Monday, June 27, 2016

TEKS PIDATO JOHAN PERTANDINGAN PIDATO PIALA DIRAJA KE-31 PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2015

Pemidato SM Sains Selangor, Sdr. Shafiqah Fasiha bt. Ahmad Safri bersama jurulatihnya, En. Harmi bin Mohammad Jamil meraikan kemenangan muncul juara Pidato Piala DiRaja peringkat kebangsaan kali ke-31, 2015.
[Bagi mana-mana individu yang ingin mengekstrak teks pidato ini, anda wajib mendapatkan keizinan daripada saya terlebih dahulu dengan memperkenalkan diri (nama penuh & institusi anda) dalam ruangan komen atau WhatsApp secara terus ke 012-2154945. Hargailah harta intelek dan keberkatan ilmu. Terima kasih.]

RAKYAT BERINTEGRITI, MALAYSIA CEMERLANG

Bismillahirrahmannirrahim,
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Terima kasih peneraju acara, panel juri teguh saksama, dif-dif kehormat berkarisma, seterusnya hadirin yang berbahagia.

Sungguh hairan, masyarakat hari ini tidak pernah ketandusan tukang angguk, malah tidak kurang juga tukang geleng.

Namun kita miskin, golongan yang melaksanakan apa yang diangguk dan mencegah apa yang sudah digeleng.

Maka sudah tiba masanya, kita sedar daripada lena, hayatilah mauduk bicara,
Rakyat Berintegriti, Malaysia Cemerlang.

Sesungguhnya, rakyat berintegriti boleh ditakrifkan sebagai pembudayaan nilai-nilai murni dalam jiwa masyarakat kita yang tinggi akal budinya dan teguh prinsip moralnya sehingga mampu membezakan antara yang benar jelas benar dan yang salah tetap salah.

Dengan berfokuskan Pelan Integriti Nasional, prakarsa merakyatkan nilai integriti dapat menjayakan hasrat Malaysia muncul sebagai negara cemerlang yang stabil politiknya, teguh ekonominya dan sejahtera sosialnya.

Namun, bagaimanakah kita sebagai rakyat berintegriti mampu mencorakkan kecemerlangan negara ini?

Maka, hadirin sekalian, hayatilah idea pertama;
Prinsip Integriti Dijulang, Pentadbiran Negara Cemerlang.

Sedarkah kita runtuhnya Kesultanan Melayu Melaka akibat pengkhianatan si Kitul dan Raja Mendeliar? Malah, Tun Dr. Mahathir pernah mengingatkan kita agar menjauhi ancaman korupsi yang menggugat integriti. Apalah gunanya kemajuan sesebuah negara, seandainya rakyat sendiri menjadi duri dalam daging, api dalam sekam dan gunting dalam lipatan.

Lantaran itulah, transformasi ke arah tadbir urus berintegriti banyak mengubah mentaliti rakyat kita dalam membudayakan etika kerja. Piagam Pelanggan kita perkenalkan, Tonggak 12 kita amalkan, budaya 5S kita terapkan, Laporan Ketua Audit Negara kita bentangkan – semuanya bagi mengikis sifat culas dan malas agar berkhidmat penuh ikhlas sekaligus menjauhi rasuah demi menjunjung amanah.

Lantas tidak hairanlah, Laporan Indeks Persepsi Rasuah Transparency International mengiktiraf Malaysia antara model tadbir urus terbaik dalam kalangan 177 buah negara. Kejayaan Malaysia melonjak 10 anak tangga dalam tempoh hanya 4 tahun membuktikan peri pentingnya merakyatkan prinsip integriti dalam mewujudkan pentadbiran negara yang berkualiti.

Hadirin sekalian, idea kedua;
Nilai Integriti Diperteguh, Kemakmuran Ekonomi Diperkukuh.

Sesungguhnya, pesanan baginda Nabi tentang nilai integriti perlu kita insafi – apabila berbicara jangan berdusta, tatkala berjanji usah mungkiri. Dengan integritilah, Rasulullah S.A.W berjaya dalam bidang perniagaan.

Kini, demi menyuburkan integriti dalam dunia korporat dan keusahawanan, ikrar integriti kita perkasakan, sistem tender terbuka lambang ketelusan, perjanjian MOU bukti kepercayaan – semuanya memungkinkan rezeki secupak boleh jadi segantang asalkan kita jujur merebut peluang.

Pembudayaan integriti dalam memakmurkan negara bukan tanggungjawab kerajaan dan sektor korporat semata-mata, sebaliknya rakyatlah kunci utama.

Masakan tidak? Sehingga Jun 2015, daripada 1.7 juta orang pembayar cukai pendapatan, hanya 13.4% sahaja yang menunaikan kewajipan. PTPTN pula merekodkan 4.7 billion ringgit tunggakan dengan lebih 400 ribu orang peminjam belum melunaskan bayaran. Angka-angka ini memberi kesedaran betapa pentingnya kebertanggungjawaban dalam mewujudkan kemakmuran agar daya saing ekonomi Malaysia terus berkembang mapan.

Hadirin sekalian, idea ketiga,
Budaya Integriti Dihayati, Kesejahteraan Sosial Dinikmati.

Jangan kita alpa, gejala sosial kian berleluasa, zina sudah dianggap biasa, bayi dibuang tanpa kasihan, didera dibunuh tanpa ihsan, lebih memilukan hati, bapa dicaci, ibu dimaki. Jelaslah kini, modal insan berintegriti bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan.

Maka, sedari awal lagi subjek Sivik dan Kewarganegaraan kita mantapkan, kempen Budi Bahasa kita jayakan, PLKN kita perkasakan – semuanya atas kesedaran bahawa dengan integritilah, kita mampu memanusiakan manusia.

Tidak cukup dengan itu, media sosial kini dijadikan medan, menyebarkan fitnah dan sentimen perkauman. Kononnya dianggap pejuang sejati, tetapi sayang cuma pahlawan papan kekunci.

Seandainya kita berintegriti, janganlah menjadi sebahagian daripada statistik SKMM yang mendedahkan 86% pengguna media sosial di Malaysia berlumba-lumba menyebarkan berita tanpa mengkaji benar palsunya kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Kesimpulannya hadirin sekalian, di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung. Ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Hati kuman sama dicecah, hati gajah sama dilapah. Ayuh, kita tunaikan tanggungjawab kepada negara dengan membudayakan sepenuhnya nilai integriti demi mencorakkan masa depan Malaysia yang lebih cemerlang.

Marilah kita mengenang jasa mendiang Anthony Kevin Morais, Timbalan Pendakwaraya Jabatan Peguam Negara yang berani mempertahankan integriti. Moga-moga pengorbanan mendiang tidak akan kita sia-siakan. Yakinilah bahawa, Rakyat Berintegriti, Malaysia Cemerlang.

Sekian,

Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Pemidato : Saudari Shafiqah Fasiha bt. Ahmad Safri (SM Sains Selangor)
Jurulatih & Penulis Teks : En. Harmi bin Mohammad Jamil (ADC Enterprise)
Guru Pembimbing : Puan Nor Azwa bt. Bunyamin (SM Sains Selangor)
Sila rujuk YoutubeJohan Pidato Piala Diraja Peringkat Kebangsaan (SM) 2015

2 comments:

Zul said...

Salam. Saya Zul Qarnain bin Ab Manan dari SMK Dato' Ahmad Maher ingin menjadikan teks ini sebagai panduan.

Zul said...

Salam. Saya ingin memohon izin pihak tuan untuk menjadikan teks ini sebagai rujukan. Terima kasih.