Zuraidi Komari, malah lebih ramai idola remaja seperti Imam Muda Asyraf. Hakikatnya jelas, Pendidikan Cemerlang Melahirkan Modal Insan Gemilang Demi Memacu Kejayaan Negara Terbilang.

Ya, hadirin sekalian. Secara kesimpulannya, pendidikan cemerlang menjelaskan kolerasi yang simbiotik antara institusi pendidikan berkualiti, golongan pendidik berdedikasi dan kemenjadian pelajar modal insan berintegriti. Apabila kesemua ramuan ini mampu kita adun bersama, maka pendidikan kita akan menjadi lebih bermakna sekaligus menjayakan hasrat pembinaan citra negara yang berjaya. Benarlah bahawa “Pendidikan Cemerlang Negara Terbilang”.

Teks Pidato
Disediakan oleh : En. Harmi bin Mohammad Jamil
Disampaikan oleh : Sdr. Muhd Misykat Abdul Rahman
Mewakili SMK Subang Utama / Petaling Perdana
Johan Pertandingan Pidato Piala Diraja KPM Peringkat Negeri Selangor 2012

Saturday, September 8, 2012

Pertandingan Debat Ala Parlimen & Pidato Yayasan Selangor 2012 - Senarai Usul Debat & Tajuk Pidato

Senarai Usul Debat

POLITIK

1. Isu Timur Tengah : Bagai Enau Dalam Belukar, Melepaskan Pucuk Masing-Masing
2. Afrika : Mereka Sudah Bersedia
3. Dewan Ini Akan Membubarkan NAM
4. Penggantungan Keahlian Syria Dalam OIC : Satu Kesilapan
5. Janji Ditepati : Sudah Terhantuk Baru Terngadah
6. Kematangan Berpolitik Di Malaysia Kian Pudar
7. 1Malaysia Bukan Sandiwara Politik
8. Pelaksanaan Hukum Hudud : Malaysia Sudah Bersedia
9. Dewan Ini Akan Mengadakan Semula Pilihan Raya Bagi Kerajaan Tempatan

EKONOMI

1. Mata Wang Tunggal Penyelamat ASEAN
2. Krisis Hutang Greece : Ribut Dalam Cawan
3. Barat Semakin Miskin
4. FGVH Tindakan Tepat
5. Liberalisasi Ekonomi Bukan Jawapannya
6. Demi Kelangsungan Pembangunan, Pekerja Asing Diperlukan
7. Dewan Ini Mencadangkan Pemansuhan Monopoli Astro

HUMOR & MANTIK

1. Api Lawannya Air
2. Dunia Sekarang, Pekak Pun Boleh Mendengar
3. Sin Chan Lebih Baik Daripada Doraemon
4. Hitam Tak Semestinya Buruk, Putih Tak Semestinya Cantik
5. Seksi Itu Seksa
6. Bumi Tidak Lagi Bulat

SOSIAL

1. Isu Air Selangor : Sekepal Menjadi Gunung, Setitik Menjadi Laut
2. Statistik Jenayah Malaysia : Indah Khabar Dari Rupa
3. Kepompong Perpaduan Kita Sudah Pecah
4. Jalur Gemilang Tidak Lagi Gemilang
5. Sudah Tiba Masanya Malaysia Menjadikan ICT Sebagai Bidang Keberhasilan Utama Negara
6. Warung Mamak Menceriakan Perpaduan Negara
7. Dewan Ini Akan Mengkaji Semula Pindaan 114A

SUKAN & HIBURAN

1. Rancangan Realiti TV Bukan Medan Bakat
2. Artis Berpolitik Hanya Untuk Glamor
3. Industri Perfileman Malaysia Masih Di Takuk Lama
4. Kita Lebih Suka Mengikut Budaya Hiburan Luar
5. Perlembagaan FAM: Barah Dalam Diam
6. Status Anak Emas Badminton Perlu Ditarik Balik
7. Dewan Ini Percaya Malaysia Perlu Lebih Aktif Melobi Sukan Skuasy Dan Boling Dimasukkan Dalam Sukan Olimpik Demi Emas Pertama Negara

PENDIDIKAN

1. Penggunaan Telefon Bimbit Di Sekolah : Kewajaran Bukan Kesilapan
2. Pendidikan Percuma, Kita Sudah Bersedia
3. Konsep STM Perlu Dimulakan Dari Sekolah
4. Mahasiswa Malaysia Sudah Merdeka
5. Pendidikan Global : Kita Semakin Hampir
6. Kuasa Autonomi Untuk IPTA Lebih Buruk Dari Baiknya
7. Pendidikan Untuk Peperiksaan
8. PBS Perlu Dihentikan
9. Dewan Ini Mencadangkan Sistem Penggiliran Dalam Kemasukan Ke SBP Dan MRSM Demi Keadilan


Senarai Tajuk Pidato

PUSINGAN 1
10 TAJUK – PILIH SATU SAHAJA : 7 minit
Tajuk diberi seminggu sebelum pertandingan.

1. 55 Tahun Merdeka : Bangsa Malaysia Terus Perkasa
2. Generasi Muda Pencetus Ketamadunan Bangsa
3. Yayasan Selangor, Pemangkin Generasi Berilmu
4. Globalisasi Membentuk Belia Kreatif dan Kritis
5. 1Malaysia Pemangkin Status Malaysia Sebagai Sebuah Negara Maju
6. Transformasi Malaysia Pencetus Rakyat Minda Kelas Pertama
7. Malaysia Pelopor Industri Halal Dunia
8. Takkan Sirih Pulang ke Gagang, Budaya Bangsa Terus Dijulang,
9. Media Sosial Pemacu Pembinaan Negara Bangsa
10. Sejarah Tanah Air Pembina Semangat Anak Bangsa

PUSINGAN 2 / SPONTAN
20 TAJUK – PILIH SATU SAHAJA : 2 minit
Tajuk diberi 30 saat sebelum memulakan persembahan.

PUSINGAN AKHIR
5 TAJUK – SATU ORANG SATU TAJUK : 7 minit
Tajuk diberi 1 hari sebelum pertandingan akhir.

Wednesday, August 15, 2012

Pertandingan Debat Ala Parlimen & Pidato Yayasan Selangor Piala Pengurus Besar Yayasan Selangor Kali ke-6, Tahun 2012 - Maklumat Am

Maklumat Pertandingan

Tarikh : 14 - 17 September 2012

Hari : Jumaat, Sabtu, Ahad & Isnin

Tempat : Asrama Yayasan Selangor Klang, Jalan Raya Barat, 41000 Klang.


Maklumat Kategori & Format

Debat Ala Parlimen

1. Pertandingan ini merupakan Debat Ala Parlimen kategori Bahasa Melayu sahaja.

2. Setiap pasukan akan diwakili oleh 4 orang peserta (3 peserta utama & seorang simpanan).

3. Pertandingan akan dijalankan berdasarkan format Debat Ala Parlimen yang mengaplikasikan sistem 'power match' berkumpulan.

4. Melalui sistem ini, setiap pasukan akan berdebat sekurang-kurangnya 5 kali dalam pusingan awal.

5. Pusingan suku akhir, separuh akhir dan akhir akan diadakan secara kalah-mati.


Pidato Umum

1. Pertandingan ini menggunakan format 2 pusingan.

2. Untuk pusingan 1, pemidato akan berucap selama 7 minit.

3. Lima (5) tajuk akan diberikan seminggu sebelum tarikh pertandingan.

4. Pemidato dikehendaki bersiap-sedia untuk kelima-lima tajuk tersebut kerana tajuk akan dicabut undi ketika pertandingan pusingan 1 dijalankan.

5. Untuk pusingan 2, pemidato akan berucap selama 2 minit.

6. Bagi pusingan 2, pemidato akan ditanya oleh hakim tentang isu-isu semasa dan pemidato akan berpidato secara spontan.


Penyertaan

1. Bagi kategori Debat Ala Parlimen, setiap sekolah/asrama dibenarkan untuk menghantar satu pasukan sahaja.

2. Namun sekiranya ingin menghantar lebih daripada satu pasukan, pihak sekolah diminta menghubungi pihak penganjur untuk mengetahui kekosongan penyertaan jika ada.

3. Bagi kategori pidato, setiap sekolah/asrama dibenarkan untuk menghantar seorang peserta sahaja.

4. Namun sekiranya ingin menghantar lebih daripada seorang peserta, pihak sekolah juga perlu menghubungi penganjur untuk mengetahui kekosongan tempat.

5. Pihak sekolah diminta untuk mengesahkan penyertaan dengan mengfakskan borang penyertaan kepada pihak penganjur sebelum 30 Ogos 2012 (Khamis).

6. Penyertaan pertandingan adalah berdasarkan jemputan oleh pihak penganjur sahaja. Difahamkan surat jemputan telah dihantar kepada 35 buah sekolah/asrama untuk tindakan lanjut dan kuota penyertaan bagi pasukan debat adalah terhad kepada 30 buah pasukan terawal sahaja.


Yuran

1. Yuran penyertaan untuk pertandingan ini adalah RM250.00 bagi setiap pasukan debat ala parlimen dan RM100.00 bagi setiap peserta pidato.

2. Bagi guru pengiring, RM70.00 dikenakan untuk setiap guru.

3. Yuran ini termasuklah bayaran penginapan dan makanan sepanjang tempoh pertandingan.

4. Bagi asrama/sekolah yang ingin membawa pemerhati, RM70.00 dikenakan bagi setiap pemerhati.

5. Pembayaran dibuat pada hari pendaftaran secara tunai kepada urus setia pertandingan.


Maklumat Lanjut

Untuk pertanyaan dan maklumat lanjut, bolehlah menghubungi:

Pejabat Asrama Yayasan Selangor Klang : 03-3373 4437

*diekstrak daripada surat jemputan pertandingan.


ATUR CARA PROGRAM

Jumaat, 14 September 2012

09.00pm - 11.30pm : Pendaftaran / Check-In

Sabtu, 15 September 2012

07.30am - 8.30am : Sarapan
08.30am - 10.00am : Taklimat Peserta/Hakim
10.00am - 10.30am : Minum Pagi
10.30am - 12.30pm : Debat Pusingan 1 & Pidato Pusingan 1
12.30pm - 02.00pm : Makan Tengah Hari & Solat Zohor
02.00pm - 04.00pm : Debat Pusingan 2 & Sambungan Pidato Pusingan 1
04.00pm - 05.00pm : Minum Petang & Solat Asar
05.00pm - 07.00pm : Debat Pusingan 3
08.30pm - 10.30pm : Majlis Makan Malam

Ahad, 16 September 2012

07.30am - 8.30am : Sarapan
08.30am - 10.30am : Debat Pusingan 4 & Pidato Pusingan 2
10.30am - 11.00am : Minum Pagi
11.00am - 01.00pm : Debat Pusingan 5 & Sambungan Pidato Pusingan 2
01.00pm - 02.00pm : Makan Tengah Hari & Solat Zohor
02.00pm - 04.00pm : Debat Pusingan 6
04.00pm - 05.00pm : Minum Petang & Solat Asar
05.00pm - 07.00pm : Debat Suku Akhir
07.00pm - : Makan Malam

Isnin, 17 September 2012

07.30am - 8.30am : Sarapan
08.30am - 10.00am : Debat Separuh Akhir
10.00am - 10.30am : Minum Pagi
10.30am - 12.30pm : Pertandingan Akhir Pidato Yayasan Selangor
12.30pm - 02.00pm : Makan Tengah Hari & Solat Zohor
02.00pm - 04.30pm : Pertandingan Akhir Debat Yayasan Selangor
04.30pm - 05.00pm : Minum Petang
05.00pm : Check-Out