Halaman

Tuesday, September 18, 2012

Pertandingan Debat Ala Parlimen Yayasan Selangor 2012 - Keputusan

Pertandingan Separuh Akhir
Sek. Men. Agama Persekutuan Kajang lwn Kolej Islam Sultan Alam Shah
Pemenang : Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang

Sekolah Tuanku Abdul Rahman lwn Malay College Kuala Kangsar
Pemenang : Sekolah Tuanku Abdul Rahman


Pertandingan Akhir

Usul : Penghayatan Kemerdekaan Semakin Pudar
Kerajaan : Kolej Islam Sultan Alam Shah
Pembangkang : Sekolah Tuanku Abdul Rahman

Keputusan : Juri 6-1, Margin 2.67, Usul Ditolak.

Johan : Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh
Naib Johan : Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang
Pendebat Terbaik : Dinie Zhafri (STAR Ipoh)

Thursday, September 13, 2012

Pertandingan Bahas Piala Ketua Menteri Sarawak 2012


KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menyaran pihak sekolah menggunakan sambutan Sarawak Merdeka Dalam Malaysia Ke-50 pada tahun depan sebagai platform memberi pendedahan kepada pelajar tentang nilai sejarah.


Beliau berkata, usaha tersebut penting untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan pelajar sekali gus menghargai pengorbanan generasi lepas yang membawa kemakmuran kepada negeri ini sekarang. Menurutnya, pada masa sekarang, ada dalam kalangan generasi muda tidak memahami makna kemerdekaan menyebabkan mereka sanggup melakukan perkara terkutuk termasuk membakar bendera atau memijak potret pemimpin.


“Pihak sekolah harus menggunakan perayaan ini sebagai platform untuk mendedahkan dan menanam semangat patriotik dalam kalangan pelajar. Usaha ini agar generasi muda tidak leka di sebalik kemajuan yang kita capai pada masa sekarang,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pertandingan Akhir Bahas Piala Ketua Menteri Sarawak 2012 di sini, semalam. Hadir sama isteri Ketua Menteri Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar dan Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.


Taib menjelaskan, pelbagai program boleh dianjurkan pihak sekolah untuk meningkatkan kesedaran pelajar terhadap nilai sejarah. “Kita perlu anjurkan program menyeronokkan seperti pertandingan untuk menarik minat pelajar menyertainya,” ujarnya. 

Beliau turut melahirkan rasa bangga kerana masyarakat berbilang kaum di negeri ini mampu menguasai bahasa Melayu. “Ini boleh kita lihat daripada kemampuan peserta bahas yang mampu menguasai bahasa Melayu dengan fasih. “Kemampuan ini merupakan tonggak utama dalam mengukuhkan perpaduan yang dipertahankan sejak sekian lama,” jelasnya.


Menurutnya lagi, penganjuran pertandingan bahas tersebut yang memasuki edisi ke-26 turut memainkan peranan positif ke arah memartabatkan penggunaan bahasa Melayu.

Sementara itu, Sekolah Menengah Sains Miri muncul pemenang Pertandingan Akhir Bahas Piala Ketua Menteri Sarawak 2012 menewaskan Sekolah Menengah Kebangsaan Baleh, Kapit.


Dengan kemenangan tersebut, Sekolah Menengah Sains Miri membawa pulang wang tunai RM5,000, piala pusingan, piala iringan, sijil penyertaan dan dua buah komputer riba. Lebih manis lagi apabila pembahas Sekolah Menengah Sains Miri Muhammad Syafiq Safri diumumkan sebagai Pembahas Terbaik pertandingan akhir. Bagi Anugerah Khas Pembahas Terbaik Bukan Bumiputera, Lee Seng Kiat dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kabong diumumkan sebagai pemenang.


Pertandingan Akhir Bahas Piala Ketua Menteri Sarawak 2012
Tarikh : Selasa, 30 Oktober 2012
Tempat : Auditorium Tan Sri P. Ramlee, RTM Kuching

SM Sains Miri lwn SMK Baleh, Kapit
Johan : SM Sains Miri
Naib Johan : SMK Baleh, Kapit 


Johan/Wakil Zon

SMK Kabong : Sri Aman/Betong

SMK Bako : Kuching

SMK Meradong : Sarikei

SMK Bukit Lima : Sibu

SM Sains Miri : Miri

SMK Lundu : Samarahan

SMK Matu : Mukah

SMK Limbang : Limbang

SMK Baleh : Kapit

SMK Asyakirin : Bintulu

Sunday, September 9, 2012

Johan Pertandingan Pidato Piala Diraja KPM Peringkat Negeri Selangor 2012 - Teks Pidato


[Dimohon agar sesiapa sahaja yang berminat mengekstrak teks pidato atau bahan-bahan lain dari blog ini untuk memohon keizinan terlebih dahulu daripada penulis. Sila perkenalkan diri selengkapnya dengan memaparkan nama penuh & nama institusi dan bukannya hanya nama timangan atau pengenalan diri yang samar. Hormatilah hakcipta dan integriti keilmuan. Terima kasih.]
  
PENDIDIKAN CEMERLANG NEGARA TERBILANG
  
Terima kasih peneraju acara, panel juri teguh saksama dan seluruh warga dewan berkarisma. Assalamualaikum dan salam ceria buat semua.
 
Sesungguhnya pendidikan cemerlang ditakrifkan sebagai prakarsa menyuburkan pemahaman teori, praktikaliti dan budaya mengkaji tanpa henti dalam mencanai ketinggian akal budi insan sejati. Proses ini dapat memanusiakan manusia dan mencorakkan peradaban sesebuah bangsa.
 
Maka, untuk menjadikan Malaysia sebuah negara terbilang, pendidikan cemerlang berpandukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dilihat mampu melahirkan masyarakat yang bertamadun demi mencapai wawasan negara maju yang kita impikan.

Persoalannya, bagaimanakah kita dapat merealisasikan pendidikan cemerlang demi membentuk negara terbilang?
 
Maka, hayatilah cetusan minda kurniaan Allah, rempuhan idea pertamaSekolah Cemerlang, Pendidikan Gemilang”.

Menerusi Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, institusi sekolah sentiasa ditambahbaikkan, sekolah kebangsaan diperkasakan, jurang pendidikan dirapatkan, sekolah wawasan diwujudkan, semuanya untuk menyemai budaya kecemerlangan dan semangat perpaduan ke arah 1Malaysia yang kita gagaskan. Dalam era kemodenan, sekolah bestari menjadi pilihan, aplikasi ICT banyak digunakan, malah pedagogi guru mampu ditingkatkan. Bagi menangani golongan pelajar bermasalah, pendekatan kaunseling dibuat secara berhemah, penerapan disiplin membentuk sahsiah, ketrampilan murid kian terserlah, bukti pendemokrasian pendidikan tidak pernah goyah.


Hakikatnya, institusi pendidikan kita terbukti cemerlang apabila Laporan Daya Saing Global 2012, Forum Ekonomi Dunia meletakkan kualiti pendidikan negara di tangga ke-14 daripada 142 buah negara. Malah, transformasi pendidikan telah melonjakkan kecemerlangan apabila 182 buah sekolah kluster berjaya dikenalpasti, 66 buah sekolah pula diiktiraf berprestasi tinggi bahkan 2450 buah sekolah dilihat berpotensi memperbaiki Gred Purata Sekolah sendiri. Sudah terang lagi bersuluh, “Sekolah Gemilang, Pendidikan Cemerlang, Negara Terbilang”.

 
Hadirin sekalian,
Rempuhan idea yang keduaGuru Cemerlang, Pendidikan Gemilang”.

Kecemerlangan sistem pendidikan di Malaysia sebenarnya ditunjangi oleh 5 prinsip utama golongan pendidik kita, iaitu kekuatan intelek, kepimpinan berwibawa, kemurnian akhlak, kesediaan untuk berubah serta kecintaan terhadap profesion keguruan. Lantaran itulah, Standard Guru Malaysia telah dilancarkan, Petunjuk Prestasi Utama Sektor Pendidikan terus diperkasakan, Guru Cemerlang diberi pengiktirafan, Tawaran Baiah Baru turut diberikan, bukan untuk menambah beban atau tekanan, tetapi sebagai dorongan untuk merintis perubahan demi kemajuan dunia pendidikan. Kepimpinan bertauladan turut dijadikan teras utama lebih-lebih lagi dalam pengurusan masa, tanggungjawab bersama, amalan etika dan budaya kerja dalam meningkatkan kualiti pendidikan.
 

Hasilnya kini, bilangan guru dan pengetua cemerlang telah mencecah 8125 orang berbanding 5984 orang pada tahun 2010. Lebih membanggakan lagi, Kajian Indeks Persepsi Murid 2012 mendedahkan bahawa 97.4% murid-murid Malaysia menganggap guru-guru mereka bersifat penyayang, berdedikasi malah menjadi sumber inspirasi. Benarlah nukilan pantun, berburu ke padang datar, dapat rusa belang di kaki, berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi. Terima kasih guru-guru Malaysia dalam menjayakan hasrat Pendidikan Cemerlang, Negara Terbilang.
 
Hadirin sekalian,
Rempuhan idea ketigaPendidikan Cemerlang, Modal Insan Gemilang”.

Sedarkah kita bahawa hari ini gejala sosial bermaharajalela, mat rempit dan bohsia jadi idola, zina pula dianggap biasa, bayi dihumban tanpa kasihan, dipijak ditendang tanpa ihsan, lebih menyedihkan hati, bapa dicaci, ibu dimaki. Jelaslah, dalam dunia moden kini, modal insan bermoral tinggi bukan lagi satu kemewahan tetapi satu keperluan. Maka dalam membentuk ketrampilan modal insan, pendidikan seimbang kita aplikasikan, subjek Sivik dan Kewarganegaraan kita mantapkan, pengisian kokurikulum kita perhebatkan, Dasar 1Murid 1Sukan kita lancarkan, kempen budi bahasa kita jayakan, bahkan disiplin pelajar kita tingkatkan.

Lantaran itulah, sistem pendidikan kita terbukti cemerlang dalam melahirkan individu yang kompetitif dan dinamik bagi mewarisi kepimpinan negara. Sekadar menyebut beberapa contoh, menerusi transformasi pendidikan, kita mampu menghasilkan lebih ramai pelajar pintar seperti Nur Amalina Che Bakri, lebih ramai atlit muda seperti Dato’ Nicol Ann David, lebih ramai tokoh belia seperti Zuraidi Komari, malah lebih ramai idola remaja seperti Imam Muda Asyraf. Hakikatnya jelas, Pendidikan Cemerlang Melahirkan Modal Insan Gemilang Demi Memacu Kejayaan Negara Terbilang.

Ya, hadirin sekalian. Secara kesimpulannya, pendidikan cemerlang menjelaskan kolerasi yang simbiotik antara institusi pendidikan berkualiti, golongan pendidik berdedikasi dan kemenjadian pelajar modal insan berintegriti. Apabila kesemua ramuan ini mampu kita adun bersama, maka pendidikan kita akan menjadi lebih bermakna sekaligus menjayakan hasrat pembinaan citra negara yang berjaya. Benarlah bahawa “Pendidikan Cemerlang Negara Terbilang”.

Teks Pidato
Disediakan oleh : En. Harmi bin Mohammad Jamil
Disampaikan oleh : Sdr. Muhd Misykat Abdul Rahman
Mewakili SMK Subang Utama / Petaling Perdana
Johan Pertandingan Pidato Piala Diraja KPM Peringkat Negeri Selangor 2012

Saturday, September 8, 2012

Pertandingan Debat Ala Parlimen & Pidato Yayasan Selangor 2012 - Senarai Usul Debat & Tajuk Pidato

Senarai Usul Debat

POLITIK

1. Isu Timur Tengah : Bagai Enau Dalam Belukar, Melepaskan Pucuk Masing-Masing
2. Afrika : Mereka Sudah Bersedia
3. Dewan Ini Akan Membubarkan NAM
4. Penggantungan Keahlian Syria Dalam OIC : Satu Kesilapan
5. Janji Ditepati : Sudah Terhantuk Baru Terngadah
6. Kematangan Berpolitik Di Malaysia Kian Pudar
7. 1Malaysia Bukan Sandiwara Politik
8. Pelaksanaan Hukum Hudud : Malaysia Sudah Bersedia
9. Dewan Ini Akan Mengadakan Semula Pilihan Raya Bagi Kerajaan Tempatan

EKONOMI

1. Mata Wang Tunggal Penyelamat ASEAN
2. Krisis Hutang Greece : Ribut Dalam Cawan
3. Barat Semakin Miskin
4. FGVH Tindakan Tepat
5. Liberalisasi Ekonomi Bukan Jawapannya
6. Demi Kelangsungan Pembangunan, Pekerja Asing Diperlukan
7. Dewan Ini Mencadangkan Pemansuhan Monopoli Astro

HUMOR & MANTIK

1. Api Lawannya Air
2. Dunia Sekarang, Pekak Pun Boleh Mendengar
3. Sin Chan Lebih Baik Daripada Doraemon
4. Hitam Tak Semestinya Buruk, Putih Tak Semestinya Cantik
5. Seksi Itu Seksa
6. Bumi Tidak Lagi Bulat

SOSIAL

1. Isu Air Selangor : Sekepal Menjadi Gunung, Setitik Menjadi Laut
2. Statistik Jenayah Malaysia : Indah Khabar Dari Rupa
3. Kepompong Perpaduan Kita Sudah Pecah
4. Jalur Gemilang Tidak Lagi Gemilang
5. Sudah Tiba Masanya Malaysia Menjadikan ICT Sebagai Bidang Keberhasilan Utama Negara
6. Warung Mamak Menceriakan Perpaduan Negara
7. Dewan Ini Akan Mengkaji Semula Pindaan 114A

SUKAN & HIBURAN

1. Rancangan Realiti TV Bukan Medan Bakat
2. Artis Berpolitik Hanya Untuk Glamor
3. Industri Perfileman Malaysia Masih Di Takuk Lama
4. Kita Lebih Suka Mengikut Budaya Hiburan Luar
5. Perlembagaan FAM: Barah Dalam Diam
6. Status Anak Emas Badminton Perlu Ditarik Balik
7. Dewan Ini Percaya Malaysia Perlu Lebih Aktif Melobi Sukan Skuasy Dan Boling Dimasukkan Dalam Sukan Olimpik Demi Emas Pertama Negara

PENDIDIKAN

1. Penggunaan Telefon Bimbit Di Sekolah : Kewajaran Bukan Kesilapan
2. Pendidikan Percuma, Kita Sudah Bersedia
3. Konsep STM Perlu Dimulakan Dari Sekolah
4. Mahasiswa Malaysia Sudah Merdeka
5. Pendidikan Global : Kita Semakin Hampir
6. Kuasa Autonomi Untuk IPTA Lebih Buruk Dari Baiknya
7. Pendidikan Untuk Peperiksaan
8. PBS Perlu Dihentikan
9. Dewan Ini Mencadangkan Sistem Penggiliran Dalam Kemasukan Ke SBP Dan MRSM Demi Keadilan


Senarai Tajuk Pidato

PUSINGAN 1
10 TAJUK – PILIH SATU SAHAJA : 7 minit
Tajuk diberi seminggu sebelum pertandingan.

1. 55 Tahun Merdeka : Bangsa Malaysia Terus Perkasa
2. Generasi Muda Pencetus Ketamadunan Bangsa
3. Yayasan Selangor, Pemangkin Generasi Berilmu
4. Globalisasi Membentuk Belia Kreatif dan Kritis
5. 1Malaysia Pemangkin Status Malaysia Sebagai Sebuah Negara Maju
6. Transformasi Malaysia Pencetus Rakyat Minda Kelas Pertama
7. Malaysia Pelopor Industri Halal Dunia
8. Takkan Sirih Pulang ke Gagang, Budaya Bangsa Terus Dijulang,
9. Media Sosial Pemacu Pembinaan Negara Bangsa
10. Sejarah Tanah Air Pembina Semangat Anak Bangsa

PUSINGAN 2 / SPONTAN
20 TAJUK – PILIH SATU SAHAJA : 2 minit
Tajuk diberi 30 saat sebelum memulakan persembahan.

PUSINGAN AKHIR
5 TAJUK – SATU ORANG SATU TAJUK : 7 minit
Tajuk diberi 1 hari sebelum pertandingan akhir.