Friday, November 2, 2012

Johan Pertandingan Pidato Sekolah Rendah Karnival Anugerah Seri Asrama Terbilang 2012 Peringkat Negeri Sarawak - Teks Pidato



[Dimohon agar sesiapa sahaja yang berminat mengekstrak teks pidato atau bahan-bahan lain dari blog ini untuk memohon keizinan terlebih dahulu daripada penulis. Sila perkenalkan diri selengkapnya dengan memaparkan nama penuh & nama institusi dan bukannya hanya nama timangan atau pengenalan diri yang samar. Hormatilah hakcipta dan integriti keilmuan. Terima kasih.]


ILMU PELITA HIDUP

Bismillahirrahmannirrahim,
Terima kasih peneraju acara, panel juri teguh saksama dan seluruh warga dewan berkarisma. Assalamualaikum dan salam ceria buat semua.

Hayatilah, sebuah pidato cetusan minda kurniaan Allah.. ILMU PELITA HIDUP.

Hadirin sekalian,
ILMU sebagai PELITA HIDUP bolehlah ditakrifkan sebagai prakarsa membudayakan pemahaman teori dan praktikaliti dalam segenap aspek kehidupan kerana diyakini ilmu mampu menghijrahkan manusia dari gelita kejahilan kepada cahaya kebenaran.

Maka, marilah sama-sama kita menilai potensi ilmu dalam menerangi kehidupan manusia.

Hadirin sekalian,
Hayatilah pragmatik pertama, pembudayaan ilmu meningkatkan darjat manusia.

Kita sedar bahawa ilmu manusia cuma setitis berbanding ilmu Tuhan yang selautan. Namun bezanya darjat manusia, apabila berilmu pasti dipandang mulia.

Menyedari hakikat ini, maka Falsafah Pendidikan Kebangsaan memacu pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang memfokuskan kepada usaha membangunkan modal insan berilmu menerusi proses pendidikan berkualiti.

Natijahnya, menurut laporan agensi Program Pembangunan PBB (UNDP) 2011, kadar literasi rakyat kita mencecah 92.7%, kadar pengangguran menurun 3.1% dan indeks kebolehpasaran graduan pula mencatatkan 88.4%. Angka-angka kejayaan ini membuktikan bahawa dengan menguasai ilmu berguna, untung nasib rakyat dapat dibela sekaligus taraf hidup mereka mampu dijana.

Hadirin sekalian,
Pragmatik kedua, penerokaan ilmu mampu menjana minda bangsa.

Dek kerana budaya ilmulah, rakyat Jepun tidak pernah malu menggunakan kaedah Kanji dan Katagana, maka kita juga mampu melakar kejayaan negara dengan mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa wasilah ilmu.

Bahkan, kerajaan turut berkobar-kobar memperkasakan gerakan budaya membaca. Hasilnya, peningkatan purata 6 buah buku setahun dalam Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 2008-2011 membuktikan bahawa kita yakin bangsa Malaysia akan berjaya sekiranya ilmu dikongsi bersama, bertitik-tolak dari budaya membaca. Benarlah bahawa, nadi ilmu amalan membaca yang membuka minda bangsa.

Hadirin sekalian,
Pragmatik ketiga, pembudayaan ilmu memantapkan kemandirian bangsa.

Hikayat Melayu pernah menukilkan kepintaran Tun Perak menangkis serangan Siam ke atas Melaka dan kecerdikan Hang Nadim menyelamatkan Singapura dari serangan todak. Bukti jelas bahawa kemandirian sesebuah bangsa banyak bergantung kepada kebijaksanaan golongan ilmuannya.

Lantaran itulah, sistem pendidikan kita kini ditransformasikan. Namakan sahaja, dari pelancaran program i-Think dan Permata Pintar; pemerkasaan pendidikan teknikal dan vokasional; sehinggalah program Brain Gain di peringkat IPT, semuanya bertujuan untuk melahirkan golongan ilmuan berpemikiran kritis dan kreatif sekaligus memberi sumbangan bermakna kepada kesejahteraan negara.

Hadirin sekalian,
Pragmatik keempat, ketinggian ilmu cerminan budi dan sahsiah bangsa terpuji.

Ibnu Khaldun dalam tamsilnya al-Muqaddimah menegaskan bahawa al-insan madani bi al-taba’, manusia sentiasa membina tamadun dengan ilmu dan sahsiahnya. Bahkan pepatah Melayu turut menggesa agar kita mengikut resmi padi, semakin berisi, semakin tunduk.

Lantaran itulah, modal insan berilmu dan berakhlak kini bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan. Menerusi sistem pendidikan, subjek Sivik dan Kewarganegaraan kita perkasakan, pendidikan agama dan moral kita mantapkan bahkan kempen budi bahasa kita jayakan. Hal ini kerana kita sedar bahawa apalah gunanya ketinggian akal fikir manusia tanpa keluhuran budi bahasa.

Maka hadirin sekalian, bangunlah, siapapun diri anda. Hanya melalui pembudayaan ilmu dalam kehidupan seharian, kita mampu meningkatkan martabat diri, keluarga, masyarakat dan negara. Sesungguhnya benarlah kalam pencipta, kalimah iqra’ menyemarakkan budaya ilmu lantaran ilmu adalah cahaya, pelita hidup manusia. Yakinilah bahawa, ILMU itu PELITA HIDUP.


Disediakan oleh : Ustaz Nazmi b. Jaafar & En. Harmi b. Mohd Jamil
Disampaikan oleh : Sdr. Izan Hakimi (SK Abang Leman, Kabong)
Johan Pertandingan Pidato Sekolah Rendah 
Karnival Anugerah Seri Asrama Terbilang 2012
Peringkat Negeri Sarawak 

Nota: Tahniah kepada adik Izan Hakimi atas kejayaan cemerlang memperoleh keputusan 5A dalam UPSR 2012 yang diumumkan baru-baru ini. Semoga terus sukses!

Saturday, October 27, 2012

Johan Pertandingan Pidato Piala Diraja Kali Ke-28 Peringkat Kebangsaan Tahun 2012 - Teks Pidato





MENTALITI KELAS PERTAMA TONGGAK KEJAYAAN 1MALAYSIA

[Dimohon agar sesiapa sahaja yang berminat mengekstrak teks pidato atau bahan-bahan lain dari blog ini untuk memohon keizinan terlebih dahulu daripada penulis. Sila perkenalkan diri selengkapnya dengan memaparkan nama penuh & nama institusi dan bukannya hanya nama timangan atau pengenalan diri yang samar. Hormatilah hakcipta dan integriti keilmuan. Terima kasih.]


Bismillahirrahmannirrahim,
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Terima kasih peneraju acara, dif-dif kehormat berkarisma, panel juri teguh saksama dan seluruh warga dewan berbahagia. Salam 1Malaysia.

Sungguh hairan, melihat setiap hari orang menyisir rambutnya tetapi tidak pernah menyisir otaknya, memperkemas dadanya tetapi tidak pernah menyucikan hatinya, menggilap kasutnya tetapi tidak akalnya. Walhal, kejayaan sesuatu perkara itu bukanlah bergantung kepada penampilan zahir semata-mata tetapi juga ketinggian pemikirannya. Atas pedoman yang sama, percayalah bahawa Mentaliti Kelas Pertama Tonggak Kejayaan 1Malaysia.

Sesungguhnya, mentaliti kelas pertama bolehlah ditakrifkan sebagai anjakan paradigma pemikiran manusia yang tinggi akal budinya, cemerlang gaya hidupnya dan teguh nilai moralnya sehingga mampu menghijrahkan dirinya daripada gelita kemunduran kepada cahaya kemajuan. 
Maka, prakarsa merakyatkan mentaliti kelas pertama diyakini mampu mengharmonikan perpaduan disulami penghayatan terhadap prinsip penerimaan, kenegaraan dan keadilan demi menjayakan gagasan 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.
Persoalannya, bagaimanakah kita dapat menjadikan mentaliti kelas pertama sebagai tonggak kejayaan 1Malaysia?

Maka, hayatilah cetusan minda kurniaan Allah, pragmatik pertama;
Budaya Ilmu Disemai, Insan Berkualiti Dicanai.

Hadirin sekalian,
Kita sedar bahawa kalimah iqra’, kalam Pencipta mentamsilkan ilmu sebagai cahaya, pelita hidup manusia. Dengan menguasai ilmu berguna, mentaliti kita tidak akan terkongkong bagai katak di bawah tempurung sebaliknya mampu melihat dunia dengan pandangan mata burung.  
Lantaran itulah, transformasi ke arah pendidikan global yang kita laksanakan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 banyak mengubah persepsi dan mentaliti rakyat kita dalam membudayakan ilmu. Akses kepada pembelajaran sepanjang hayat kita sediakan, gerakan membaca kita perkasakan, program i-Think dan Permata Negara kita arusperdanakan, kemahiran dwibahasa kita tekankan, penguasaan ICT kita utamakan, semuanya atas nama pendemokrasian pendidikan demi melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang kita impikan. 
Hakikatnya, Laporan Daya Saing Global 2012, Forum Ekonomi Dunia meletakkan kualiti pendidikan kita di tangga ke-14 daripada 142 buah negara dengan kadar literasi 95.7% dan indeks kebolehpasaran graduan 88.4%. Angka-angka kejayaan ini membuktikan bahawa dengan keterbukaan minda rakyat menguasai ilmu berguna, terbentuklah mentaliti kelas pertama menunjangi keadilan sosial teras gagasan 1Malaysia.
Hadirin sekalian, pragmatik kedua; Budaya Inovasi Dijulang, Mentaliti Rakyat Cemerlang,
Dalam melakar kejayaan 1Malaysia, warga Jepun dan Korea Selatan menjadi idola berteraskan inovasi dalam aspek pengurusan masa, disiplin diri dan etika kerja, lambang mentaliti kelas pertama mereka. 
Lantaran itulah, pelbagai inovasi telah kita perkenalkan. Menerusi Program Transformasi Ekonomi misalnya, inovasi keusahawanan mampu menganjakkan pemikiran rakyat – daripada mentaliti pengguna kepada budaya pencipta dan daripada mentaliti subsidi kepada semangat berdikari, sekaligus memungkinkan rezeki secupak boleh menjadi segantang asalkan kita bijak merebut peluang. Dalam Program Transformasi Kerajaan pula, kualiti perkhidmatan awam sentiasa ditingkatkan selaras dengan indeks pencapaian utama dan bidang keberhasilan utama negara. 
Hasilnya kini, permit pembantu rumah dapat diuruskan dalam tempoh hanya 3 hari, pendaftaran perniagaan baru pula kurang 6 jam, bahkan MyKad boleh siap diproses dalam tempoh 1 jam. Bukankah inovasi budaya kerja cemerlang sebegini mendahulukan kepentingan rakyat dan mengutamakan kualiti pencapaian? Hakikatnya jelas, mentaliti rakyat yang inovatif inilah yang mampu menunjangi kejayaan 1Malaysia kelak.
Hadirin sekalian, pragmatik ketiga; Nilai-Nilai Murni Dihayati, Kesejahteraan Negara Dinikmati.
Pujangga Melayu selalu berpesan;
Tegak rumah kerana sendi, runtuh sendi rumah binasa,
Tegak bangsa kerana budi, runtuh budi runtuhlah bangsa.
Dalam kita mengejar mentaliti kelas pertama, nilai-nilai murni adalah pelengkapnya ibarat isi dengan kuku, irama dengan lagu, cinta dengan rindu. 

Maka, demi mengubah mentaliti masyarakat 1Malaysia agar menjiwai nilai-nilai murni, subjek Sivik dan Kewarganegaraan kita mantapkan, kempen budi bahasa kita jayakan, budaya integriti kita amalkan bahkan pembinaan sahsiah kita pergiatkan, semuanya atas kesedaran bahawa apalah gunanya ketinggian akal fikir manusia tanpa keluhuran budi bahasa. 

Tatkala indeks jenayah seluruh negara dilaporkan menurun 11.1% dan indeks keamanan global meletakkan Malaysia di tangga ke-20 paling aman daripada 158 buah negara, apakah yang memungkinkan semua ini berlaku? Pastinya nilai kesefahaman dan prinsip penerimaan menyuburkan mentaliti kelas pertama yang memacu perpaduan bangsa dan kemakmuran negara ke arah kejayaan 1Malaysia.


Ya, hadirin sekalian. Secara tuntasnya, prakarsa membentuk mentaliti kelas pertama menuntut kepada pembudayaan ilmu yang berguna, aplikasi inovasi yang bermakna dan penghayatan nilai-nilai murni sepanjang masa. Apabila kesemua ramuan ini mampu kita adun bersama-sama, maka transformasi minda rakyat dapat kita jana sekaligus menjayakan hasrat pembinaan citra gagasan 1Malaysia. Benarlah bahawa “Mentaliti Kelas Pertama Tonggak Kejayaan 1Malaysia”.

Teks disediakan oleh : En. Harmi bin Mohammad Jamil
Disampaikan oleh : Sdr. Muhammad Misykat bin Abdul Rahman 
Johan Pertandingan Pidato Piala Diraja Kali Ke-28, 
Peringkat Kebangsaan Tahun 2012